Now Reading
“Banyak Hidden Gems” – Percutian Di Jeju, Korea Akan Buat Anda Terpukau

“Banyak Hidden Gems” – Percutian Di Jeju, Korea Akan Buat Anda Terpukau

Jauh daripada kesibukan bandar Seoul atau Busan, Jeju-do merupakan sebuah pulau gunung berapi di mana langit bertemu laut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Kami sebenarnya tak berapa faham dengan minat orang ramai terutamanya rakyat Malaysia yang menggemari Korea Selatan dan bagaimana budaya pop K-wave berkembang menerusi muzik, rancangan televisyen dan jenama.

Tetapi apabila Jeju Tourism Organization menjemput kami ke wilayah yang diperintah oleh rakyatnya sendiri itu (Special Self-Governing Province), kami agak teruja untuk merasai sendiri pengalaman yang ditawarkan oleh Hanguk.

Kami sebenarnya tak tahu apa-apa tentang negara ini dan hanya membuat sedikit persediaan seperti mempelajari beberapa perkataan seperti “Annyeonghaseyo” dan “Go map seum ni da” sebelum memulakan pengembaraan.

Bersama seorang lagi team TRP iaitu Ken Joe Tai, kami menyertai satu kumpulan pelancong dari Malaysia dalam perjalanan sejauh 4,000 km merentasi lautan ke Pulau Jeju yang disifatkan sebagai permata Korea.

Ternyata kehidupan di pulau terus membuatkan kami menyebut “Saranghae”.

“The Island of Goddesses and Grandfathers”

Jauh dari kesibukan kawasan metropolitan yang lebih besar di Republik seperti Seoul atau Busan, Jeju-do digelar oleh orang tempatan sebagai pulau gunung berapi yang boleh dilawati dengan menaiki feri dari tanah besar Korea.

Pulau ini dipenuhi dengan bandar-bandar aneh, perkampungan dan pemandangan menakjubkan serta suasana sejuk yang menyamankan. Ia juga diiktiraf sebagai tapak warisan semulajadi dunia: UNESCO.

Lokasi ini kaya dengan keajaiban semulajadi, sejarah dan legenda. Kadangkala dipanggil sebagai “Samada-do” yang bermaksud dipenuhi dengan batu, angin dan wanita. Malah, legenda tempatan mengaitkan pulau ini dengan 18,000 dewa berbeza yang rata-ratanya adalah wanita. Selain itu, bahagian atas panteon pulau tersebut mempunyai Seolmundae iaitu nenek kepada dewi yang mencipta pulau berkenaan.

Mereka berpendapat bahawa roh dewi itu masih hidup dalam diri setiap wanita Jeju-do sehingga kini. Menurut pemandu pelancong kami, sejak zaman purba lagi wanita Jeju-do adalah golongan yang akan melakukan kerja-kerja berat untuk mengusahakan tanah ini dan turut menyelam ke dalam laut.

Jeju-do masih terkenal dengan Haenyeo atau wanita laut yang menyelam secara bebas untuk mendapatkan rumpai laut, moluska dan makanan lain di pulau itu untuk dijadikan sebagai hidangan.

Sumber: TRP

Ketika bersiar-siar di sekitar Jeju-do, anda boleh melihat banyak patung purba dikenali sebagai Dolhareubang atau Batu Datuk di setiap tempat — malah ia turut dijadikan cenderamata dan boleh dibawa bersama. Pendek kata, patung itu adalah maskot pulau ini.

Kami diberitahu terdapat dua kisah berbeza tentang kepentingan dan asal usul datuk ini. Yang pertama adalah arca berkenaan diukir daripada batu gunung berapi dan diletakkan di hadapan istana purba pulau Jeju sebagai simbol kemakmuran, kesuburan dan perlindungan.

Terdapat dua sisi watak Batu Datuk iaitu sebagai seorang pahlawan dan golongan berintelektual. Karakter ini bergantung kepada peletakan tangannya di dada dan perut.

Selain itu, asal usul Dolhareubang juga agak menyedihkan. Masyarakat tempatan mengatakan bahawa pernah ada seorang suami bertukar menjadi batu selepas menunggu isteri yang tidak pulang dari laut.

Pulau Langit dan Laut

Kehebatan alam semulajadi terserlah di Jeju-do. Pulau ini berada di antara langit dan laut serta ditaburi dengan puncak gunung, dataran hijau, anak sungai cetek, hutan dan garis pantai bercahaya biru yang mempesonakan.

Tidak kurangnya dengan pemandangan romantik dan indah yang menarik perhatian. Kami dimaklumkan bahawa pulau ini turut menjadi lokasi kegemaran untuk set penggambaran K-drama dan K-filem terkenal.

Kami dialu-alukan ke Pulau Jeju pada musim panas bulan Jun apabila matahari terbit seawal jam 5 pagi dan terbenam sepenuhnya selepas jam 8 malam. Musim panas di pulau itu agak hangat dan berangin tetapi kadangkala ada juga turunnya hujan renyai. Agak sejuk jugalah kalau anda bersiar-siar dengan seluar pendek. Tetapi ini tidak menjadi penghalang untuk kami terus menerokai Jeju-do.

Sumber: TRP/Darren Yeoh

Tarikan istimewa di Jeju-do sudah semestinya pantai yang terserlah indah dengan batu hitam dari gunung berapi, pasir putih, pemandangan hijau, bunga berwarna-warni serta laut biru.

Di sebelah barat laut pulau itu ialah Aewol Handam Coastal Trail yang terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju. Di sini, kami dapat mencium bau laut dan berjalan-jalan menyusuri laluan pejalan kaki di antara tebing dan laut yang terbentang luas, sebelum berehat untuk menikmati minuman menyegarkan di pelbagai kafe di tepi pantai.

Sumber: TRP

Di sebelah timur laut pulau pula terletak bandar pesisir pantai Gujwa-eup yang terkenal dengan penginapan tepi laut, kafe dan adegan mencandat sotong. Malah, anda boleh melihat penduduk tempatan menggantung hasil tangkapan mereka pada waktu malam untuk dijemur di bawah terik matahari di tepi jalan.

Kami cukup bernasib baik kerana dapat mengikuti lawatan berbasikal “Bike and Clean” yang disediakan oleh BY100 — sambil menikmati persekitaran yang santai. Kami juga sempat melakukan amal kebajikan dengan membersihkan pantai menggunakan tangan.

Sumber: TRP

Di penghujung timur pulau itu terdapat Seongsan Ilchulbong atau Puncak Matahari Terbit. Gunung ini sudah terbentuk beribu-ribu tahun dahulu hasil daripada letusan gunung berapi di bawah laut sehingga menghasilkan kawah berbentuk cakera yang terkenal di bahagian atasnya.

Kami mengambil masa kira-kira 30 hingga 40 minit untuk menaiki tangga yang berliku untuk mendaki ke puncak. Berpeluh-peluh jugalah. Tetapi pemandangan laut dan bandar dari gunung ini memang sangat berbaloi. Terus terlupa penat lelah mendaki sebelumnya itu.

Kami diberitahu bahawa waktu terbaik untuk mendaki gunung adalah pada awal pagi. Barulah boleh tengok matahari terbit di ufuk.

Sumber: TRP

Hutan Yang Mempesonakan

Kalau anda berjalan ke kawasan yang lebih dalam, akan adanya hutan sederhana dan subtropika Jeju-do yang mempesonakan. Perhentian yang menjadi kegemaran kami dalam perjalanan ini adalah di Seogwipo Forest of Healing — sebuah hutan yang damai dan mistik serta dipenuhi dengan pokok-pokok.

Cara terbaik untuk kami gambarkan hutan ini kepada anda adalah ianya seolah-olah spa ‘outdoor’ untuk menenangkan minda, badan dan jiwa sambil dikelilingi alam semula jadi.

Di sini, kami dibawa mengembara secara khas ke dalam hutan diketuai oleh seorang lelaki tua yang pendiam tetapi sangat bijak. Semasa kami mendaki ke dalam hutan, lelaki tua itu kerap berkongsi pandangan peribadinya tentang kehidupan sambil merentasi suasana flora di dalam hutan.

Bukan itu sahaja, kami juga berpeluang untuk tidur buat sementara waktu sambil bermeditasi di atas buaian gantung di bawah kanopi — sempat jugalah kami layan bunyi-bunyian burung dan serangga serta tiupan angin di celah pohon. Selepas bangun dari tidur, kami dapat rendam kaki dalam air suam dan menikmati minuman herba sebelum mengakhiri perjalanan.

Sumber: TRP/ Sunny Hong

Pada waktu malam, kami dibawa pula ke hutan lain di kaki Gunung Hallasan yang merupakan puncak tertinggi di Jeju-do. Di sini, kami sempat mengambil gambar Jeju Night Snap bersama jurugambar profesional dikenali sebagai Jay dari Soom Studio. Boleh tahan banyak juga gambar peribadi diambil dan disunting pada malam yang cukup mempersonakan itu.

Sumber: Jay/ Soom Studio

Tetapi kalau anda lebih suka mengambil selfie, pasti anda akan menggemari satu lokasi di Jeju-do iaitu persinggahan Hutan Sanyang Gotjawal. Pemandu pelancong kami menceritakan bahawa tempat ini dihasilkan oleh petani tempatan untuk memelihara kawasan berkenaan daripada pembangunan dan menjadikannya sebagai tarikan yang ‘instagramable’. Macam-macam ‘props’ dan latar belakang ada.

Sumber: TRP

Bandar yang tidak pernah ‘tidur’

Jeju-si yang merupakan ibu kota Jeju-do adalah bandar metropolitan penuh dengan orang ramai. Lokasi ini agak menarik untuk anda memulakan pengembaraan kerana terletaknya lapangan terbang dan pelabuhan utama. Bukan itu sahaja, anda juga boleh ke mana-mana di sekitar bandar Jeju dengan hanya menaiki bas awam.

Selain itu, anda boleh pergi ke pelbagai lokasi di bandar ini dengan hanya dengan berjalan kaki kerana infrastruktur pejalan kaki di sini sangat mengagumkan. Ianya lengkap dengan laluan pejalan kaki serta lintasan zebra di setiap sudut jalan raya.

Sumber: TRP

Suasana di bandar ini yang nyaman serta meriah tampil dengan gabungan menarik antara binaan baharu dan lama. Di sini kami berpeluang untuk merasai sendiri gaya hidup di bandar Korea walaupun tidak sesibuk seperti di Seoul.

Apabila matahari mula terbit, anda dapat melihat bagaimana masyarakat tempatan menjalani kehidupan mereka. Menjelang pada waktu malam, boleh tahan ‘hidup’ juga bandar ini dengan pelbagai kedai makan, kedai kopi, bar, pun dan kelab malam yang dihiasi lampu-lampu neon.

Nuwemaru Street adalah salah satu lokasi di Jeju-si yang anda wajib singgah untuk merasai kehidupan pada waktu malam. Kebiasaannya parti di sini bermula pada jam 11 malam dan akan berterusan sehingga awal pagi. Tetapi sejak pandemik, banyak kedai tutup awal. Jadi, rancanglah perjalanan anda sebaik mungkin.

Sumber: TRP

Kalau tengah berjalan-jalan kemudian rasa lapar pula, boleh singgah ke Pasar Dongmun di bandar ini untuk mendapatkan ‘street food’ asli Jeju atau boleh juga ke pusat beli-belah Shilla Duty Free bagi membeli cenderahati.

Pada masa yang sama, anda boleh menikmati pemandangan bandar di atas Hotel Grand Hyatt Jeju serta Jeju Dream Tower yang merupakan bangunan tertinggi di pulau ini.

Aktiviti pelancongan untuk diterokai

Sebagai destinasi popular untuk pelancong tempatan dan antarabangsa, Jeju-do mempunyai pelbagai taman hiburan dan tarikan bersifat mesra keluarga kepada para pengunjung. Kami dibawa ke Snoopy Garden dan berpeluang berjumpa dengan pelbagai watak dalam komik klasik Peanuts.

Ada juga muzium ‘indoor’ untuk anda mempelajari tentang Snoopy, Charlie Brown dan watak-watak lain serta pereka komik ini. Di kawasan luar terdapat taman yang memaparkan babak ikonik serta patung dari komik berkenaan.

Sumber: TRP

Kalau anda sukakan aktiviti mencabar, kami cadangkan anda untuk pergi ke Jeju Monolith 9.81 Park di mana tarikan menarik utama di situ adalah padang lumba go-kart berkelajuan tinggi, tidak bermotor dan berpeluang untuk menuruni bukit berkelajuan 40 kilometer sejam.

Banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan di taman ini seperti permainan arked, laser tag dan sebagainya.

Sumber: TRP

Jika anda ingin mencari sesuatu yang membuatkan minda anda ‘mind blown’, Muzium Arte memaparkan hasil seni digital yang tidak boleh dilupakan. Muzium ini mempamerkan seni klasik dan moden yang cukup memukau dengan gabungan lampu, bunyi serta sentuhan untuk mengujakan deria anda.

Salah satu pameran yang menjadi kegemaran kami adalah Taman #2 di mana karya agung Vincent van Gogh dan penggiat seni lain turut dipamerkan pada satu kanvas besar mengelilingi anda. Sambil melihat karya seni ini, boleh layan muzik klasik Moonlight Sonata dari Beethoven sebagai latar belakang.

Muzium ini juga mempunyai Bar Teh yang memberi pengalaman menarik kerana minuman dihidangkan di atas meja dengan paparan interaktif.

Sumber: TRP

Satu lagi tarikan utama di Jeju-do pastinya hidangan lazat mereka. Kalau anda penggemar makanan karnivor seperti kami, agak sukar jugalah pada mulanya kerana diet utama masyarakat di sini berasaskan sayur-sayuran dan rumpai laut. Tetapi kami secara peribadinya boleh memberi jaminan yang anda patut cuba hidangan di Jeju kerana pulau ini menghasilkan beberapa jenis sayuran terbaik.

Menu tradisional iaitu Siraegi-guk yang merupakan sup berasaskan lobak putih dihidangkan bersama nasi, bayam serta sayuran lain seperti terung goreng, tauhu, kubis dan ikan tenggiri panggung confirm akan membuatkan anda kekenyangan.

Pulau ini juga terkenal dengan makanan laut segar seperti ketam, abalon dan sebagainya hasil kutipan terus dari perairan Jeju.

Sumber: TRP

Buat mereka yang ingin membuat sendiri hidangan manisan, kelas memasak di kafe Toto Atelier adalah lokasi yang terbaik untuk mengasah kemahiran pastri seseorang. Anda berpeluang untuk memilih sayur-sayuran segar, herba dan bunga dari taman untuk dimasukkan sekali dalam hidangan pai dan kek yang dibuat sendiri mengikut panduan pakar pembuat roti di kafe tersebut.

Sumber: TRP

Pulau ini juga terkenal dengan budaya teh dan kopi. Kami sempat singgah di Muzium Osulloc Tea untuk mencuba sendiri beberapa minuman dan produk terbaik berasaskan teh di pulau tersebut. Kami membawa pulang satu balang ‘spread’ teh susu hijau istimewa mereka. Bolehlah makan dengan roti bakar waktu sarapan nanti.

Sumber: TRP

Melancong ke Pulau Jeju

Jika travelog kami ini membuatkan anda bercadang untuk melancong ke Jeju-do, ada beberapa perkara diketahui sebelum anda membuat persiapan untuk memulakan pengembaraan di pulau tersebut:

  • Jeju merupakan negara empat musim dengan setiap satu mempunyai suasana yang unik. Jadi, rancanglah perjalanan anda sama ada ingin melawati pulau ini pada musim bunga, panas, luruh atau sejuk. Jangan lupa bawa pakaian yang bersesuaian dengan cuaca di sana.
  • Kawalan peraturan di Korea selepas pasca pandemik agak longgar. Di Jeju, anda boleh berjalan di tempat terbuka tanpa perlu memakai pelitup muka tetapi masih perlu memakainya ketika berada di kawasan tertutup dan menjaga penjarakan fizikal.
  • Asah bahasa Korea anda kerana rata-rata penduduk pulau ini tidak mahir bertutur dalam bahasa Inggeris. Belajar beberapa perkatan Korea pun sudah memadai. Tetapi ada juga segelintir pekerja perkhidmatan terutamanya di hotel, kedai makan dan bar yang bercakap menggunakan bahasa Mandarin kerana ramai juga pelancong datang dari negara China.
  • Rakyat Malaysia dibenarkan memasuki Korea tanpa visa sehingga 90 hari dan sistem tanpa visa di Jeju pula membenarkan warga asing untuk berada sehingga 30 hari tanpa visa. Tetapi pelawat perlu memohon dan mendapatkan kelulusan Korea Electronic Travel Authorization (K-ETA) secara atas talian sebelum berlepas. Proses K-ETA mengambil masa sekurang-kurangnya 72 jam dan sah diigunakan dalam tempoh dua tahun.
  • Peraturan pasca pandemik di Korea telah membenarkan pelancong yang tidak divaksinasi memasuki negara mereka tanpa perlu menjalani kuarantin wajib. Namun, pengembara perlu menunjukkan keputusan ujian PCR negatif dalam tempoh 48 jam atau ujian RTK yang hanya sah dalam tempoh 24 jam sebelum berlepas. Anda juga diwajibkan untuk memohon Korean Q-Code yang menyimpan kesemua maklumat kesihatan yang diperlukan. Jangan lupa cetak dokumen tersebut dan simpan salinan digital di dalam telefon beserta dengan sijil vaksinasi Malaysia yang boleh didapatkan menerusi apilkasi MySejahtera.
  • Pelawat dikehendaki melakukan satu lagi ujian Covid-19 72 jam selepas tiba di Jeju tetapi anda disyorkan untuk melakukannya sebaik sahaja tiba pada hari pertama. Ujian tersebut boleh dilakukan di mana-mana klinik, hospital atau fasiliti yang disenaraikan. Muat turut dokumen di bawah untuk melihat senarai penuh fasiliti dan maklumat lanjut.

Jeju-Safe-Travel-Information

  • Kepada mereka yang merokok atau menghisap vape, pulau ini adalah kawasan smoke-free dan hanya dibenarkan untuk merokok atau vape di lokasi tertentu sahaja. Tetapi jika di negara Rome, katanya kalau anda nampak penduduk tempatan menyalakan pemetik api di ruang terpencil, berkemungkinan selamat untuk anda merokok tanpa dikenakan sebarang denda.
  • Ikut peraturan kerana ini bukannya Malaysia. Kereta hanya akan berhenti dan memberi laluan kepada mereka yang menyeberang jalan di lintas zebra sahaja. Jangan lupa juga untuk buang sampah di tempat yang sepatutnya dan elakkan minum minuman alkohol secara terbuka atau memetik bunga sesuka hati di pulau berkenaan.
  • Selamat menikmati pengembaraan Jeju-do anda!

Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd