Plan Nak Jadi Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir? Ini Panduan Penting Untuk Anda
Barangan untuk proses membersihkan rumah juga perlu disediakan dalam kuantiti yang mencukupi bagi membolehkan sukarelawan melakukan kerja dengan lebih efisien.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Sejak beberapa hari lalu, negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dilanda hujan yang berterusan sehingga mengakibatkan kejadian banjir yang membimbangkan.
Semakan di laman rasmi Agensi Bencana Negara (NADMA) mendapati seramai 72,691 mangsa dari lima buah negeri sudah ditempatkan di 442 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 21 Disember, jam 10 pagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan dijangka ‘turun padang‘ hari ini (21 Disember) bagi meninjau keadaan semasa banjir yang melanda Kelantan serta Terengganu.
Persediaan Buat Sukarelawan Yang Ingin Bantu Mangsa Banjir
Setiap kali bencana banjir berlaku, pasti akan ada rakyat Malaysia yang datang membantu untuk memberi sumbangan dari segi tenaga kerja dan juga berbentuk barangan.
Seorang pengguna Twiter (@Kuntum_) baru-baru ini berkongsi beberapa panduan buat para sukarelawan yang bercadang untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur.
Sebelum kita membantu mereka, persediaan rapi perlu dilakukan. Antaranya:
1. Hubungi Keluarga Mangsa Terlebih Dahulu
Apabila banjir melanda, banyak rumah akan akan terjejas dan menjadi kotor selepas air banjir memasuki kawasan kediaman mereka. Ambil masa berhari-hari jugalah untuk membersihkan semula rumah.
Kepada para sukarelawan yang ingin datang membersikan rumah mangsa banjir, lebih baik berhubung dahulu dengan mana-mana keluarga untuk memudahkan urusan kedua-dua belah pihak.
2. Semak Laluan Yang Akan Digunakan
Sebelum anda bergerak ke mana-mana lokasi banjir untuk memberikan bantuan, semak dahulu keselamatan laluan yang akan digunakan.
Rancang perjalanan sebaiknya agar tidak tersekat di mana-mana tempat yang agak sukar mendapat pertolongan. Kalau naik kereta, pastikan jalan tersebut boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
3. Penginapan
Sukarelawan juga perlu berehat. Jadi sebelum bergerak ke kawasan terjejas banjir, dapatkan juga maklumat tentang kawasan setempat.
Khemah dan juga beg tidur (sleeping bag) perlu dibawa dalam kuantiti yang mencukupi sekiranya hotel-hotel tutup dan tidak beroperasi buat sementara waktu akibat banjir.
4. Bawa Tenaga Manusia Yang Boleh Membantu
Nak membersihkan rumah banjir merupakan tugas yang agak berat kerana perlu berhadapan dengan pelbagai jenis kekotoran seperti kawasan berselut dan sampah-sarap yang terkumpul.
Selain itu, banyak juga barangan berat seperti sofa dan rak yang perlu dialihkan.
Oleh itu, kerja-kerja pembersihan ini memerlukan ramai tenaga kerja sukarelawan bagi meringankan beban keluarga mangsa banjir untuk membersihkan rumah mereka.
5. Bawa Peralatan Mencuci Yang Mencukupi
Selain memerlukan tenaga kerja yang ramai, peralatan untuk mencuci juga perlu disediakan dalam kuantiti yang mencukupi agar kesemua para sukarelawan dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih efisien.
Antara peralatan mencuci yang penting untuk dibawa bersama adalah:
- Penolak lumpur
- Water jet
- Penyapu
- Mop
- Baldi
- Gayung
- Getah paip air
- Berus pencuci lantai
- Sabun pencuci
- Sarung tangan
- Kasut getah
- Baju hujan
Peralatan elektrik perlu dipertimbangkan semula kerana risau sekiranya sumber elektrik masih terjejas di kawasan terlibat.
6. Sumbangan Barangan Kepada Mangsa Banjir
Boleh dikatakan hampir kesemua barangan milik mangsa banjir di rumah mereka akan rosak dan terjejas terutamanya barangan elektrik yang menjadi kegunaan harian mereka.
Antara sumbangan barangan yang boleh diberikan kepada mangsa banjir adalah:
- Dapur memasak
- Tong gas
- Peti ais
- Mesin basuh
- Tilam
- Bantal
- Selimut
- Cerek elektrik
- Periuk nasi
- Kutleri
- Makanan kering seperti biskut dan roti
- Pakaian
- Tuala mandi
- Peralatan mandian
7. Bawa Juruelektrik Untuk Periksa Keadaan Di Rumah
Banyak rumah yang tenggelam dan mengalami kerosakan dari segi sumber elektrik.
Mungkin kalau anda ada kenal mana-mana juruelektrik atau tenaga mahir dalam bidang elektrik, boleh ajak mereka sekali untuk membantu memeriksa dan membaiki plug serta suis yang rosak.
8. Bawa Peralatan Penjagaan Diri (Personal Care) Secukupnya.
Sebelum bergerak ke lokasi bantuan, para sukarelawan juga perlu memastikan diri terjaga terlebih dahulu dengan membawa segala peralatan rapi untuk penjagaan diri seperti pakaian, powerbank dan alatan mandian.
Paling penting, jangan lupa bawa ubat-ubatan kerana anda akan terdedah dengan pelbagai jenis kotoran daripada air banjir. Jadi, kesihatan diri juga perlu dijaga.
Jika ada yang sedang merancang untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur, ini antara perkara yang perlu anda ambil perhatian:
— Kuntum (@Kuntum__) December 20, 2022
Thread. pic.twitter.com/6RY3kr60Op
Ketika banjir yang berlaku pada tahun 2021, banya sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang datang membantu serta memberikan sumbangan kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Namun, terdapat beberapa kekurangan yang berlaku di PPS yang perlu diperbaiki bagi mengelakkan masalah lebih besar berlaku.
Antara perkara yang ditimbulkan adalah dari segi penjagaan kebersihan dan pembaziran makanan.
BACA JUGA: Sukarelawan Tegur Beberapa Kekurangan Untuk Diperbaiki Di PPS
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.