Taanusiya Chetty mencipta sejarah apabila mendapat tempat ketiga di Miss World 2026, menyamai pencapaian Lina Teoh pada 1998.
Taanusiya turut memenangi gelaran Miss World Asia dan segmen Beauty With a Purpose, yang memfokuskan projek kemanusiaan.
Sebagai seorang guru, Taanusiya berharap lebih ramai percaya bahawa guru juga mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pertandingan Miss World 2026 di Vietnam telah melabuhkan tirai pada 5 September lalu, yang menyaksikan 111 wanita berbakat hebat dari seluruh dunia berentap bagi gelaran ‘Miss World’.
Wakil Malaysia, Taanusiya Chetty, mengharumkan nama negara apabila mendapat tempat ketiga di Miss World 2026.
Kejayaan ini menyamai pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini apabila Lina Teoh berjaya mendapat tempat ketiga pada tahun 1998.
Dalam masa sama, Joheirry Mola Dominguez dari Dominican Republic membawa pulang mahkota Miss World, manakala tempat kedua dimenangi oleh Elisabeth Reynes Alabern dari Sepanyol.
Taanusiya Beri Penghargaan Pada Rakyat Malaysia Atas Sokongan & Doa
Mengulas kemenangannya, Taanusiya berkata sokongan moral dan doa dari rakyat Malaysia menjadi pemangkin buat dirinya.
“Terima kasih buat semua rakyat Malaysia yang menyokong saya sepanjang pertandingan Miss World di Vietnam. Saya sangat bersyukur dapat mencipta sejarah buat kali kedua buat negara tercinta kita.
“28 tahun dahulu, kita juga memenangi tempat ketiga. Setelah sekian lama, ini adalah sejarah baharu untuk negara kita. Terima kasih Malaysia kerana menyokong dan mempercayai saya,” katanya dipetik Bernama.
Taanusiya Chetty bersama barisan Miss World. (Foto: IG @missworld)
Taanusiya Pemenang Segmen Beauty With a Purpose
Bukan itu sahaja, Taanusiya turut membawa pulang gelaran Miss World Asia dan dinobatkan sebagai pemenang bagi segmen ‘Beauty With a Purpose‘ (BWAP).
Taanusiya berjaya mencapai enam teratas selepas memenangi segmen BWAP, salah satu komponen paling penting dalam pertandingan Miss World.
Segmen berasaskan kerja amal itu memberi fokus terhadap peserta yang menggerakan projek kemanusiaan, pendidikan dan kesihatan di negara masing-masing.
Dengan kemenangannya, Taanusiya akan menyertai Dominguez mengelilingi dunia dalam menjalankan pelbagai tugas-tugas kemanusiaan.
Taanusiya Tekankan Kepentingan Memupuk Kesedaran Alam Sekitar Pada Kanak-Kanak
Taanusiya menggayakan gaun berwarna merah jambu hasil rekaan Minh Tuan Couture dari Vietnam ketika pusingan soal jawab top-six, mengagumkan para juri dengan jawapannya mengenai tanggungjawab melindungi alam sekitar.
Mengambil pengalamannya sebagai seorang pendidik, dia menegaskan kepentingan memupuk kesedaran alam sekitar sejak kecil menerusi aktiviti menanam anak pokok.
Perkara ini sekali gus mendidik kanak-kanak tentang nilai tumbesaran, kesabaran dan tanggungjawab.
Taanusiya yang kini berusia 26 tahun merupakan Miss World Malaysia 2024/2025 sebelum dihantar mewakili negara di pertandingan berprestij antarabangsa itu.
Juga merupakan seorang guru, dia bukan sekadar mahu memenuhi kehendak tradisional pertandingan ratu cantik, tetapi turut berharap untuk menggunakan platform itu bagi menekankan kepentingan ke atas pendidikan dan usaha mengenai hak manusia.
Harap Ramai Tahu Guru Juga Boleh Harumkan Nama Negara Di Pentas Dunia
Di Threads, Taanusiyaa meluahkan rasa bangga kerana berjaya mengharumkan nama negara di peringkat global.
Dia turut berkongsi harapan agar lebih ramai orang mempercayai bahawa seorang guru juga mampu memasang impian yang besar dan membawa nama negara ke pentas dunia.
“Dengan sepenuh hati, untuk Be.The.Change_MY segala yang saya perjuangkan, saya lakukan kerana percaya bahawa perubahan bermula dengan satu langkah kecil,” katanya.