Kualiti Udara Seluruh Negara Bertambah Baik, Hanya Johan Setia Catat IPU Tidak Sihat
Sarawak mencatatkan peningkatan kualiti udara dengan bacaan IPU 84 di Kuching berbanding minggu lepas, 166.
- Kualiti udara di seluruh negara bertambah baik pada 17 Ogos, dengan hanya Johan Setia mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 149.
- Sarawak turut menunjukkan pemulihan ketara, dengan tiada kawasan berada pada tahap tidak sihat berbanding minggu lepas.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setakat jam 10 pagi (17 Ogos) ini, kualiti udara di seluruh negara terutama di ibu kota telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, dengan hanya satu kawasan sahaja masih merekodkan bacaan pada tahap kurang sihat.
Menurut Air Pollutant Index Management System (APIMS), kawasan tersebut ialah Johan Setia di Selangor yang masih menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 149 ketika artikel ini ditulis.
Peningkatan baik ini turut dirasai di beberapa kawasan lain, termasuk di Sarawak yang pada minggu lalu berdepan dengan masalah jerebu membimbangkan.
Kebanyakan Kawasan Di Malaysia Kini Berada Pada Tahap Baik

Berbanding minggu lepas, keadaan kualiti udara secara keseluruhannya jelas bertambah baik pada pagi ini.
Trend ini memberikan gambaran lebih positif kepada orang ramai yang sebelum ini terpaksa berdepan dengan kualiti udara kurang selesa.
Memetik laporan BERNAMA, sebanyak 58 kawasan telah merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana di antara 51 hingga 100.
Dalam masa yang sama, 8 kawasan lain juga mencatatkan tahap kualiti udara baik dengan bacaan di bawah 50.
Ini bermakna daripada semua kawasan yang dipantau, hanya satu sahaja masih berada pada tahap tidak sihat pada pagi ini.
Selain itu, data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Johan Setia Kekal Sebagai Satu-Satunya Kawasan Masih Tidak Sihat
Walaupun keadaan keseluruhan kualiti udara bertambah baik, Johan Setia di Selangor masih kekal sebagai satu-satunya kawasan pada tahap tidak sihat setakat jam 10 pagi ini.
Menurut kategori IPU, bacaan 149 yang dicatatkan itu berada dalam lingkungan 101 hingga 200, iaitu tahap dikelaskan sebagai tidak sihat.
Kualiti Udara Di Sarawak Turut Menunjukkan Pemulihan
Ini jelas berbeza dengan kualiti udara di daerah-daerah di Sarawak yang mencatatkan peningkatan kualiti udara pada waktu ini.
Tiada lagi kawasan di negeri itu berada pada tahap tidak sihat, berbanding pada minggu lepas.
Serian mencatatkan bacaan IPU tertinggi di negeri itu iaitu 94, diikuti Kota Samarahan (86), dan Kuching (84) masih berada pada tahap sederhana.
Beberapa kawasan lain yang turut menunjukkan peningkatan kualiti udara seperti Sri Aman (82), Sarikei (77), Sibu (74), Bintulu (71), Miri (64), Samalaju (63), ILP Miri (59), Mukah (60), Limbang (55) dan Kapit (55).
Utusan Borneo sebelum ini melaporkan Serian dan Kota Samarahan telah merekodkan bacaan 157 dan 147 setakat jam 5 petang Ahad semalam (16 Ogos).
Perbezaan ini jelas menunjukkan ke arah pemulihan yang melegakan bagi penduduk di negeri Sarawak.
Jerebu Bukan Disebabkan Oleh Cuaca Panas Dan Kering Sahaja

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), punca berlakunya jerebu bukan disebabkan oleh faktor cuaca sahaja, malah boleh berpunca daripada aktiviti manusia yang menghasilkan asap dan bahan tercemar
Antaranya seperti:
- Pembakaran terbuka: Membakar sampah, kebun dan kawasan semak yang boleh menghasilkan asap sekali gus mencemarkan udara.
- Kebakaran hutan dan tanah gambut: Ia boleh menghasilkan asap tebal yang akan merebak ke kawasan sekitar
- Pelepasan asap dan aktiviti perindustrian: Menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara kerana pelepasan asap serta bahan tercemar
- Cuaca panas dan kering: Meningkatkan risiko berlakunya kebakaran dan tiada tiupan angin menyebabkan asap lebih mudah terperangkap di kawasan sekeliling
Bacaan IPU Menjadi Penanda Aras Kualiti Udara Negara
Sebagai info tambahan, bacaan IPU digunakan sebagai penanda aras rasmi untuk menilai tahap kualiti udara di sesuatu kawasan, sekali gus memudahkan orang ramai memahami keadaan udara di sekeliling mereka.
Berikut adalah lima kategori bacaan IPU yang perlu anda tahu, seperti:
- 0 hingga 50, kualiti udara baik
- 51 hingga 100, tahap sederhana
- 101 hingga 200, tahap tidak sihat
- 201 hingga 300, tahap sangat tidak sihat
- Melebihi 300, tahap berbahaya
Ketika artikel ini ditulis, waktu pagi yang cerah memberi harapan bahawa kualiti udara di negara akan terus pulih sepenuhnya.
Peningkatan yang berterusan ini bukan sahaja melegakan, malah menjadi tanda positif bahawa keadaan semakin terkawal dari semasa ke semasa.
Namun, perlu diingatkan untuk kekal berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama di kawasan masih merekodkan bacaan tinggi.
Baca Artikel Berkaitan: Semakin Banyak Kawasan Catat IPU Tidak Sihat, Ini Tips Hadapi Jerebu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.