Now Reading
Ini Kesan & Risiko Penyakit Jantung Kardiovaskular Yang Perlu Anda Tahu

Ini Kesan & Risiko Penyakit Jantung Kardiovaskular Yang Perlu Anda Tahu

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penyakit kardiovaskular menyumbang 17.9 juta kematian penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia, hampir 44% daripada NCD setiap tahun.

Penyakit Jantung Kardiovaskular

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Oleh:
Dr Ang Kai Ping, Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Regency Specialist Hospital.


Sebagai salah satu punca utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia, penyakit jantung mengakibatkan kematian lebih ramai individu berbanding kemalangan jalan raya.

Menurut perangkaan negara, 17% kematian di Malaysia berpunca daripada penyakit jantung iskemik. Penyakit jantung iskemik atau arteri koronari adalah salah satu bentuk penyakit jantung yang paling biasa.

Ia disebabkan kesempitan dalam pengumpulan arteri yang membekalkan jantung dengan darah dan seterusnya mendatangkan masalah kekurangan bekalan darah ke jantung.

Penyakit Jantung Kardiovaskular

Dr Ang Kai Ping, Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Regency Specialist Hospital berkongsi pandangannya tentang kelaziman penyakit jantung dalam kalangan rakyat Malaysia, puncanya serta saranan dan petua tentang cara mengurus dan mencegah risiko penyakit jantung.

Apabila pengumpulan yang dikaitkan dengan deposit kolesterol menyempitkan saluran jantung dan menyekat aliran darah, ia akan menyebabkan sesak nafas, sakit dada atau serangan jantung. Walau bagaimanapun, kebanyakan individu tidak menyedari bahawa mereka mengalami masalah penyakit ini sehingga mereka berdepan dengan gejala berkenaan. Serangan jantung boleh merosakkan otot jantung yang mengakibatkan kematian otot terutamanya jika tidak dirawat dan seterusnya membawa kepada kegagalan jantung pesakit.

Dr Ang Kai Ping, Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Regency Specialist Hospital.

Siapakah Yang Berisiko Mendapat Penyakit Jantung?

Penyakit Jantung Kardiovaskular

Di Malaysia, bilangan kes CVD di Institut Jantung Negara (IJN) meningkat sebanyak 5% setiap tahun. Terdapat 10,000 kes kardiologi dan hipertensi dan 4,000 kes pembedahan jantung dalam satu tahun.

Faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit jantung termasuk risiko sedia ada, serta risiko berasaskan gaya hidup. Risiko sedia ada yang tidak dapat dielakkan termasuklah risiko penyakit warisan keluarga (genetik) manakala sejumlah besar risiko berasaskan gaya hidup boleh diuruskan jika beberapa perubahan dilakukan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penyakit kardiovaskular menyumbang 17.9 juta kematian penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia, hampir 44% daripada NCD setiap tahun.

Sesiapa sahaja boleh menghidap penyakit jantung namun terdapatnya beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung berlaku. Ini termasuk keadaan kesihatan sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, kencing manis, obesiti, faktor gaya hidup seperti kurang bersenam, tekanan, diet tidak sihat dan merokok.

Dr Ang Kai Ping, Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Regency Specialist Hospital.

Walau bagaimanapun, kajian terbaru menunjukkan peningkatan kelaziman rakyat Malaysia yang didiagnosis dengan penyakit jantung pada usia yang lebih muda berbanding sebelum ini.

Kajian baru-baru ini mengenai semakan penyakit arteri koronari di Malaysia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menghidapi Sindrom Kardiovaskular Akut (ACS) antara 55.9 dan 59.1 tahun berbanding individu dari negara maju yang didiagnosis antara 63.4 dan 68 tahun.

Apabila seseorang pesakit mengalami serangan jantung pertama, pesakit berkenaan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk serangan jantung yang lain atau strok tanpa mengira usia. Salah seorang pesakit saya hanya berusia 26 tahun ketika dia mengalami serangan jantung akibat jantungnya tersumbat. Beliau menjalani angiografi jantung dan telah pulih. Namun, pesakit tersebut berkemungkinan memerlukan pemeriksaan tahunan secara berkala di samping membawa perubahan kepada gaya hidupnya untuk mengelakkan serangan jantung yang lain daripada berulang sepanjang hayatnya.

Dr Ang Kai Ping, Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Regency Specialist Hospital.

Rokok Adalah Faktor Risiko Paling Membimbangkan

Merokok juga dikenal pasti sebagai faktor risiko ketara untuk penyakit jantung iskemik atau koronari berbanding faktor risiko lain.

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia, merokok menentukan 10% daripada semua penyakit kardiovaskular.

abedkayali/Unsplash

Merokok merupakan faktor risiko bagi sebilangan besar pesakit saya yang menghidapi penyakit jantung. Berhenti merokok juga boleh membantu pesakit untuk mengurangkan risiko penyakit jantung berulang. Berdasarkan pengalaman klinikal saya, salah seorang pesakit lelaki berumur 58 tahun yang menjalani prosedur angioplasti koronari Intra-aortic Balloon Pam (IABP) untuk merawat keadaan jantungnya selepas serangan jantung dan berjaya berhenti merokok semasa pemulihannya telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan semasa saringan susulan dan tahunannya. Risikonya untuk penyakit jantung berulang juga telah berkurangan.

Dr Ang Kai Ping, Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Regency Specialist Hospital.

Dengan impak yang membimbangkan ini, Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Produk Merokok 2022 telah diperkenalkan untuk melarang merokok dalam kalangan generasi muda yang lahir pada dan selepas 1 January 2007, mungkin dapat memainkan peranan penting dalam membantu mengurangkan faktor risiko ini dalam masa terdekat.


Bagaimana Risiko Penyakit Jantung Boleh Dikurangkan?

Adalah menjadi satu keperluan untuk mendidik orang ramai tentang cara mencegah penyakit jantung dengan membawa perubahan kepada tabiat pemakanan dan gaya hidup yang kini menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

Meskipun beberapa faktor risiko penyakit jantung tidak dapat dielakkan, beberapa perubahan gaya hidup boleh membantu mencegah atau mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Ini termasuk:

  • Lebih Banyak Aktiviti Fizikal: Ia boleh mengurangkan risiko anda menghidapi penyakit jantung atau menambah baik keadaan pesakit yang mempunyai penyakit jantung sedia ada selain mengurangkan risiko komorbiditi lain. 
  • Mengamalkan Diet Sihat: Ia termasuk mengurangkan pengambilan sodium dan lemak boleh membantu mengurangkan risiko kardiovaskular anda. Pengamalan diet secara sederhana yang merangkumi lebih banyak sayuran dan jumlah daging yang sederhana serta kurang minyak dan garam adalah penting. Dr Ang mengesyorkan amalan diet kurang minyak dan garam boleh mengundang perbezaan.
  • Kurangkan merokok atau berhenti merokok boleh mengurangkan risiko kardiovaskular anda. Sebagai sebahagian daripada proses pemulihan pesakit jantung dalam kalangan perokok, Dr Ang mengesyorkan untuk berhenti merokok atau menyertai program berhenti merokok bagi mengurangkan risiko penyakit jantung dengan ketara.
  • Tekanan didapati memainkan peranan dalam risiko kardiovaskular. Persekutuan Jantung Dunia menyatakan bahawa tekanan psikologi boleh menggandakan risiko mendapat serangan jantung, Jadi, kurangkan tahap tekanan anda dengan lebih banyak senaman, meditasi dan mendapatkan tidur yang berkualiti untuk mengurangkan risiko kardiovaskular anda.

Selain daripada perubahan gaya hidup yang boleh membantu mengurangkan risiko kardiovaskular, langkah pertama boleh dibuat untuk mula memantau kesihatan jantung adalah dengan menjalani peperiksaan saringan kesihatan yang merangkumi penilaian risiko jantung.

Pengesanan dan rawatan awal secara signifikan dapat mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung. Sebagai seorang profesional penjagaan kesihatan, titik permulaan yang baik untuk membantu mencegah risiko penyakit jantung adalah dengan mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Ini membolehkan doktor anda mengesan dan memantau faktor risiko anda dan mengambil langkah untuk membantu mencegah penyakit jantung dari awal.

Dr Ang Kai Ping, Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Regency Specialist Hospital.

Dr Ang Kai Ping merupakan Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di Regency Specialist Hospital. Beliau adalah sebahagian daripada pakar di Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-paru Regency Specialist Hospital yang berperanan dalam mendiagnosis, mengurus, merawat, dan mencegah sebarang gangguan yang menjejaskan jantung dan paru-paru.

Beliau bekerja dengan pasukan penjagaan pelbagai disiplin yang komited untuk menyediakan perkhidmatan perubatan pencegahan, diagnostik, terapeutik dan pemulihan yang komprehensif untuk pelbagai jenis penyakit berkaitan kardiovaskular dan pernafasan.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd