Now Reading
Honda Nekad Hasilkan Kereta Manual Walaupun Permintaan Semakin Kurang

Honda Nekad Hasilkan Kereta Manual Walaupun Permintaan Semakin Kurang

Survey daripada Carsome mendapati 87.1% orang beralih ke kereta automatik kerana lebih selesa serta mudah dipandu.

In Brief
  • Honda berjanji akan terus mengekalkan kereta manual dalam barisan pengeluaran mereka walaupun permintaan semakin berkurang dari masa ke masa.
  • Honda menggantung pengeluaran Civic Si dan Acura Integra A-Spec, namun Civic Si baharu dijangka kembali menjelang tahun 2028.
  • Peralihan kepada EV dan automatik menjadi punca utama kereta manual semakin pupus kerana teknologi EV tidak memerlukan penukaran gear.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada masa kini, kereta yang menggunakan transmisi manual semakin hari semakin dilupakan seiring peralihan trend memberi laluan kepada kereta elektrik (EV) dan automatik.

Namun, syarikat gergasi automotif Jepun, Honda memberi jaminan bahawa mereka akan terus menghasilkan kereta manual walaupun permintaannya semakin berkurang.

Jaminan itu diberikan selepas Honda sebelum ini menggantung pengeluaran dua model manualnya, iaitu Honda Civic Si dan Acura Integra A-Spec.

Honda Sahkan Civic Si Bakal Kembali Menjelang 2028

Honda. (Foto: Aly Song)

Menurut The Drive, Honda telah mengumumkan penggantungan pengeluaran dua model menggunakan transmisi manual iaitu Civic Si 2027 dan Acura Integra A-Spec pada bulan lalu.

Langkah itu dilihat oleh peminat sebagai penamat bagi membeli sebuah kereta yang memberikan pengalaman memandu menyeronokkan.

Bagaimanapun, Honda turut menjelaskan bahawa Civic Si akan kembali menerusi generasi baharu menjelang tahun 2028.

Menyentuh perkara itu, Naib Presiden Jualan Automotif American Honda, Lance Woelfer mengakui bahawa permintaan terhadap transmisi manual pada masa ini tidak begitu memberangsangkan.

“Ia terus menjadi bahagian pasaran yang semakin kecil dan jujurnya, keadaan itu mungkin akan terus mengecil. Tetapi kerana ia seronok dipandu, kami masih boleh mengekalkan model seperti Civic Si, Integra atau Type R yang menawarkan transmisi manual, walaupun kami tidak nampak ia akan berkembang.

“Kami nampak permintaan yang sangat sedikit, tetapi kami tetap akan mengekalkannya dalam barisan pengeluaran,” tambahnya

Honda Menawarkan Empat Model Kereta Guna Transmisi Manual

Buat masa ini, Honda menawarkan empat model menggunakan transmisi manual seperti Civic Si yang sering menjadi kegemaran ramai peminat dalam segmen sedan sporty

Selain itu, transmisi manual 6-kelajuan turut boleh ditemui dalam versi lebih agresif bagi model seperti Civic Type-R yang dihasilkan untuk berlumba dalam litar lumba.

Ketua Eksekutif Honda Beri Jaminan Bagi Para Peminat Transmisi Manual

Ketua Eksekutif American Honda, Eiji Fujimura turut berkongsi pendapatnya apabila ditanya sama ada beliau akan mengekalkan kereta manual dalam jenama Honda pada masa hadapan.

“Kadangkala saya perlu merujuk kembali kepada Soichiro Honda untuk beberapa perkara, tetapi kami sentiasa memikirkan peminat dan impian mereka terhadap jenama ini.”

Semakin Ramai Rakyat Malaysia Mula Meninggalkan Kereta Manual

Honda Civic. (Foto: DSF)

Antara sebab utama kenapa kereta manual bukanlah satu pilihan ideal kerana kebanyakan pembeli hari ini lebih cenderung memilih versi automatik walaupun model itu menawarkan pilihan transmisi manual.

Faktor lain yang turut menyumbang ialah kemajuan teknologi transmisi automatik hari ini membuatkan harganya lebih mampu milik.

Jika dibandingkan beberapa tahun lalu, transmisi manual sering dikaitkan sebagai pilihan menjimatkan, manakala automatik pula menjadi simbol kemewahan kerana harganya yang lebih mahal.

Tambahan pula, satu tinjauan telah dijalankan oleh Carsome mendapati, 87.1% orang beralih ke kereta automatik atas faktor seperti keadaan trafik di pusat bandar menyebabkan memandu kereta manual sangat susah.

Maka, tidak hairanlah kenapa kebanyakan orang tempatan kini beralih kepada kereta automatik kerana pengalaman memandu lebih senang.

Trend Fokus Kepada EV Turut Menyebabkan Kereta Manual Semakin Pupus

Gear manual. (Foto: AutoBuzz)

Transmisi manual semakin pupus apabila semakin ramai pengguna beralih kepada EV yang tidak memerlukan teknologi tersebut.

Ini kerana motor elektrik hanya menggunakan satu kelajuan dan tidak memerlukan penukaran gear.

Sebelum ini, Honda pernah menawarkan beberapa model hibrid awal dengan transmisi manual, namun teknologi hibrid kini sudah berkembang sehingga transmisi manual tidak lagi membantu walaupun jika ia mampu dilaksanakan.

Sebaliknya, kebanyakan kereta hibrid kini menggunakan CVT, atau transmisi automatik konvensional bagi mereka yang mahukan sedikit keseronokan ketika memandu.

Transmisi manual dahulunya kerap ditemui pada model asas kereta mampu milik kerana kotak gearnya lebih mudah dan murah untuk dihasilkan, sekali gus membantu menurunkan kos.

Namun, pembangunan EV yang mahal telah memaksa pengeluar menjadi lebih berhemat dan tersusun, dengan berkongsi platform, enjin serta transmisi yang sama merentasi beberapa model kereta lain.

Menambah transmisi manual ke dalam proses pembangunan hanya akan menambah kerumitan dan kos bagi sesuatu dianggap teknologi lama.

Baca Artikel Berkaitan: Strategi Kereta EV Gagal, Honda Catat Kerugian Pertama Sejak 70 Tahun Lalu

Baca Artikel Berkaitan: Honda Malaysia Perkenal HR-V Facelift Dengan Rekaan Lebih Sporty & Teknologi Terkini


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd