Now Reading
Cara Elak Haid Ketika Haji [Pendapat]

Cara Elak Haid Ketika Haji [Pendapat]

Perkara yang sering ‘menghantui’ para wanita.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Oleh:
Dr Nurul Khairiyah Khairuddin
Pakar Obstetrik & Ginekologi
Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri
.


Sebagai seorang wanita dan ibu, pasti pelbagai cabaran dilalui sebelum dan ketika mahu mengerjakan ibadah Haji. Terumatanya bagi wanita yang masih berada di dalam fasa “reproduktif” ataupun fasa subur dan belum mengalami menopos.

Jika sebelum ini, majoriti jemaah haji wanita sudah pun melewati usia menopause atau putus haid dan menyebabkan topik ini kurang dibincangkan pada masa dahulu.

Dalam artikel ini saya akan kongsikan tips kepada para wanita yang khuatir akan kedatangan haid ketika sedang menjalankan rukun Islam kelima tersebut.


Bagaimana cara wanita melaksanakan rukun ibadah sebagai tetamu Allah SWT jika ‘tetamu’ bulanan itu bertandang?

Itulah juga persoalan yang melazimi WhatsApp saya setiap kali tiba musim haji atau umrah.

Bagaimana nak elakkan haid waktu haji/umrah? Pil apa yang sesuai? Makan macam mana pilnya? Mari saya kongsikan pengalaman saya sambil menghuraikan misteri sainsnya.

Saya membuat rujukan dengan ustazah dan membaca fatwa berkenaan penggunaan ubat menahan haid. Hukumnya harus selagi tidak memudaratkan.

Saya mula mengambil ubat pil perancang 2 bulan sebelum jangkaan tarikh saya berangkat ke tanah suci. Saya perlu menguji dahulu keberkesanan ubat tersebut sebelum digunakan di sana.

Ubat yang saya ambil adalah pil kombinasi estrogen dan progesterone. Ubat ini akan menghalang proses ovulasi berlaku di samping menstabilkan dinding rahim.


Apa Itu Proses Ovulasi?

Sumber: Sehatq

Secara semulajadi, proses ovulasi menyediakan benih wanita (ovum) untuk disenyawakan sewaktu hari subur. Dinding rahim akan menebal dan bersedia untuk menerima janin yang bakal terbentuk untuk melekat di dinding rahim. Apabila persenyawaan tidak berlaku, maka dinding rahim yang tebal ini akan runtuh menjadi darah haid.


Elakkan Ovulasi Berlaku

Pil Combined OCP (oral contraceptive pil, ubat pencegah kehamilan) menghalang ovulasi, maka dinding rahim tidak menebal dan distabilkan dari runtuh oleh pil, maka tiada haid berlaku selagi terus mengambilnya tanpa henti.

Saya akan mengambil pil tersebut setiap hari, setelah azan pertama berkumandang.

Sumber: Medical News Today

Di Mekah azan akan berkumandang dua kali di awal pagi. Azan pertama sebelum waktu subuh dan azan kedua setelah masuk waktu Subuh. Saya meneruskannya sehingga selesai urusan haji.

Setelah segala urusan haji selesai, kami berazam untuk melaksanakan umrah setiap hari selepas Subuh dan berpuasa sunat pula.

Ditakdirkan Allah SWT, pada hari kedua saya berniat untuk puasa, saya terlupa sama sekali untuk mengambil pil tersebut. Saya hanya menyedarinya selepas azan kedua berkumandang. Memandangkan saya sudah berniat, saya teruskan sahaja puasa.


Dinding Rahim Jadi Tak Stabil

Menjelang waktu Asar hari yang sama, terus turun darah haid. Sememangnya itu adalah kesan sampingan yang boleh dijangka kerana dinding rahim menjadi tidak stabil apabila tiada hormon yang mengawalnya.

Dinding rahim akan runtuh menjadi darah haid.

Sumber: Halodoc

Haid saya berlangsung selama 8 hari, ia tidaklah banyak, tapi tiada tanda ia mahu berhenti. Tinggal 4 hari lagi sebelum saya meninggalkan bumi Mekah untuk ke Madinah. Saya mula gusar kerana perlu melaksanakan tawaf wida’. 

Saya cuba memberi mesej kepada Pakar Perunding saya yang turut mengerjakan haji pada musim itu. Beliau mencadangkan saya untuk mengambil dos tinggi progesterone bagi menghentikan darah haid.

Tapi saya perlu makan hingga pulang ke Malaysia. Jika tidak, darah saya akan turun tidak menentu pula. Saya mengambil Pil Provera 10mg 3 kali sehari yang saya beli di farmasi di Mekah. Haid saya berhenti selepas 24 jam. Saya berkesempatan untuk menjalankan umrah terakhir dan menyelesaikan tawaf wida’.

Sumber: Unsplash

Pilihan kedua bagi mereka yang mahu menahan haid adalah pil Provera yang perlu diambil 3 kali sehari. Ia akan menstabilkan dinding rahim dan meniru komposisi hormon ketika hamil. Ia juga boleh diambil untuk memendekkan tempoh durasi haid yang sudah terjadi. 

Ia dimulakan 3 hari sebelum tarikh jangka akan haid. Ini adalah pilihan kedua jika anda telah terlewat untuk memulakan pil gabungan COCP. Memandangkan ia perlu diambil 3 kali sehari, kebarangkalian terlupa untuk mengambil ubat ini sangat tinggi. 

Kedua-dua jenis pil ini perlu dimakan berterusan setelah mula diambil hinggalah pulang ke Malaysia. Jika terlupa, kemungkinan boleh berlaku ‘withdrawal bleed’ atau pendarahan tidak sekata dari vagina.

Sama ada hukum haid terpakai atau tidak ketika itu adalah topik untuk perbincangan yang lain. Melalui ilmu fisiologi kitaran haid dan manipulasi hormon, haid boleh ditangguhkan.

Walau bagaimanapun, kita perlu faham dan sedar sepenuhnya, kita berusaha dan merancang. Allah SWT jualah yang memberikan rezeki kepada kita sama ada ia berkesan atau tidak atau berjalan seperti yang kita rancangkan.


Dr Nurul Khairiyah Khairuddin adalah Pakar Obstetrik & Ginekologi di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri. Semua pendapat yang tertulis adalah miliknya dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pihak TRP.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: FacebookTwitter dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd