Pemuda Berusia 21 Tahun, Disahkan Sebagai Pemilik Jenama Pakaian Termuda Di Negara
Sehelai baju Kozzy Aesthetics boleh dibeli dengan harga mampu milik, iaitu RM64.
- Kaviiamuthan Ragu Raman, 21, dari Pulau Pinang, disahkan oleh Malaysia Book of Records sebagai pemilik jenama pakaian termuda negara.
- Jenama pakaian unisex beliau, Kozzy Aesthetics, menjual lebih 200 helai baju di satu event pop-up, jauh melebihi sasaran awal 50 helai.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Usahawan muda dari Pulau Pinang, Kaviiamuthan Ragu Raman, 21, kini tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pemilik jenama pakaian termuda di negara ini.
Pemuda dari Taman Bagan Baru, Butterworth itu disahkan oleh MBOR pada 19 Jun 2026 menerusi jenama pakaian miliknya, Kozzy Aesthetics.
Kozzy Aesthetics telah dimulakan selepas Kaviiamuthan menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 17 tahun.
Kaviiamuthan Lihat Ramai Remaja Hari Ini Tiada Hala Tuju

Menurut Kaviiamuthan, beliau menyedari ramai remaja pada hari ini seolah-olah tidak mempunyai arah yang jelas dalam hidup.
Disebabkan itu, beliau mahu menggunakan platform sendiri menggalakkan gaya hidup lebih sihat, disiplin dan kekal cergas dalam kalangan anak muda hari ini.
“Saya lihat ramai anak muda sebaya saya yang tiada hala tuju, dan saya mahu mempengaruhi mereka ke arah gaya hidup yang lebih baik.”
Dalam masa sama, beliau juga mengambil inspirasi daripada usahawan bernama Ben Francis yang membangunkan jenama Gymshark berteraskan gaya hidup sihat.
“Saya mahu mencipta jenama yang mengubah cara pemikiran orang ramai menerusi kecergasan serta pembaikan diri,” tambahnya.
Kozzy Aesthetics Didaftarkan Dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Ketika Berusia 19 Tahun
Pada peringkat awal Kozzy Aesthetics, Kaviiamuthan telah mengusahakan bersama beberapa rakan rapatnya.
Namun kemudian, dia membina jenama tersebut secara bersendirian sambil menguruskan hampir keseluruhan aspek perniagaan.
Antaranya termasuk pemilihan konsep reka bentuk, bahan, pengeluaran, penghasilan kandungan serta pengurusan kewangan.
Perniagaannya didaftarkan secara rasmi dengan SSM setelah hasil jualan semakin meningkat.
Untuk pengetahuan umum, Kozzy Aesthetics menawarkan pakaian unisex berkonsepkan kecergasan dan gaya hidup.
Sasaran Hanya 50 Helai Baju, Namun Lebih 200 Helai Terjual Di Satu Pop-Up

Menurut Kaviiamuthan, jenama itu telah mencatat peningkatan jualan yang ketara melalui dua saluran iaitu platform membeli-belah interaktif dan event pop-up.
Malah, Kaviiamuthan sendiri mengakui jualan pada satu event baru-baru ini telah melepasi jangkaannya.
“Ketika satu event pop-up baru-baru ini, saya jangkakan sekitar 50 helai baju akan terjual, tetapi akhirnya lebih 200 helai berjaya dijual. Permintaannya melebihi jangkaan kami.”
Kozzy Aesthetics juga aktif menerusi platform TikTok Live yang membolehkan mereka berhubung terus dengan pelanggan di seluruh negara.
Selain Berniaga, Kaviiamuthan Turut Bekerja Sebagai Jurulatih Peribadi
Perniagaan bukanlah satu-satunya perkara yang mengisi masanya.
Kaviiamuthan turut memiliki Diploma dalam bidang Teknologi Maklumat, sambil bekerja dalam bidang pengurusan gim sebagai jurulatih peribadi.
Tambahan pula, beliau bakal memulakan pengajian ijazah secara separuh masa di Wawasan Open University, Seberang Jaya.
Kaviiamuthan turut menyasarkan untuk membesarkan Kozzy Aesthetics menerusi model francais serta memperluas kehadiran jenama itu di kedai-kedai tempatan.
Pesanan Buat Anak Muda, Jangan Malas Dan Sentiasa Hormati Ibu Bapa

Kaviiamuthan turut menyatakan sikap disiplin, kekeluargaan serta pembangunan peribadi menjadi resipi bagi anak muda yang ingin berniaga.
“Anak muda jangan malas. Hormati ibu bapa anda dan kekal setia pada minat anda,” tambahnya.
Menurutnya, perkara yang diambil setiap hari, akan membentuk jati diri seseorang.
“Apa yang anda hadam setiap hari, sama ada kandungan yang ditonton, makanan atau tabiat, itulah yang menentukan siapa diri anda.”
Kaviiamuthan Rakam Penghargaan Rakan Dan Keluarga
Kaviiamuthan turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada ibu bapa, adik-beradik serta rakan-rakannya.
Baginya, dorongan secara berterusan daripada mereka merupakan pencetus semangat kepada pencapaian yang memecah rekod itu.
Baca Artikel Berkaitan: [Eksklusif] Dari Sebuah Mesin Jahit Terpakai, Lahirnya Raw Denim House Yang Popular Hingga Ke Luar Negara | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Bukan Sekadar Warna Coklat, Ini Cara Gayakan ‘Earth Tone’ Agar Pakaian Lebih Fun | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.