Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 22 Ogos lalu, tular isu insiden yang berlaku pada salah satu tarikan di sebuah taman tema di Subang Jaya, Selangor.
Sehubungan itu, pihak pengurusan taman tema tersebut telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden yang membabitkan 10 pengunjung.
Katanya, insiden yang berlaku sehingga menjejaskan pengunjung terlibat serta keluarga mereka adalah amat dikesali dan kini menjadi perhatian pihaknya.
Pengurusan Taman Tema Beri Tumpuan Pada Penjagaan Pengunjung Terlibat Dalam Insiden
Pengendali taman tema turut menegaskan bahawa fokus utama mereka adalah terhadap keselamatan dan kesejahteraan para pengunjung.
Dalam pada itu, pihak pengurusan taman tema telah memberi tumpuan kepada penjagaan dan kesihatan pengunjung yang terlibat dalam insiden pada Sabtu lalu.
“Kami telah menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan serta terus berhubung rapat dengan pengunjung-pengunjung dan keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Taman Tema Pandang Serius Insiden Berlaku, Sedang Bekerjasama Rapat Dengan Pihak Berkuasa
Dalam masa sama, pihak taman tema juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan sementara siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden yang berlaku.
Tambah pihak pengurusan lagi, mereka memandang serius insiden yang berlaku dan kekal komited dalam memastikan tahap keselamatan tertinggi bagi kesemua tarikan dan fasiliti di taman tema itu.
Polis Sahkan Terima Laporan Insiden Babitkan Roller Coaster Di Taman Tema
Pada 24 Ogos, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan menerima laporan berhubung kerosakan permainan roller coaster yang berlaku pada 9 malam, 22 Ogos.
Beliau berkata siasatan awal mendapati 22 orang penumpang berusia antara 11 hingga 44 tahun sedang menaiki permainan terbabit ketika insiden berlaku.
Kemalangan yang berlaku mengakibatkan 10 mangsa mengalami kecederaan, kesemuanya dibawa ke pusat perubatan di sekitar Subang Jaya bagi mendapatkan rawatan, lapor Harian Metro.
Wan Azlan berkata kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan membabitkan kejadian itu.
Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.