Now Reading
Proton e.MAS Bakal Mula Dijual Di Sri Lanka, Jadi Pasaran Eksport Kelima Jenama

Proton e.MAS Bakal Mula Dijual Di Sri Lanka, Jadi Pasaran Eksport Kelima Jenama

Perniagaan PROTON di Sri Lanka akan diterajui oleh David Pieris Automobiles (Private) Limited (DPAL).

In Brief
  • Proton e.MAS akan dieksport ke Sri Lanka, menjadikannya pasaran eksport kelima bagi kenderaan elektrik nasional itu.
  • PROTON melantik David Pieris Holdings sebagai pengedar rasmi di Sri Lanka, dengan DPAL menerajui operasi jualan jenama itu.
  • Proton e.MAS 5 dan e.MAS 7 masing-masing merupakan EV dan PHEV paling laris di Malaysia, dengan lebih 30,000 unit terjual.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Proton e.MAS kini merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV) nombor satu di Malaysia selepas 21,808 unit terjual dalam pasaran tempatan dan antarabangsa bagi tempahan tujuh bulan pertama tahun ini.

Terbaharu, eksport Proton e.MAS bakal diperluaskan ke Sri Lanka, menjadi pasaran eksport kelima kenderaan elektrik nasional itu.

Bagi tujuan jualan runcit model kenderaan itu, PROTON melantik David Pieris Holdings (Private) Limited (DPHL) sebagai pengedar rasmi di Sri Lanka.

Ini susulan perjanjian pengedaran yang dimeterai dengan salah satu konglomerat pelbagai bidang terbesar di Sri Lanka dalam satu pertemuan yang berlangsung di pusat kecemerlangan PROTON sebelum ini, lapor Berita Harian.

DPAL Teraju Perniagaan PROTON Di Sri Lanka

Memetik laporan media, DPHL merupakan antara konglomerat automotif paling besar dan berpengaruh di Sri Lanka sejak tahun 1970, dengan kepentingan perniagaan yang merangkumi sektor automotif, perkhidmatan kewangan, logistik serta perkhidmatan rekreasi.

David Pieris Automobiles (Private) Limited (DPAL) akan menerajui perniagaan PROTON di Sri Lanka dengan memanfaatkan sumber dan pengalaman luas kumpulan dalam industri automotif tempatan agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan meningkatkan jualan.

Disasarkan bermula pada tahun ini, jualan PROTON di Sri Lanka dijangka mendapat manfaat daripada penyelesaian pembiayaan dalaman dan rangkaian logistik yang disediakan oleh anak-anak syarikat lain di bawah DPHL.

PROTON Mahu Jadi Jenama NEV Nombor 1 Sri Lanka

Dengan pengalaman pemilikan yang menyeluruh ditawarkan, pelanggan dijanjikan perjalanan yang lancar bermula dari bilik pameran, proses pembelian model-model terkini PROTON sehingga ke perkhidmatan selepas jualan yang boleh dipercayai.

Mengulas perjanjian yang dimeterai bersama David Pieris Holdings, Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong, percaya ia merupakan rakan strategik yang tepat untuk mengembangkan kehadiran PROTON di negara itu.

“Dengan sumber yang kukuh serta pengalaman luas dalam industri automotif, aspirasi utama kami adalah untuk menjadikan PROTON sebagai jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) nombor satu di negara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Proton e.MAS 5 & 7 Jadi EV & PHEV Paling Laris Dalam Negara

Sebagai info, model Proton e.MAS telah dieksport ke empat negara termasuk Singapura, Trinidad dan Tobago, Mauritius serta Nepal, dengan eksport dijangka merangkumi Brunei tidak lama lagi.

Sejak pelancaran model pertamanya, Proton e.MAS 7 pada Disember 2024, lebih 30,000 unit kenderaan jenama itu telah dijual setakat Julai lalu.

Kejayaan itu disokong oleh rangkaian pusat jualan dan selepas jualan terbesar dalam segmennya.

Malah model-modelnya turut mencatatkan prestasi cemerlang dalam pasaran, dengan Proton e.MAS 5 dan Proton e.MAS 7 masing-masing muncul sebagai EV dan PHEV paling laris dalam negara.

Menurut Lim, Proton International Corporation berjaya menembusi pasaran dengan lebih kukuh menerusi pelancaran Proton e.MAS.

“Di sesetengah pasaran, kenderaan NEV kami merupakan satu-satunya model yang membawa jenama PROTON, manakala di pasaran yang turut menawarkan model enjin pembakaran dalaman (ICE), pengedar kami kini mampu menyediakan penyelesaian mobiliti yang lebih menyeluruh kepada pelanggan,” ujarnya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd