Impian Lihat Kaabah Kini Jadi Realiti Untuk Pempengaruh, Budak 46
Muhammad Ammar Zulkha Helmy atau mesra dikenali sebagai Budak 46 telah menghiburkan hati orang dengan muat naik video trend ‘slow-mo’.
- Ikhlas.com menghadiahkan pakej umrah kepada Budak 46, pempengaruh TikTok yang menghidap penyakit mata retinitis pigmentosa.
- Ammar dijangka berlepas ke tanah suci pada November 2026 dan akan ditemani bapanya sepanjang perjalanan ibadah.
- Impian Ammar untuk melihat Kaabah selagi masih boleh melihat akhirnya bakal menjadi kenyataan menerusi hadiah istimewa ini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Syarikat Ikhlas Com Travel Sdn Bhd (ikhlas.com) berbesar hati merealisasikan impian pempengaruh media sosial, Budak 46, dengan menghadiahkan pakej umrah ke tanah suci.
Budak 46 atau nama sebenarnya Muhammad Ammar Zulkha Helmy kini menghidap penyakit retinitis pigmentosa, iaitu penyakit mata yang menyebabkan penglihatan merosot secara beransur-ansur.
Menyedari impiannya untuk melihat Kaabah selagi masih boleh melihat, kru ikhlas.com terbang ke Pulau Pinang bagi menyampaikan satu kejutan istimewa untuk Ammar.
Kunjungan Yang Dirancang Menghasilkan Ulasan Bertukar Menjadi Kejutan Umrah
Pada awalnya, kunjungan itu dirancang untuk meminta Ammar menghasilkan ulasan terhadap set bagasi ikhlas.com menerusi akaun TikToknya.
Namun, kunjungan tersebut bertukar menjadi satu momen penuh emosi apabila Ammar dimaklumkan bahawa beliau bakal menjadi tetamu Allah.
Menerusi pakej Umrah Premium Musim Sejuk, Ammar dijangka berlepas ke tanah suci pada November 2026, sekali gus berpeluang untuk melihat Kaabah.
Ketua Mutawif dan Penasihat Syariah ikhlas.com, M. Iqbal Hanif Mohamed Rusdi berkata kunjungan kru mereka bukan sekadar mengenai kerjasama menghasilkan kandungan.
“Tujuan kami bukan untuk meminta Ammar membuat ulasan mengenai set bagasi kami, sebaliknya kami datang membawa berita gembira.
“Insha Allah, Ammar telah lama berdoa untuk berpeluang menunaikan umrah dan hari ini, kami berbesar hati menyampaikan berita bahawa Ammar akan menjadi tetamu Allah serta impian dan doanya akan menjadi kenyataan.”
Ammar Bakal Ditemani Bapanya Sepanjang Perjalanan Umrah

Bagi memastikan perjalanan ibadah itu berjalan lancar, ikhlas.com turut menjemput bapa Ammar untuk sama-sama menunaikan umrah.
“Ammar juga akan ditemani oleh bapanya, Helmy Salleh, yang turut dijemput oleh ikhlas.com untuk bersama-sama menunaikan ibadah umrah.
“Ini bagi memastikan Ammar dapat menunaikan ibadah umrah dengan lebih selesa serta tenang sepanjang perjalanan,” tambah Iqbal.
Ammar Bersyukur Merealisasikan Impiannya Untuk Melihat Kaabah Di Depan Mata
Peluang tersebut merupakan satu nikmat yang amat disyukuri oleh Ammar, terutama kerana dia masih menyimpan impian untuk melihat Kaabah dengan daya penglihatan dimilikinya sekarang.
“Saya amat bersyukur atas peluang ini untuk merasai nikmat yang dikurniakan Allah. Impian saya selama ini adalah untuk menunaikan umrah dan melihat Kaabah selagi saya masih mempunyai daya penglihatan.
“Walaupun suatu hari nanti saya kehilangan penglihatan, saya akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada saya,” tambahnya.
Penyakit Ammar Didedahkan Menerusi Perkongsian Adiknya
Sebelum ini, Ammar sering mencuri perhatian netizen dengan kandungan videonya yang unik sehingga meraih jutaan tontonan di TikTok.
@budak46.__ Tolong edit video ini
♬ original sound – BUDAK46
Menerusi satu perkongsian, adiknya yang dikenali sebagai Cuna telah mendedahkan bahawa abangnya menghidap penyakit mata, sesuatu yang tidak pernah dikongsi Ammar kepada orang ramai.
“Ramai sangat tanya dekat komen. Ya, dia abang saya. Dia ada penyakit retinitis pigmentosa, iaitu gangguan pada mata. Penglihatan dia memang semakin berkurangan hari demi hari.
“Yang kenal dia, tolonglah sokong affiliate dekat akaun TikTok dia. Dia memang tak pernah dedahkan perkara ini kepada orang. Doakan dia sentiasa sihat,” tambah Cuna.
Pendedahan itu menyebabkan ramai kalangan pengguna media sosial meluahkan rasa simpati terhadap masalah yang dihidapi oleh Ammar.
Kisah Ammar menjadi bukti bahawa setiap doa yang dipanjatkan dengan penuh pengharapan pasti ada jalannya.
Menerusi hadiah istimewa ini, impian seorang anak muda untuk memandang Kaabah dengan matanya sendiri akhirnya bakal menjadi kenyataan.
ikhlas.com Merupakan Platform Digital Islam Di Bawah Capital A
Sebagai info tambahan, ikhlas.com bukan sekadar platform tempahan umrah biasa, malah menawarkan pelbagai perkhidmatan patuh syariah untuk umat Islam.
ikhlas.com telah ditubuhkan pada Oktober 2020 sebagai sebuah platform digital Islam di bawah Capital A.
Ia menawarkan penyelesaian umrah serta perjalanan mesra Muslim dan turut menyediakan perkhidmatan patuh syariah seperti zakat, korban, aqiqah, sedekah dan fidyah.
Berteraskan prinsip amanah, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan, ikhlas.com tekad untuk mempermudahkan pelaksanaan kewajipan Islam serta perjalanan ibadah bagi umat Islam.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.