Saringan Dadah Mandatori Juruterbang Malaysia Airlines Selesai Dilaksanakan, Semua Pilot Bebas Dadah
MAG akan mengekalkan program ujian rawak secara berterusan sebagai usaha mencegah dan membasmi penyalahgunaan bahan.
- Semua juruterbang aktif Malaysia Airlines telah menjalani saringan dadah wajib, dengan 100% mencatatkan keputusan negatif.
- Saringan fasa seterusnya melibatkan 2,840 anggota kru kabin Malaysia Airlines, dijadualkan selesai menjelang 3 September 2026.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malaysia Aviation Group (MAG) telah menyempurnakan saringan dadah wajib bagi semua juruterbang Malaysia Airlines, tepat pada tarikh sasaran Sabtu, (15 Ogos 2026) seperti yang diumumkan sebelum ini.
Menerusi saringan tersebut, 100% juruterbang yang aktif bertugas telah menjalani ujian dan kesemuanya mencatatkan keputusan negatif.
Kejayaan fasa pertama ini membuka jalan kepada peringkat seterusnya yang membabitkan anggota kru kabin serta syarikat penerbangan lain, iaitu Firefly.
Penyempurnaan Fasa Pertama Menjadi Pencapaian Penting Bagi MAG

Saringan dadah wajib ini merupakan sebahagian daripada langkah keselamatan dan kesediaan bertugas yang diperkukuh oleh MAG untuk keseluruhan operasinya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar menyifatkan pencapaian ini sebagai satu peristiwa penting dalam usaha memperkukuh keselamatan.
“Penyempurnaan fasa pertama ini merupakan satu pencapaian penting dalam langkah yang kami tekad untuk laksanakan, namun kerja kami tidak berhenti di sini.
“Kami sedang meneruskan saringan seterusnya kepada kumpulan operasi lain bagi memastikan standard ketat yang sama diguna pakai secara konsisten di seluruh syarikat penerbangan kami,” katanya.
“Keselamatan kekal sebagai teras kepada setiap keputusan yang kami buat, dan kami akan terus mengambil langkah yang perlu untuk mengukuhkan perlindungan, menjunjung standard operasi serta mengekalkan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan kami,” tambah beliau.
Saringan Diteruskan Kepada 2,840 Anggota Kru Kabin Malaysia Airlines
Bagi fasa seterusnya, MAG akan menyaring sebanyak 2,840 anggota kru kabin Malaysia Airlines.
Ia dijadualkan bermula pada 18 Ogos 2026 dan akan dipertingkatkan secara berperingkat, dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang 3 September 2026.
Firefly Turut Mencatat Keputusan Ujian Negatif
Dalam masa yang sama, saringan turut dijalankan di anak syarikat MAG, Firefly, membabitkan juruterbang dan kru kabin syarikat itu.
Setakat 15 Ogos 2026, Firefly telah menyaring lebih separuh daripada 158 juruterbang serta 163 anggota kru kabinnya, dengan kesemua keputusan setakat ini negatif.
Firefly dijangka menyiapkan saringan bagi baki juruterbang dan kru kabinnya menjelang 25 Ogos 2026, iaitu lebih awal daripada tarikh akhir 5 September 2026 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
MAG Akan Mengekalkan Program Ujian Rawak Secara Berterusan

MAG akan mengekalkan program ujian rawak secara berterusan sebagai usaha untuk mencegah dan membasmi penyalahgunaan bahan dalam operasinya.
Program itu diterajui oleh pasukan Keselamatan dan Kesihatan kumpulan berkenaan, di samping bantuan kerjasama daripada pihak berkuasa.
MAG Memiliki Rangka Kerja Kesediaan Bertugas Yang Menyeluruh
Sebagai info, langkah yang dipertingkatkan ini bertujuan untuk melengkapkan rangka kerja kesediaan bertugas (fitness-for-duty) sedia ada MAG yang merangkumi:
- Saringan pra-pekerjaan
- Pensijilan perubatan
- Latihan berulang (recurrent training)
- Ujian alkohol dan dadah secara berkala
- Pemeriksaan pematuhan wajib sebelum penerbangan
- Penilaian kesediaan kru
MAG Komited Mengekalkan Standard Keselamatan Yang Tinggi
MAG menegaskan usahanya untuk mengekalkan standard keselamatan dan profesionalisme yang ketat di seluruh syarikat penerbangannya.
Kumpulan itu turut akan terus memperkukuh langkah pencegahan bagi melindungi kesejahteraan kakitangan, penumpang serta operasinya.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysian Aviation Group Tambah Lapisan Keselamatan Baharu Serta Perkukuh Keselamatan Operasi Berkerja
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.