Macklemore Digugurkan Daripada Konsert Jelajah Ed Sheeran, Selepas Isu Free Palestin
Macklemore merupakan seorang penyanyi rap yang pernah menang anugerah Grammy dan terkenal dengan lagu seperti Thrift Shop, Can’t Hold Us, Same Love & Hind’s Hall.
- Macklemore telah digugurkan daripada baki jelajah Ed Sheeran selepas beberapa stadium enggan membenarkan beliau membuat persembahan.
- Robert Kraft, pemilik Gillette Stadium, dipercayai mendorong boikot terhadap Macklemore bersama beberapa pemilik stadium lain.
- Macklemore disingkirkan ekoran laungan sokongan Free Palestine dan persembahan lagu protes Hind's Hall semasa jelajah tersebut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penyanyi rap terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Macklemore baru-baru ini dilaporkan telah digugurkan daripada baki jelajah stadium penyanyi Ed Sheeran, Loop Tour.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa stadium dikatakan enggan membenarkan beliau membuat persembahan.
Perkara itu berlaku ekoran laungan sokongan Macklemore terhadap rakyat Palestin yang diluahkan di atas pentas sepanjang jelajah tersebut bersama penyanyi Ed Sheeran.
Promoter Jelajah Loop Tour Ed Sheeran Sahkan Macklemore Telah Digugurkan

Menurut Rolling Stone, promoter jelajah Loop Tour Ed Sheeran di AS, Messina Touring Group mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.
“Sebagai promoter konsert untuk Loop Tour Ed Sheeran di AS, kami telah dimaklumkan oleh beberapa stadium pada tarikh akan datang bahawa mereka tidak akan membenarkan persembahan diadakan dengan Macklemore dalam barisan, dan akan mengakibatkan pembatalan jelajah serta menjejaskan ratusan ribu peminat,” kata mereka.
“Selepas perbincangan dengan beberapa pihak, Macklemore tidak akan membuat persembahan pada baki tarikh persembahan yang masih ada,” tambah Messina Touring Group.
Macklemore sepatutnya lakukan persembahan dalam lapan daripada 10 yang masih berbaki di jelajah Amerika Syarikat.
Jelajah tersebut dijadualkan akan bersambung semula pada Jumaat (19 September) ini, di Philadelphia.
7 Stadium Dilaporkan Telah Boikot Kehadiran Macklemore

Tujuh stadium yang telah memboikot kehadiran penyanyi rap tersebut untuk melakukan persembahan bersama Ed Sheeran adalah:
- Lincoln Financial Field (Philadelphia)
- Gillette Stadium (Foxborough, Massachusetts)
- Mercedes-Benz Stadium (Atlanta)
- Lucas Oil Stadium (Indianapolis)
- Bank of America Stadium (Charlotte, North Carolina)
- AT&T Stadium (Arlington, Texas)
- Raymond James Stadium (Tampa, Florida)
Macklemore Dipercayai Digugurkan Ekoran Kempen Boikot Olek Robert Kraft
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram, Macklemore mendakwa beliau disingkirkan selepas pemilik Gillette Stadium dan pasukan American Football, New England Patriots, Robert Kraft melancarkan kempen boikot terhadapnya.
“Ed memberitahu saya bahawa Kraft tidak akan membenarkan persembahan dilakukan di stadiumnya.
“Kraft telah bekerjasama dengan beberapa pemilik stadium lain, dan mereka memberikan kata putus, jika Macklemore kekal dalam jelajah ini, Ed tidak akan dibenarkan melakukan persembahan di stadium kami,” tulis Macklemore.
Robert Kraft Keluarkan Kenyataan Menghalang Macklemore Dari Gillette Stadium
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Robert Kraft, beliau mengesahkan membuat keputusan untuk menghalang Macklemore lakukan persembahan di stadium miliknya.
Keputusan itu diambil berdasarkan “tindakan Macklemore, bahan yang dikongsi dari semasa persembahan Ed Sheeran di New Jersey, serta sejarah luas dan imej antisemitism yang kami percaya menyinggung dan menyakitkan hati komuniti orang Yahudi.”
Macklemore Sudah Lama Dikenali Sebagai Penyokong Palestin
Untuk info, Macklemore sudah lama dikenali sebagai penyokong rakyat Palestin dan Gaza sejak beberapa tahun lalu.
Macklemore menyertai Loop Tour awal bulan ini menerusi dua persembahan di MetLife Stadium berhampiran New York City pada 4 dan 5 September.
Pada malam pertama, penyanyi rap dari Seattle melaungkan Free Palestine sambil meluahkan semangat solidariti terhadap rakyat di Gaza dan Tebing Barat.
Malah, Macklemore turut menunjukkan imej keadaan di Gaza sambil menyanyikan lagu protesnya, Hind’s Hall.
Lagu itu mengisahkan penunjuk perasaan Pro Palestin di Universiti Columbia yang menduduki sebuah bangunan lalu menamakannya sempena Hind Rajab, kanak-kanak berusia enam tahun yang terbunuh di Gaza.
“Sebahagian besar sebab saya mahu membuat jelajah ini pada mulanya adalah supaya saya boleh berdiri di stadium seperti ini dan menyebut dua perkataan yang amat rapat di hati saya, iaitu Free Palestine,” katanya pada malam pertama itu.
“Saya berkata, Free Palestine!, Saya mahu perkataan itu kuat dan jelas, supaya orang jauh di Gaza sehingga ke Tebing Barat tahu bahawa kami tidak melupakan mereka,” tambah Macklemore.
Macklemore Tujukan Mesej Kepada Penonton Di MetLife
Pada persembahan kedua pula, Macklemore sekali lagi melaungkan Free Palestine sambil menujukan mesej khas kepada penonton berbangsa Yahudi.
“Kritikan terhadap Israel, kritikan terhadap aparteid, membantah pembunuhan beramai-ramai sama sekali bukanlah satu kritikan terhadap anda.
“Mesej saya adalah untuk keamanan, kasih sayang agar semua manusia dilayan dengan sama rata dan hormat,” tambahnya.
Di samping itu, Macklemore turut menyifatkan Sheeran sebagai seorang “kawan” dan mengakui penyanyi itu “berada dalam kedudukan yang sukar” berikutan dakwaan tekanan boikot tersebut.
Sebagai info tambahan, jelajah Amerika Utara Ed Sheeran dijadualkan berlangsung sepanjang musim luruh sebelum berakhir pada 7 November di Raymond James Stadium di Tampa, Florida.
Sepanjang jelajah itu, Sheeran akan terus menerima sokongan persembahan daripada Lukas Graham dan Aaron Rowe.
Kemudian, konsert jelajahnya dijangka akan kembali pada bulan November dan Disember.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.