Filem Malaysia Rekod 7.5 Juta Penonton Di Pawagam Dari Januari Hingga Julai, Atasi Filem Hollywood
Angka ini sekali gus mengatasi 6.9 juta kemasukan penonton bagi filem Hollywood di pawagam sepanjang tempoh sama.
- Filem tempatan Malaysia mencatat 7.5 juta penonton di pawagam dari Januari hingga Julai 2026, mengatasi 6.9 juta penonton filem Hollywood.
- Lima filem tempatan meraih kutipan melebihi RM10 juta, dengan Tarung: Unforgiven mencatat kutipan tertinggi sebanyak RM23.59 juta.
- FINAS optimis 2026 menjadi tahun kebangkitan filem Malaysia, dengan sasaran menjadikan Malaysia hab pengeluaran filem serantau.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Industri perfileman di Malaysia mula mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan menerusi penghasilan banyak filem tempatan berkualiti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagi tahun 2026, antara filem tempatan yang mendapat kutipan tertinggi setakat ini ialah Tarung: Unforgiven oleh Alpha47 Films Sdn. Bhd. dan Polong terbitan Golden Star Pictures.
Malah data terkini menunjukkan bahawa jumlah penonton di pawagam bagi filem tempatan melepasi mereka yang menonton filem Hollywood.
7.5 Juta Penonton Filem Tempatan Di Pawagam, Lebih 8.8% Berbanding Filem Hollywood
Memetik laporan media, statistik oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merekodkan 7.5 juta kemasukan penonton ke pawagam bagi filem tempatan ketika tujuh bulan pertama tahun ini.
Jumlah ini mengatasi 6.9 juta kemasukan penonton bagi filem Hollywood sepanjang tempoh sama.
Ini menunjukkan perbezaan kira-kira 610,000 kemasukan (8.8%) yang sekali gus menjadi indikasi bahawa keyakinan dan minat masyarakat terhadap karya tempatan semakin meningkat.
5 Filem Tempatan Raih Kutipan Lebih RM10 Juta
Mengulas pencapaian ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata ia mencerminkan kemampuan penggiat industri dalam menghasilkan kandungan yang bukan sahaja berkualiti, tetapi turut memenuhi cita rasa, budaya dan pengalaman penonton Malaysia.
Bukan itu sahaja, Azmir berkata prestasi industri perfileman dalam negara turut diperkukuhkan dengan kejayaan lima filem tempatan yang mencatat kutipan melebihi RM10 juta, iaitu:
- Tarung: Unforgiven (RM23.59 juta)
- Polong (RM14.98 juta)
- Libang Libu (RM14.16 juta)
- Malaikat Malam (RM12.23 juta)
- Ah Beng vs Liang Po Po (RM10.04 juta)
Tambah Azmir, FINAS berpendapat bahawa perkembangan positif tontonan filem tempatan adalah disebabkan oleh peningkatan yang ketara dalam kualiti skrip, mutu lakonan dan keseluruhan proses pembikinan filem berbanding sebelum ini.
“Momentum ini perlu terus diperkukuh melalui kerjasama strategik antara kerajaan, penggiat industri, pempamer, pengedar dan sektor swasta bagi memastikan industri perfileman negara berkembang secara mampan.
“FINAS akan terus memperkukuh ekosistem perfileman negara melalui pembangunan kandungan, peningkatan kompetensi bakat, penerapan teknologi, peluasan akses pembiayaan serta pemerkasaan promosi dan pengedaran karya tempatan,” katanya dipetik Berita Harian.
Pencapaian Jumlah Penonton Bantu Perkukuh Industri Perfileman Negara
FINAS turut merakamkan penghargaan kepada penonton atas sokongan dan keyakinan yang diberi.
“Sokongan ini menjadi sumber semangat kepada penggiat industri untuk terus berkarya serta menghasilkan filem tempatan yang lebih bermutu dan berdaya saing,” ujarnya.
Dalam meraikan pencapaian tujuh bulan pertama tahun ini, Azmir berkata ia harus dilihat sebagai satu landasan positif bagi perkembangan industri perfileman Malaysia, sekali gus mencipta nilai ekonomi dan memperkukuh kedudukan kandungan tempatan dalam pasaran domestik serta antarabangsa.
Awal tahun ini, FINAS dilapor menetapkan hala tuju lebih tersusun dan mampan bagi industri perfileman negara menerusi pengukuhan dasar, peraturan serta pelaburan strategik dalam mendepani 2026.
Industri Perfileman Negara Catat Potensi Pelaburan RM1 Bilion Pada 2025
Jelas Azmir, pindaan Akta FINAS (Akta 244) yang diluluskan pada peringkat Dewan Negara akhir tahun lalu, menjadi asas penting kepada pembaharuan menyeluruh ekosistem perfileman tempatan.
Katanya, 2025 menyaksikan pencapaian positif direkod industri perfileman, terutama dari segi pelaburan termasuk penyertaan produksi antarabangsa.
“Pada 2025, industri perfileman tempatan mencatat potensi pelaburan RM1 bilion.
“Pelaburan ini termasuk kemasukan produksi antarabangsa yang memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran. Kejayaan ini akan diteruskan pada 2026 dengan sasaran meletakkan Malaysia sebagai hab pengeluaran filem serantau,” katanya.
2026 Dijangka Jadi Tahun Kebangkitan Filem Malaysia
Kini, Azmir optimis bahawa 2026 akan menjadi tahun kebangkitan besar filem tempatan yang didorong kejayaan bukan sahaja pada peringkat kebangsaan tetapi juga peringkat global.
“Berdasarkan kejayaan kutipan ‘box office‘ dan pencapaian filem tempatan pada peringkat festival antarabangsa, 2026 dijangka menjadi tahun kebangkitan filem Malaysia seumpama era kegemilangan industri perfileman Hong Kong pada 1990-an,” katanya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.