Now Reading
4 Gunung Berapi Indonesia Meletus Serentak, Lapangan Terbang Jakarta Ditutup

4 Gunung Berapi Indonesia Meletus Serentak, Lapangan Terbang Jakarta Ditutup

Indonesia terletak di sepanjang kawasan dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik yang merupakan kawasan aktif gempa bumi.

In Brief
  • Anak Krakatau meletus menyebabkan lapan lapangan terbang ditutup, mengakibatkan 1,558 penerbangan ditangguhkan dan 170,000 penumpang terkandas.
  • Tiga gunung berapi lain, iaitu Gunung Semeru, Gunung Ili Lewotolok dan Gunung Ibu, turut meletus serentak di Indonesia.
  • Kualiti udara di Malaysia turut terjejas, dengan 40 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara pada tahap tidak sihat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebuah gunung berapi di Indonesia telah menyebabkan kira-kira 170,000 penumpang terkandas selepas lapan (8) lapangan terbang terpaksa ditutup sementara selepas ia meletus Ahad semalam (6 September).

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta menjadi yang pertama ditutup sebaik debu daripada Anak Krakatau dikesan berhampiran ruang udaranya.

Gunung berapi itu mula meletus lewat malam Jumaat lepas (4 September), mencetuskan aktiviti seismik berterusan, pancutan lava serta bunyi dentuman di sekitar kawasan berhampiran.

Lapan Lapangan Terbang Ditutup, Sebanyak 1,558 Penerbangan Terjejas

Menurut BBC, Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata 1,558 penerbangan ditangguhkan berikutan penutupan lapangan terbang sehingga jam 9 pagi hari ini (7 September).

Penutupan operasi itu telah menjejaskan penerbangan dari Singapura, selain beberapa laluan antarabangsa lain termasuk Doha, Sydney dan Kuala Lumpur.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi berkata keputusan untuk menutup lebih banyak lapangan terbang dibuat selepas ujian mendapati debu gunung berapi telah merebak ke arah Jawa Barat.

Menurut agensi meteorologi Indonesia, BMKG, debu gunung berapi telah mencecah sehingga 20,000 kaki (6,000 meter) di bahagian timur Pulau Jawa.

Manakala di bahagian barat pula, iaitu di sisi Pulau Sumatera, debu itu naik sehingga 50,000 kaki (15,000 meter).

View on Threads

Tiada Amaran Tsunami Dikeluarkan, Penduduk Diminta Berjaga-Jaga

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa tiada amaran tsunami dikeluarkan berikutan aktiviti terbaharu gunung berapi tersebut.

Untuk pengetahuan umum, Anak Krakatau terletak di Selat Sunda, iaitu di antara Pulau Jawa dan Pulau Sumatera.

Dalam masa sama, Menteri Kesihatan menyeru penduduk di kawasan terjejas supaya kekal berada di dalam rumah serta memakai pelitup mauka.

Langkah itu penting bagi melindungi diri daripada risiko pernafasan, mata dan kulit akibat pendedahan kepada debu gunung berapi.

Penduduk Di Kawasan Terjejas Kongsi Pengalaman Berdepan Debu Gunung Berapi

Letusan Gunung Berapi Krakatau. (Foto: The Conservation)

Seorang penduduk, Aldi Candra Prayogi berkongsi pengalamannya berdepan keadaan berdebu dihadapinya beberapa hari lalu.

Kesan debu itu boleh dirasa terutamanya pada bahagian matanya.

“Ia terasa seperti butiran pasir halus masuk ke dalam mata saya,” katanya, sambil menegaskan bahawa Aldi terpaksa menggunakan ubat titis mata bagi menghilangkan rasa sakit tersebut.

Malah, Aldi turut memberitahu bahawa debu di kawasannya begitu tebal sehingga menyebabkan dia perlu menyapu halaman rumahnya setiap lima minit.

Empat Gunung Berapi Meletus Serentak Di Sepanjang Lingkaran Api Pasifik

Gambaran letusan gunung berapi dari atas. (Foto: MalayMail)

Menariknya, bukan Anak Krakatau sahaja yang aktif ketika ini kerana tiga lagi gunung berapi turut mengalami letusan pada masa sama.

Selain Anak Krakatau, Gunung Ibu, Gunung Ili Lewotolok serta Gunung Semeru turut mencatatkan letusan serentak.

Menerusi Intellinews, letusan itu bermula dari Selat Sunda, Jawa Timur sehinggalah ke Nusa Tenggara Timur dan Maluku Utara merentasi beberapa rangkaian pulau.

Ketiga-tiga gunung berapi adalah seperti berikut:

  • Gunung Semeru: Mencatatkan kepulan letusan tertinggi setinggi 1,000 meter di atas puncaknya, sekali gus mendorong Agensi Geologi menguatkuasakan zon larangan ketat sejauh 13 kilometer (km) di sepanjang koridor sungai Besuk Kobokan bagi melindungi orang ramai daripada arus ketumpatan piroklastik dan aliran lava sejuk (lahar).
  • Gunung Ili Lewotolok: Mencatatkan kesan debu setinggi 600 meter selepas empat denyutan letusan dalam tempoh 48 jam.
  • Gunung Ibu: Merekodkan kepulan debu setinggi 400 meter di kawasan Maluku Utara

Kualiti Udara Di Beberapa Kawasan Di Malaysia Turut Terjejas

Dalam perkembangan berkaitan, kualiti udara di beberapa kawasan di Malaysia turut dilaporkan berada pada tahap tidak sihat berdasarkan bacaan pagi tadi.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), sebanyak 40 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Samarahan di Sarawak merupakan satu-satunya kawasan yang mencatatkan bacaan sangat tidak sihat pada paras 226.

Malah, Sarawak kekal sebagai negeri paling terjejas dengan 11 lagi kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat, iaitu:

  • Sarikei (194)
  • IPD Serian (193)
  • Kuching (192)
  • Sibu (183)
  • Sri Aman (183)
  • Mukah (182)
  • Samalaju (179)
  • Bintulu (172)
  • ILP Miri (169)
  • Miri (166)
  • Limbang (149)

Anak Krakatau Pernah Meletus Pada Disember 2018, Mencetuskan Tsunami Besar

Gambaran letusan Gunung Krakatoa pada tahun 1883. (Foto: Science)

Gunung berapi yang dikenali sebagai Anak Krakatau telah terbentuk selepas letusan besar Gunung Krakatoa pada tahun 1883.

Beberapa tahun kemudian, Anak Krakatau meletus pada Disember 2018 sehingga menyebabkan tsunami besar.

Tragedi itu telah meragut lebih 400 nyawa serta mencederakan dan menyebabkan ribuan lain kehilangan tempat tinggi di sepanjang pantai Sumatera dan Jawa.

Indonesia Berada Di Kawasan Sepanjang Lingkaran Api Pasifik

Gambaran Lingkaran Api Pasifik. (Foto: Science)

Untuk info, Indonesia terletak di sepanjang kawasan yang dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik (Pacific Ring of Fire).

Lingkaran Api Pasifik merujuk kepada rangkaian gunung berapi, kawasan gempa bumi serta plat tektonik yang mengelilingi Lautan Pasifik.

Kawasan itu meliputi seluas 40,000 kilometer, bermula dari hujung selatan Amerika Selatan sehinggalah ke New Zealand.

Tambahan pula, kira-kira 90% daripada semua gempa bumi berlaku di sepanjang kawasan ini, yang turut menjadi rumah kepada 75% gunung berapi aktif di dunia, sebanyak 452 buah.

Baca Artikel Berkaitan: Semakin Banyak Kawasan Catat IPU Tidak Sihat, Ini Tips Hadapi Jerebu

Baca Artikel Berkaitan: Musim El Nino & Kebakaran Di Indonesia Jadi Punca Jerebu Kembali Di Negara


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd