Now Reading
Restoran, Pub & Teater Di UK Haramkan Penggunaan Meta AI Glasses Atas Kebimbangan Privasi

Restoran, Pub & Teater Di UK Haramkan Penggunaan Meta AI Glasses Atas Kebimbangan Privasi

Dalam satu perkembangan terbaharu, mahkamah di England dan Wales juga telah mengharamkan penggunaan Meta Glasses.

In Brief
  • Beberapa restoran, pub, dan teater di UK melarang penggunaan Meta AI Glasses atas kebimbangan privasi pelanggan dan kakitangan.
  • Reka bentuk cermin mata yang menyerupai cermin mata biasa mencetuskan kebimbangan kerana boleh merakam orang tanpa pengetahuan mereka.
  • Walaupun banyak larangan dikenakan, ada pihak seperti cef Tom Kerridge yang mengalu-alukan penggunaan cermin mata tersebut.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Meta telah bekerjasama dengan bintang media sosial, Kylie Jenner untuk mempromosikan cermin mata pintar Meta AI Glasses, dengan harapan ia akan diterima meluas seperti tablet dan jam pintar.

Namun, strategi pemasaran itu dilihat kurang menjadi di beberapa lokasi di United Kingdom (UK) selepas cermin mata yang berharga RM1,977 diharamkan demi menjaga privasi pelanggan serta kakitangan.

Menurut pemilik premis menegaskan tetamu tidak sepatutnya memakai cermin mata yang boleh merakam video tanpa kebenaran.

Pemilik Restoran Di London Melarang Tetamu Pakai Meta Glasses

Restoran di UK. (Foto: CNN)

Jeremy King merupakan seorang pemilik restoran terkenal di London yang memiliki beberapa lokasi terkenal seperti Simpsons in the Strand, Arlington dan The Park.

Beliau bercakap dengan The Guardian dan menegaskan pendiriannya terhadap isu privasi tetamunya.

“Saya tidak akan sesekali membenarkan sebarang pencerobohan privasi tetamu selain daripada mata yang kita dilahirkan dengannya.”

Malah, larangan ini turut tular ke sebuah kelab eksklusif bernama Soho House.

Menurut jurucakapnya, rakaman tidak dibenarkan di lokasi mereka dan peranti sebegini tidak terkecuali dan individu yang memakainya akan diminta menanggalkannya terlebih dahulu.

Rangkaian pub Wetherspoons juga tidak membenarkan rakaman menggunakan cermin mata itu dalam premisnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Martin menjelaskan sebab di sebalik pendirian tersebut.

“Anda tidak boleh merakam pelanggan atau pekerja tanpa kebenaran mereka. Cermin mata Meta seolah-olah melanggar kod ini, dan common sense, dengan membolehkan orang mengambil video secara senyap.

“Kami akan menyuruh mereka matikan kamera tersebut. Ini sama seperti usaha kami menghentikan pasang video dengan kuat di premis kami sehingga mengganggu suasana orang lain,” tambahnya.

Penonton Di Teater Juga Diminta Menanggalkan Cermin Mata Meta Terlebih Dahulu

Mereka yang ingin memakai cermin mata Meta ke teater turut berdepan halangan yang sama.

Menurut jurucakap ATG Theatres, yang memiliki Bristol Hippodrome, Edinburgh Playhouse serta beberapa teater di sekitar London, tidak membenarkan rakaman dilakukan tanpa sebarang kebenaran rasmi.

Sesiapa yang memakai cermin mata itu ketika menonton persembahan akan diminta menanggalkannya.

Reka Bentuk Yang Menyerupai Seperti Cermin Mata Biasa Mencetuskan Kebimbangan

Reka bentuk yang menyerupai seperti cermin mata biasa. (Foto: XRShop)

Koleksi Kylie Jenner bersama Meta Glasses menampilkan gaya cat-eye lengkap dengan kamera kecil tersembunyi yang menyerupai cermin mata biasa.

Menurut Meta, reka bentuk itu dicipta membolehkan pengguna mudah merakam video tanpa perlu sentiasa menunduk untuk melihat telefon pintar.

Namun, timbul kebimbangan tentang penggunaan cermin mata itu kerana boleh merakam orang tanpa kebenaran dan dimuat naik ke media sosial.

Walaupun Meta menyediakan lampu LED kecil yang berkelip apabila sedang merakam, terdapat beberapa kes orang ramai mengadu dirakam tanpa pengetahuan.

Dalam satu kejadian, seorang wanita memberitahu BBC bahawa seorang lelaki merakamnya, kemudian menuntut wang untuk membuang video itu daripada media sosial.

Instagram Akan Membuang Video Yang Dirakam Tanpa Kebenaran

Susulan isu itu, Instagram turut bertindak tegas terhadap video dirakam tanpa kebenaran yang dimuat naik ke platformnya.

Ketua Instagram, Adam Mosseri berkata kandungan yang mengganggu orang lain akan diturunkan.

“Jika anda memuat naik kandungan yang mengambil kesempatan ke atas orang lain dan mengganggu mereka, seperti kebanyakan video pickup line yang kami dengar dan lihat, maka kami akan menurunkan kandungan itu.”

Walaupun begitu, Meta berusaha menjadikan cermin mata itu pilihan utama termasuk memberi secara percuma kepada pempengaruh media sosial popular.

Tidak Semua Menolak, Ada Yang Mengalu-alukan Cermin Mata Itu

Di sebalik pelbagai larangan itu, tidak semua pihak menolaknya.

Cef berbintang Michelin, Tom Kerridge yang memiliki pub dan restoran di Marlow, memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengannya.

“Saya langsung tidak mempunyai masalah dengan cermin mata itu. Rakaman kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Malah, saya rasa ia boleh digunakan dengan cara yang kreatif dan menarik. Tanggapan pertama terhadapnya tidak sepatutnya negatif!” katanya.

Sementara itu, jurucakap Meta menegaskan bahawa kepercayaan menjadi keutamaan dalam reka bentuk cermin mata mereka.

“Orang ramai menggunakan cermin mata kami kerana ia benar-benar membantu, daripada mendengar muzik, terjemahan langsung sehingga panggilan bebas tangan. Bagi pemakainya dan orang sekeliling mereka, kepercayaan amat penting.

“Itulah sebabnya kami membina elemen privasi dalam cermin mata AI kami dari awal. Sebagai contoh, setiap cermin mata mempunyai lampu LED tangkapan yang berkelip apabila anda mengambil foto atau video, ia tidak boleh dimatikan, dan jika seseorang menutup atau merosakkan LED itu, kamera akan dimatikan,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Kongsi Gambar Atau Video Budak Di Media Sosial Tanpa Izin Satu Jenayah?

Baca Artikel Berkaitan: Guru Jadikan Anak Murid Sebagai ‘Content’ Media Sosial Bakal Berdepan Tindakan, Kata Menteri Pendidikan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd