Doktor Gigi Perjelas Mitos Cuci Gigi Yang Ramai Salah Faham
Antara punca yang menyebabkan timbulnya masalah gigi selepas dicuci di klinik adalah kerana pembentukan karang gigi sebelum ini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Selain menjaga kesihatan tubuh badan, gigi juga merupakan anggota yang perlu dijaga dengan rapi bagi mengelakkan berlakunya kerosakan serta penyakit gusi.
Penjagaan gigi perlu mula dilatih sejak kecil kerana jika tidak, banyak kaviti dan plak akan terkumpul dan mengakibatkan pembentukan bakteria.
Dalam pada itu, gaya hidup seseorang juga boleh menyebabkan gigi mudah rosak. Contohnya mereka yang kerap menggigit ketulan ais dan minum kopi sehingga dua tiga cawan sehari.
BACA JUGA: Kaki Kopi & Teh Stres Gigi Kuning? Ini Cara Untuk Kurangkan Kesan Buruk Kepada Gigi Anda
Mitos Selepas Mencuci Gigi Yang Ramai Salah Anggap
Klinik gigi akan menjadi lokasi tumpuan sekiranya seseorang mengalami masalah berkaitan gigi atau gusi mereka.
Tetapi ramai pula yang menyalah anggap keadaan gigi mereka selepas dirawat di klinik kerana katanya memberi kesan yang tidak selesa. Sebenarnya keadaan itu berlaku disebabkan kesan pembuangan kotoran pada gigi.
Jom baca perkongsian menarik dimuat naik oleh seorang doktor gigi di laman Twitter miliknya (@ArepJawa) tentang mitos selepas mencuci gigi di klinik.
Antaranya:
1. Gigi Terasa Jarang Selepas Dicuci
Sebenarnya, gigi anda terasa jarang disebabkan oleh karang sekeliling gigi atau juga disebut sebagai ‘calculus‘ yang tebal telah dibuang.
Jadi selama ini anda sebenarnya sudah terbiasa dengan ketebalan palsu yang menutup segala ruangan kosong pada gigi.
2. Gigi Rasa Goyang Selepas Dicuci
Cuci gigi tidak menyebabkan gigi anda goyang.
Punca gigi anda terasa goyang adalah kerana ‘calculus’ yang terbentuk sebelum ini telah penyakit periodontitis atau radang saraf sokongan gigi. Penyakit radang ini akan mengakibatkan gusi menyusut dan saraf sokongan gigi serta tulang rahang mula rosak.
Kenapa sebelum cuci gigi, tak ada rasa goyang pun? Kerana karang gigi yang terbentuk selama ini telah menjadi ‘pemegang’ palsu.
3. Gusi Mudah Berdarah Selepas Dicuci
Gusi anda mudah berdarah bukanlah disebabkan kesan mencucinya tetapi kerana radang gusi atau gingivitis yang berlaku kerana keadaan gusi tidak sihat.
Macam mana gusi boleh jadi tidak sihat? Salah satu puncanya adalah kerana karang gigi yang terbentuk sebelum ini.
4. Gigi Jadi Ngilu Selepas Dicuci
Masalah yang berlaku ini turut berpunca daripada pembentukan karang gigi yang mengakibatkan gusi menyusut.
Apabila gusi menyusut, permukaan akar gigi yang sensitif akan lebih terdedah kepada stimulus luar dan mengakibatkan gigi menjadi ngilu.
Anda tidak perlu risau kerana gusi masih boleh sembuh semula, tetapi ia tidak akan kembali 100% seperti keadaan sebelumnya.
5. Cuci Gigi Ini Menyakitkan
Sebenarnya cuci gigi tidaklah sakit, cuma anda mungkin akan rasa tidak selesa. Tetapi jika karang gigi anda agak tebal, memang akan ngilu sikitlah.
Kalau anda rasa takut, boleh juga minta ubat bius atau gas nitrus oksida daripada doktor sebelum memulakan proses pencucian gigi.
Bagi menjaga kesihatan gigi, kita digalakkan untuk berjumpa doktor sekurang-kurangnya satu kali dalam tempoh enam bulan.
Sekiranya ada mempunyai masalah pembentukan karang gigi, lebih baik pergi ke klinik untuk membuangnya.
Kepada anda yang mengalami masalah gigi berlubang pula, disarankan untuk terus menampalnya bagi mengelakkan pengumpulan bakteria.
Mitos cuci gigi.
— A J 🦷🧚🏼♂️ (@ArepJawa) October 17, 2022
1. Gigi terasa jarang lepas cuci.
– Sebab karang gigi (calculus) tebal sangat sampai mulut dah terbiasa dengan ketebalan palsu. 'Jarang' yang dirasakan itulah sebenarnya ketebalan yang sebenarnya. pic.twitter.com/SatWM31WyR
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.