Now Reading
Nak Solat Ketika Banjir Tapi Tiada Air Di PPS? Ini Panduan Penting Untuk Anda

Nak Solat Ketika Banjir Tapi Tiada Air Di PPS? Ini Panduan Penting Untuk Anda

Air banjir dikategorikan sebagai air mutlak dan boleh digunakan untuk berwuduk kerana kuantitinya yang banyak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, puluhan ribu mangsa banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan kawasan kediaman mereka yang telah dinaiki air.

Namun berbeza pula buat 62 orang mangsa banjir di Rantau Panjang, Kelantan apabila mereka memilih untuk berlindung di sebuah rumah di Kampung Tasek Bakong kerana PPS berhampiran sudah penuh.

Keadaan menjadi semakin keruh apabila mereka didakwa terpaksa memasak air banjir untuk dijadikan minuman dan membuat susu kepada anak kecil.

BACA JUGA: Tiada Bekalan Air Bersih, Mangsa Terpaksa Masak Air Banjir Untuk Dijadikan Minuman & Susu Anak

Panduan Menyucikan Diri Sebelum Beribadah

Bukan sahaja bekalan elektrik yang tiada ketika bencana banjir, malah bekalan air bersih juga terganggu dan menyebabkan keadaan agak sukar untuk individu beragama Islam melakukan ibadah solat.

Susulan itu, pengguna Twitter (@AnnurQuranic2) telah berkongsi beberapa panduan kepada umat Islam agar dapat melakukan ibadah meskipun pada musim banjir.

Panduan Berwuduk

1. Menggunakan air banjir

Untuk pengetahuan anda, air banjir boleh digunakan untuk mengambil wuduk kerana termasuk dalam kategori air mutlak.

Sekiranya terdapat najis atau bangkai berdekatan air tersebut, dinasihatkan untuk mengambil sumber air yang lebih jauh dari lokasi itu.

Tetapi jika anda berniat untuk menggunakan air banjir untuk tujuan berwuduk, perkara-perkara sunat seperti berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung tidak perlu dilakukan.

2. Beristinjak

Sumber: KASKUS

Memandangkan air banjir adalah air mutlak, ia juga boleh digunakan untuk beristinjak. Kalau ada benda kesat seperti tisu, kertas atau kain, boleh guna ya. Yang penting jangan guna barangan bernajis atau makanan

3. Tayammum

Sumber: artikelRumah123

Mangsa banjir yang sakit dan tidak boleh terkena air boleh bertayammum menggunakan debu tanah yang ada di dinding, cermin, meja atau tempat lain.

Lokasi Solat Agak Terhad

Solat Jumaat juga wajib dilakukan oleh lelaki walaupun ketika musim banjir. Sekiranya tiada halangan untuk ke masjid atau surau, mereka tetap perlu bersolat Jumaat.

Tetapi sekiranya ada halangan, pusat pemindahan banjir perlu menghubungi Jabatan Mufti untuk meluluskan lokasi solat Jumaat berkenaan.

Sekiranya kediaman anda itu dinaiki air dan keadaan agak berselut, wajib solat berdiri sekiranya mampu dan sujud boleh disempurnakan dengan cara duduk di atas kerusi.

Sumber: Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu/ Facebook

Selain itu, mangsa banjir atau para sukarelawan juga dibenarkan menggabungkan dua waktu solat dengan melakukan solat jamak ketika situasi mendesak.

Sekiranya pakaian anda berselut, jangan risau ia masih boleh dibawa solat kerana lumpur tidak termasuk dalam kategori najis.

Semoga panduan yang dikongsikan ini dapat membantu anda untuk melakukan ibadah solat dengan lebih mudah dan selesa mengikut kemampuan.

Panduan solat ini bukan sahaja perlu dipelajari oleh mangsa banjir, malah individu yang bercadang untuk menjadi sukarelawan di lokasi banjir juga perlu ambil tahu.

BACA JUGA: Plan Nak Jadi Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir? Ini Panduan Penting Untuk Anda


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd