Now Reading
“Ekzema Tak Semua Berpunca Dari Alergi Makanan” – Ini Penjelasan Oleh Doktor Pakar

“Ekzema Tak Semua Berpunca Dari Alergi Makanan” – Ini Penjelasan Oleh Doktor Pakar

Ekzema yang berlaku disebabkan oleh alergi makanan hanyalah merangkumi 5% sahaja.

ekzema dan alergi makanan (1)

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Ekzema atau nama lainnya dermatitis atopik merupakan suatu keadaan di mana kulit seseorang itu akan meradang sehingga menyebabkan bengkak, gatal, ruam-ruam merah seperti kulit melecur di bahagian badan seperti muka, pergelangan tangan dan pertengahan siku.

Keadaan ini turut menyebabkan beberapa kawasan kulit akan berkerak dan bukan sahaja boleh dialami oleh kanak-kanak, malah orang dewasa juga berpotensi untuk mengalami ekzema juga.

Kajian mendapati 20% kanak-kanak dan 13% orang dewasa berpotensi mengalami masalah ekzema.

Namun, ada juga sesetengah individu yang beranggapan ekzema itu hanya berlaku disebabkan alergi kepada sesuatu makanan. Sebenarnya kenyataan itu tidak salah tetapi kurang tepat.

Doktor pakar perjelas fakta penyakit Ekzema

Baru-baru ini, seorang doktor pakar kulit berkongsi di laman Twitter miliknya (Lyana Kamal) tentang salah faham antara ekzema dan alergi makanan.

Menurutnya, ekzema adalah suatu penyakit kulit yang kompleks dan faktor pemakanan bukanlah satu-satunya menjadi punca seseorang mendapat ekzema.

ekzema-kulit-meradang

Punca ekzema

Antara punca lain yang boleh menyebabkan seseorang mendapat ekzema adalah seperti berikut:

  • Faktor genetik.
  • Lapisan kulit luar yang tidak normal.
  • Proses keradangan.
  • Faktor luaran seperti debu dan bulu binatang.

Berdasarkan kajian, perkaitan antara ekzema dan alergi makanan hanya 5% sahaja. Disebabkan itulah ada di antara mereka yang masih dibelenggu masalah ekzema walaupun sudah mengelakkan sesetengah jenis makanan yang didakwa menjadi penyebab kepada masalah kulit.

Jenis-jenis ekzema

Disebabkan ekzema berpunca daripada pelbagai jenis faktor lain, masalah kulit ini juga boleh berlaku dalam beberapa jenis seperti berikut:

  • Ekzema atopik
  • Ekzema kontak
  • Ekzema dishidrotik atau Pompholyx
  • Ekzema seborrheic
  • Neurodermatitis
  • Ekzema nummular
  • Ekzema statis
ekzema
Sumber: Healthline

Alergi makanan

Bila bercakap tentang alergi makanan pula, masalah ini juga mempunyai beberapa kategori bergantung kepada jenis reaksinya terhadap immunoglobulin E (IgE).

Antaranya:

1. Bertindak balas dengan IgE

Individu yang mengalami reaksi ini boleh mendapat gegata (urticaria), bengkak bibir atau mata dalam tempoh lima hingga satu jam selepas makan. Lebih teruk lagi, golongan ini boleh mengalami sesak nafas, pengsan dan meninggal dunia.

2. Hanya bertindak balas dengan sel imun lain dan bukannya IgE

Reaksi ini melibatkan sel imun selain daripada immunoglobulin E dan mempunyai tindak balas yang agak lambat. Selepas beberapa tempoh, individu berkenaan akan mengalami muntah dan cirit-birit yang kronik atau disebut sebagai diarrhea.

3. Bertindak balas dengan IgE dan sel

Reaksi ini juga mengambil masa yang agak lama sebelum bertindak balas dalam badan seseorang dan boleh menyebabkan ekzema kontak sistemik.

Cara untuk mengenal pasti alergi makanan

Untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu mengalami alergi makanan atau tidak, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil perhatian sebelum doktor dapat mengesahkan penyakit ini.

Antara langkah yang perlu diambil adalah seperti berikut:

1. Lihat semula sejarah pemakanan dan reaksi yang diterima.

Sejarah pemakanan itu perlulah dilihat semula sejak bayi dari segi pengambilan susu badan dan juga permulaan seseorang mendapat reaksi alergi.

2. Ibu bapa boleh merekodkan setiap pemakanan yang diambil oleh anak-anak.

Bagi mengenal pasti jenis makanan yang menjadi punca seseorang menerima alergi, setiap pengambilan makanan dan minuman perlu direkodkan bagi memudahkan pemantauan dari segi reaksi yang berlaku.

3. Buat ujian klinikal

Ujian klinikal merupakan antara langkah untuk mengenal pasti alergi makanan tetapi jika keputusan menunjukkan positif, itu tidak bermakna individu berkenaan 100% mempunyai alergi.

Doktor pakar perlu melihat kembali kepada sejarahnya sebelum menginterpretasi keputusan ujian klinikal berkenaan.

Walaupun ada sesetengah individu yang beranggapan bahawa masalah alergi ini boleh diatasi dengan mengelakkan seseorang dengan diet pemakanan, namun tindakan ini tidak begitu efektif kerana boleh menyebabkan gangguan zat serta nutirisi dalam perkembangan fizikal dan mental terutamanya kanak-kanak.

Cara mengatasi alergi makanan

Jika seseorang disahkan mendapati alergi makanan, antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi alergi makanan adalah seperti berikut:

  • Baca label produk makanan dengan teliti.
  • Kurangkan makan di luar.
  • Maklumkan kepada tukang masak sekiranya mempunyai sebarang alergi makanan.
  • Buat senarai makanan yang tidak boleh dimakan supaya tidak terlupa.
  • Sentiasa bawa ubat-ubatan jika keluar sebagai persediaan sekiranya termakan makanan yang sepatutnya dielakkan.

Ekzema dan alergi makanan adalah kumpulan penyakit kulit yang menyebabkan kegatalan dan kemerahan pada kulit. Walaupun tidak berjangkit kepada orang lain dan tiada ubat penyembuh, tetapi masalah ini masih boleh dikawal dengan pengambilan ubat-ubatan serta rawatan khusus.

Sekiranya keadaan bertambah teruk, lebih baik segera berjumpa dengan doktor pakar kulit untuk menyelesaikan masalah yang dialami. Risau pula kalau keadaan makin teruk.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd