Now Reading
Keliru Dengan Tarikh Puasa Arafah Di Arab Saudi? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Keliru Dengan Tarikh Puasa Arafah Di Arab Saudi? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Tarikh berpuasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah ditentukan mengikut matla’ iaitu waktu terbitnya anak bulan di negara masing-masing.

puasa hari arafah

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, Hari Raya AidilAdha disambut oleh umat Islam pada setiap 10 Zulhijjah mengikut kalendar Hijrah. Sehari sebelum perayaan ini diraikan, mereka yang mengerjakan haji di Mekah akan berwakaf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah.

Buat mereka yang berpeluang untuk mengerjakan wakaf, Islam melarang untuk berpuasa pada hari tersebut. Tetapi sebaliknya pula kepada umat Islam lain yang tidak melakukan ibadah berkenaan dan digalakkan untuk berpuasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah.

Namun, segelintir masyarakat agak keliru sama ada puasa sunat ini dilakukan mengikut tarikh hari Arafah di Mekah atau Malaysia. Persoalan ini timbul apabila laporan Berita Harian memaklumkan bahawa Arab Saudi akan menyambut AidilAdha pada esok (9 Julai).

Sumber: Travel Kompas

Perbezaan kedudukan bulan di Arab Saudi dan Malaysia

Berikutan itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberikan penjelasan sebenar menerusi laman web Maktabah Al-Bakri bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat Malaysia.

Menurutnya, matla’ atau bahasa mudahnya tempat terbitnya bulan negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi kerana kedudukan kedua-dua negara yang berbeza serta mempunyai jarak waktu lebih kurang lima jam.

Kedudukan Arab Saudi yang berada lebih barat berbanding Malaysia membuatkan negara mereka mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk melihat anak bulan.

Sumber: Syahril Kadir

Ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Jadi peluang untuk anak bulan dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita dan menyebabkan perbezaan pada hari bermulanya Ramadan, Syawal, Zulhijjah serta bulan-bulan yang lain.

Berlaku perbezaan tarikh hari Arafah di kedua-dua negara

Perbezaan kedudukan anak bulan ini telah menimbulkan kekhilafan dalam kalangan umat Islam yang ingin melakukan ibadah puasa sunat hari Arafah.

Dr Zulkifli menjelaskan bahawa Malaysia mengikut Mazhab al-Syafie yang berpendapat bahawa setiap tempat yang berjauhan perlu mengikut ijtihad masing-masing dengan melihat anak bulan dan hisab.

Hal ini sebagaimana riwayat Kuraib, katanya:

أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ، بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ، قَالَ: فَقَدِمْتُ الشَّامَ، فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا، وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ، فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ، فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ فَقَالَ: مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلَالَ؟ فَقُلْتُ: رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، فَقَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ، وَرَآهُ النَّاسُ، وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ، فَقَالَ: ” لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ، فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ، أَوْ نَرَاهُ، فَقُلْتُ: أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ فَقَالَ: لَا، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” وَشَكَّ يَحْيَى بْنُ يَحْيَى فِي نَكْتَفِي أَوْ تَكْتَفِي

Maksudnya: “Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham. Kuraib berkata, “Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan.

“Pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’. Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’.

“Ibn Abbas bertanya lagi, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’. Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa’. Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.

“Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami.”

Dr Zulkifli juga cenderung untuk mengikut hujahan yang dikeluarkan oleh Mazhab al-Syafie kerana pendapatnya itu sama berdasarkan kaedah masyhur iaitu:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf”.

Pandangan ini bermaksud keputusan pemerintah perlulah dipatuhi bagi mengharmonikan masyarakat serta menunjukkan kesatuan sesama umat dalam pelaksanaan ibadah.

Sumber: Berita Harian

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, tarikh berpuasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah mengikut ketentuan rukyah awal bulan Zulhijah serta matla’ iaitu waktu ketika terbitnya anak bulan negara masing-masing. Ini adalah lebih kuat berdasarkan nas dan pendapat yang dikemukakan oleh beberapa ulama.


Kelebihan berpuasa hari Arafah

Puasa hari Arafah adalah sangat digalakkan dalam Islam kerana dijanjikan ganjaran oleh Allah SWT dengan diberikan pengampunan dosa selama dua tahun iaitu setahun sebelumnya dan setahu selepasnya.

Amalan 10 hari terawal Zulhijjah cukup istimewa sebagaimana riwayat Ibn Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW yang bersabda:

مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.

Maksudnya: “Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’ “

Kepada umat Islam di luar sana, ambillah peluang ini untuk berpuasa pada hari Arafah dan mengutip ganjaran ini yang hanya ada sekali dalam setahun.

Pada masa yang sama, rebutlah peluang untuk membaca doa pada waktu Wukuf pada hari ini (8 Julai) kira-kira pada jam 5.26 petang ini.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd