Now Reading
Ada Orang Tercekik Waktu Makan? Ini 5 Langkah Untuk Bantu Mereka

Ada Orang Tercekik Waktu Makan? Ini 5 Langkah Untuk Bantu Mereka

Pertolongan yang dilakukan untuk bantu mangsa yang tercekik makanan dipanggil sebagai Heimlich Manuever.

Ada Orang Tercekik Waktu Makan? Ini 5 Langkah Untuk Bantu Mereka

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Pernah tak dengar orang tua-tua kata tak elok makan sambil bercakap atau ketawa berlebihan? Mungkin ada sebab mereka bagi nasihat sebegitu.

Salah satunya adalah untuk mengelakkan berlakunya kejadian tercekik ketika sedang makan.

Jangan main-main bila sebut bab tercekik makanan ini kerana ada yang dilaporkan maut sebelum ini akibat tercekik ketika pertama kali menjamah sup tulang.

BACA JUGA: Lelaki Di Terengganu Maut Tercekik Sup Tulang Yang Dijamah Buat Pertama Kali


Apa nak buat bila ada orang tercekik makanan?

Menerusi perkongsian dimuat naik oleh seorang doktor kesihatan dikenali sebagai Dr Khairul Hafidz di laman Twitter miliknya (@khairul_hafidz), beliau memberi pendedahan kepada orang ramai tentang beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu seseorang jika mereka tercekik ketika sedang makan.

Langkah yang diperkenalkan itu disebut sebagai Heimlich Manuever.

Tanda-tanda jika seseorang sedang tercekik sesuatu

Mungkin ada yang tidak pernah berdepan dengan situasi di mana seseorang secara tiba-tiba tercekik makanan dan sukar bernafas.

Bila jarang berdepan dengan situasi tersebut, akan ada yang terpinga-pinga dan agak ‘clueless’. Kalau anda nak tahu, berikut adalah beberapa petanda jika seseorang itu sedang tercekik.

Antaranya:

  • Sukar untuk berkomunikasi.
  • Susah untuk bernafas atau pernafasan agak kuat.
  • Batuk kuat.
  • Kulit, bibir dan kuku menjadi biru atau kehitaman.
  • Kulit kemerahan sehingga pucat atau kebiruan.
  • Tidak menyedarkan diri.

Cara untuk bantu mangsa yang tercekik

Jika anda berdepan dengan situasi seseorang tercekik makanan, berikut adalah beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk bantu mereka.

  1. Berdiri di belakang mangsa dan letakkan satu kaki di hadapan bagi memberi keseimbangan.
  2. Letakkan tangan anda di sekeliling pinggang mangsa dan letakkan mereka di posisi sedikit tertunduk ke hadapan.
  3. Letakkan tangan anda dalam keadaan seperti penumbuk di atas pusat mangsa.
  4. Genggam penumbuk tersebut dengan satu lagi tangan dan tekan kuat ke dalam perut mangsa sambil tangan anda menolaknya ke atas, seolah-olah ingin mengangkat mereka.
  5. Lakukan tolakan tersebut enam hingga 10 kali sehingga objek yang tersumbat di dalam rongga hilang.

Cara untuk bantu ibu hamil yang tercekik

Bagi wanita hamil pula, tolakan atau tujahan ke atas dilakukan pada bahagian dada kerana tolakan pada perut hanya boleh dibuat bagi golongan dewasa yang tidak mengandung.

Caranya adalah seperti berikut:

  1. Letakkan penumbuk pada bahagian tengah tulang dada mangsa.
  2. Genggam penumbuk dengan tangan yang lain.
  3. Buat tolakan atau tujahan ke atas dengan pantas.

Kalau bayi yang tercekik, macam mana pula?

Jika mangsa yang tercekik adalah bayi, ada cara yang sedikit berbeza untuk bantu mereka. Langkah-langkahnya adalah seperti:

  1. Tepuk bahagian belakang badan mereka sebanyak lima kali.
  • Letakkan bayi dalam posisi menghadap ke bawah pada atas lengan anda.
  • Genggam rahang mereka dengan tangan dan pada masa sama lengan anda berada pada kaki.
  • Dengan menggunakan tumit tangan sebelah, berikan bayi tersebut lima pukulan yang kuat dan laju di antara tulang belikatnya.

2. Berikan lima tujahan di bahagian dada.

  • Jika objek yang tersumbat tidak keluar, pusingkan muka bayi ke atas dan sandarkan mereka di paha anda.
  • Dengan jari telunjuk dan jari tengah anda berada di tengah tulang payudara mangsa iaitu tepat di bawah puting, berikan lima tujahan dada sedalam satu hingga satu setengah inci.
  • Buat tujahan dada serta pukulan belakang secara bergilir sehingga bayi tersebut batuk mengeluarkan objek yang tersumbat atau cukup sekadar dapat membolehkan mereka bernafas semula.

3. Keluarkan objek menggunakan tangan secara berhati-hati.

  • Lihat dalam mulut bagi memeriksa sama ada anda boleh melihat objek tersebut atau tidak. Jika boleh, keluarkannya menggunakan jari anda secara berhati-hati.

Bagaimana kalau tiada sesiapa di sekeliling kita ketika sedang tercekik?

Seseorang juga boleh berdepan situasi tercekik dan nak dijadikan cerita ketika itu tiada sesiapa di sekelilingnya untuk memberikan bantuan. Jadi apa yang anda boleh lakukan?

Ingat beberapa langkah berikut:

  1. Letakkan tangan dalam keadaan penumbuk di atas pusat.
  2. Pada masa sama, sebelah lagi tangan memegang penumbuk tersebut sambil menundukkan badan ke atas permukaan yang keras.
  3. Kemudian, tolak penumbuk tersebut ke dalam dan ke atas.

Percayalah, tindakan pantas anda boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Yang penting, kena ada ilmu dan mahir melakukan pertolongan tersebut.

BACA JUGA: Tular Kisah Anak Kecil Maut Tercekik Rambutan, Ini Teknik Yang Ibu Bapa Harus Tahu & Praktikkan


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd