Now Reading
Hatta Dolmat Menutup KLFW 2026, Terima Pengiktirafan MBOR

Hatta Dolmat Menutup KLFW 2026, Terima Pengiktirafan MBOR

Hatta Dolmat juga pernah meraih Anugerah Pereka Paling Popular ABPH sebanyak 3 kali.

In Brief
  • Hatta Dolmat menerima pengiktirafan MBOR ketiga untuk gandingan 10 karya lukisan dengan 10 busana couture avant-garde.
  • Koleksi Soul menggabungkan seni lukisan dan fesyen, menterjemahkan warna serta tekstur lukisan ke dalam busana haute couture.
  • Hatta menggalakkan pereka muda menghasilkan rekaan berani dan pelik tanpa menghiraukan pandangan orang lain.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pereka fesyen tanah air, Hatta Dolmat, sekali lagi melakar sejarah dengan menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada malam penutup Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2026 semalam (9 Ogos).

Pengiktirafan tersebut adalah bagi kategori Gandingan Busana Couture dan Karya Lukisan Terbanyak dalam Satu Pentas Peragaan, disampaikan di Esplanade, KLCC.

Hatta menerimanya selepas menggabungkan 10 karya lukisan hasil tangannya sendiri dengan 10 busana couture berkonsepkan fantasi serta avant-garde.

Pencapaian tersebut menjadi rekod nasional ketiga buatnya, sekali gus menyerlahkan bakatnya dalam industri fesyen tempatan.

Lukisan Tidak Lagi Kekal Di Dinding, Kini Berjalan Di Pentas

Lukisan yang dihasilkan oleh Hatta. (Foto: Murai)

Menerusi konsep ini, Hatta berjaya menggabungkan seni fesyen, seni lukisan dan persembahan dalam satu karya megah.

Daripada tergantung di dinding, karya seni lukisannya kini bergerak di atas pentas melihat setiap warna, tekstur dan perincian berjaya dihidupkan.

Menurut Hatta, minat terhadap lukisan sebenarnya sudah lama wujud dalam dirinya, malah lebih awal daripada penglibatannya dalam fesyen.

“Saya suka melukis, lantas minat itu digabungkan dengan rekaan pakaian. 20 tahun dahulu, sebelum menceburi bidang fesyen, saya memang suka melukis. Kali ini, lukisan itu tidak kekal di dinding, ia berjalan di pentas.”

Beliau menerima sijil pengiktirafan itu daripada Pegawai Rasmi MBOR, Siti Hajar Johor.

Setiap Busana Diilhamkan Daripada Hasil Lukisan Hatta

Busana yang mengambil inspirasi daripada lukisan Hatta. (Foto: Murai)

Menjadi acara penutup KLFW 2026, Hatta mempersembahkan dua segmen utama.

Pertama adalah koleksi bertajuk, Linger membawa 22 rekaan sedia dipakai (RTW). Kedua, koleksi Soul menampilkan rekaan couture berkonsepkan fantasi dengan sentuhan avant-garde yang lebih berani.

Inspirasi utama koleksi Soul adalah gandingan 10 karya lukisan Hatta dengan 10 busana haute couture yang dihasilkan khusus untuk persembahan semalam.

Setiap helaian busana itu diilhamkan daripada salah satu karya seni asli Hatta dari segi warna, bentuk, tekstur dan suasana setiap lukisan diterjemahkan ke dalam fabrik serta siluet.

“Saya masukkan semua itu bagi merealisasikan impian untuk majlis penutup KLFW tahun ini. Ini juga menjadi momen lebih istimewa dalam perjalanan saya selama 20 tahun dalam bidang kreatif,” tambahnya.

Hatta Menggalakkan Pereka Muda Hasilkan Rekaan Yang Pelik

Hatta sengaja menghasilkan koleksi yang lebih berani bagi menonjolkan kreativiti sebagai seorang pereka fesyen.

Baginya, gandingan karya lukisan dengan busana merupakan pendekatan yang tepat untuk menampilkan identiti serta keupayaan seorang pereka fesyen.

“Sebagai pereka fesyen, perlu ada fantasi dan keluarkan kreativiti, termasuk menghasilkan karya yang pelik kerana kita mahu tunjukkan kita mampu buat sesuatu yang lebih hebat,” ujarnya.

“Rekaan pelik mungkin tidak semua orang mahu pakai atau milikinya, tetapi ia membawa identiti kepada jenama dan menggambarkan sejauh mana industri fesyen boleh berkembang.”

Dalam masa yang sama, beliau berharap pereka muda tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain terhadap karya mereka.

“Saya berharap pereka muda tonjolkan kreativiti mereka, hasilkan rekaan yang pelik-pelik dan jangan hiraukan apa orang kata.”

Koleksi Linger Menggambarkan Realiti Kehidupan

Berbeza dengan Soul, koleksi RTW Linger mengetengahkan elemen matahari terbenam menggabungkan unsur alam seperti matahari, laut dan langit menerusi rona senja serta warna pastel.

Menurut Hatta, matahari terbenam merupakan fenomena alam yang berubah dengan pantas, namun pada masa sama mempunyai kaitan rapat dengan realiti kehidupan manusia.

“Matahari terbenam bagi saya menggambarkan realiti kehidupan. Ia membuatkan seseorang mengimbau sesuatu detik indah, rasa sedih dan gembira.”

“Ia berlaku dalam tempoh yang singkat tetapi meninggalkan kesan yang mendalam,” tambahnya.

Lebihan Kain Pada 2015 Jadi Titik Mula Minat Terhadap Kelestarian Alam

Hatta Dolmat. (Foto: Hatta)

Selain seni lukisan, minat Hatta terhadap kelestarian alam turut mempengaruhi caranya berkarya.

Menurutnya, kesedaran itu bermula daripada satu perkara yang kecil.

“Contohnya, saya membuat rekaan baju pada 2015 dan ada lebihan kain. Saya terfikir tidak mahu kain itu dibuang begitu sahaja.”

“Dari situ saya sedar betapa pentingnya kelestarian alam dan kitar semula. Saya kemudian melukis, memindahkannya kepada grafik dan menjadikannya sebahagian daripada rekaan fesyen,” jelasnya.

Hatta sebelum ini turut menerima pengiktirafan MBOR menerusi penghasilan koleksi beg dan aksesori yang diperbuat daripada lebih 200 botol plastik kitar semula.

Koleksi tersebut dihasilkan sebagai usaha beliau mengangkat konsep sustainable fashion.

View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: [Eksklusif] Dari Sebuah Mesin Jahit Terpakai, Lahirnya Raw Denim House Yang Popular Hingga Ke Luar Negara | TRP

Baca Artikel Berkaitan: KLFW 2026 Kembali Dengan Koleksi Fesyen Terbaharu, Ini Apa Yang Menanti Di Esplanade KLCC | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd