Pengasas Jenama Bulan Bintang Pernah Jual Di Uptown. Ini Kisah Unik Dari Azzim Zahid Azmi
Jenama Bulan Bintang mula diperkenalkan oleh pengasasnya iaitu Azzim Zahid Azmi pada tahun 2016 ketika baru berusia 19 tahun.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Jenama pakaian Bulan Bintang saban tahun semakin dikenali ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Pada 18 Februari lalu, jenama Bulan Bintang semakin dikenali di seluruh Malaysia selepas mereka berjaya mencatat sejarah dengan tersenarai dalam Malaysia Book of Records menerusi persembahan dron paling banyak digunakan di atas langit di negara ini.
Pertunjukan fesyen yang dipersembahkan buat pertama kali oleh jenama Bulan Bintang di Menara Kuala Lumpur cukup memukau penonton di lokasi dan juga menerusi siaran langsung.
Kos formasi 350 biji dron itu menelan belanja sebanyak 80% jumlah keseluruhan dan kira-kira RM2 juta telah dibelanjakan untuk merealisasikan pertunjukan tersebut.
Siapa Pengasas Jenama Pakaian Bulan Bintang?
Di sebalik kejayaan jenama pakaian Bulan Bintang ini, siapakah pengasasnya?
Mesti ramai akan terkejut kerana pengasas jenama Bulan Bintang ini merupakan individu yang baru sahaja berusia 26 tahun, iaitu Azzim Zahid Azmi.
Azzim Zahid Azmi atau juga dikenali sebagai Meri yang merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik ini mempunyai minat dalam bidang perniagaan sejak zaman sekolah lagi.
Minat dalam berniaga bermula ketika Azzim menjual T-shirt untuk rakan-rakan sekolahnya ketika sedang belajar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (SBPI) pada usia 16 tahun.
Perniagaan menjual baju itu diteruskan ketika berusia 17 tahun sehinggalah menyambung pengajian di Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya (PASUM).
Antara T-shirt yang pernah dijual di PASUM adalah untuk acara larian jogathon yang diberi singkatan ‘RUN PSM’.
Kisah Perjalanan Jenama Bulan Bintang
Jenama Bulan Bintang ini tercetus pada tahun 2016 ketika Azzim berusia 19 tahun dan mula menjual kurta tanpa sebarang logo pada pakaian.
Pada awalnya hanya 300 helai dikeluarkan tetapi selepas mendapat sambutan ramai, Azzim menambah stok jualan sehingga 2,000 pasang kurta.
Kisah perjalanan jenama Bulan Bintang ini menjadi lebih ‘manis’ untuk dikenang apabila Azzim pertama kali menjual jenamanya dengan membuka tapak di Uptown Danau Kota, Setapak pada tahun 2019.
Pada ketika itu, Azzim sedang melanjutkan pengajian tahun terakhirnya dalam bidang Media Dan Komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ketika itu, Azzim dan rakan-rakannya hanya menaiki motosikal untuk mengangkut segala barangan termasuklah seterika baju.
Bukan itu sahaja, Azzim juga pernah berniaga dengan menyewa tapak booth Mood Republik di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada tahun 2019.
Namun tidak lama selepas itu, Malaysia dilanda virus pandemik dan menyebabkan mereka terpaksa menjual secara atas talian sahaja.
Tetapi rezeki tidak pernah salah alamat kerana jenama Bulan Bintang mula tular dan mendapat perhatian ramai sehingga berjaya menarik minat bekas Menteri Kewangan iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membeli.
Selepas berniaga di tapak pasar malam dan juga atas talian, Azzim akhirnya membuka butik jenama Bulan Bintang di Bangi, Selangor.
Sehingga kini, sudah beberapa butik jenama Bulan Bintang yang dibuka di seluruh Malaysia termasuklah di:
- Johor Bharu
- Ukay Boulevard
- Shah Alam
- Setia Alam
- Kubang Kerian, Kelantan
- Sungai Petani, Kedah
Cabaran Sebagai Pengasas Jenama Bulan Bintang
Bergelar sebagai seorang peniaga, pastinya mereka tidak akan terlepas dari segala cabaran dan dugaan dalam dunia perniagaan.
Untuk pengetahuan anda, Azzim merupakan adik kepada pemilik jenama minuman tempatan Hausboom iaitu Azri Zahier Azmi dan bapanya pula adalah seorang individu yang terlibat dalam bidang politik.
Jadi, ada ura-ura yang mendakwa kejayaan jenama Bulan Bintang adalah disebabkan ‘kabel’ oleh orang di sekelilingnya.
Meskipun dilahirkan dalam keluarga yang berada, tetapi Azzim tidak menggunakan kesenangannya itu sebagai jalan pintas. Malah dia lebih memilih untuk mengembangkan sendiri jenama Bulan Bintang dengan usahanya sendiri.
Sehingga kini, jenama Bulan Bintang ini telah mempunyai gudang tersendiri dan membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat termasuklah dari penjualan dropship, agen, stokis dan sebagainya.
Kisah kejayaan jenama pakaian Bulan Bintang ini sememangnya memberi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana untuk mula menyahut cabaran untuk memulakan perniagaan mereka.
Walaupun akan ada ‘mulut-mulut’ orang berkata tentang perkara buruk, tetapi anggaplah itu sebagai motivasi anda untuk terus kuat dan membuktikan kepada mereka yang anda juga boleh berjaya.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.