Bintang China Cheng Lei Akan Bertemu Peminat Di Kuala Lumpur September Ini
Kehadiran Cheng Lei yang popular dengan lakonannya dalam siri drama ‘How Dare You?!’ adalah sebahagian daripada iQIYI STARSHIP 2026.
- Pelakon utama How Dare You?!, Cheng Lei, akan hadir di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur pada 13 September.
- Kehadiran Cheng Lei adalah sebahagian daripada acara iQIYI STARSHIP 2026, edisi kedua di Malaysia tahun ini.
- How Dare You?! merupakan drama berbahasa Cina iQIYI paling popular di seluruh dunia pada suku pertama 2026.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Siri televisyen drama Cina (C-drama) mempunyai golongan peminatnya yang tersendiri di Malaysia.
Antara C-drama yang menjadi fenomena dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton dalam negara termasuk Story of Yanxi Palace, Love Like the Galaxy, Hidden Love, The Untamed dan How Dare You?! yang ditayangkan menerusi platform penstriman iQIYI dan Netflix.
Kini, peminat filem How Dare You?! menyambut berita gembira apabila salah satu bintang utamanya bakal membuat penampilan di Malaysia tidak lama lagi.
Bintang China Cheng Lei Bakal Ke Malaysia September Ini
Pada September depan, para peminat berpeluang untuk bertemu dengan pelakon utama lelaki How Dare You?!, Cheng Lei, yang akan ke Malaysia buat pertama kali.
Cheng akan membuat kemunculan di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur pada 1.30pm, 13 September.
Kehadiran Cheng ke Malaysia merupakan sebahagian daripada iQIYI STARSHIP 2026, sebuah acara yang melibatkan peminat di bawah anjuran iQIYI.
Ini merupakan edisi iQIYI STARSHIP kedua di Malaysia pada tahun ini, selepas perasmian pada April menampilkan pelakon China, Esther Yu.
Cheng turut dijadualkan untuk ke iQIYI STARSHIP di Jakarta, Indonesia pada 12 September 2026.
How Dare You?! Drama Bahasa Cina iQIYI Paling Popular Di Suku Pertama 2026
Cheng merupakan Duta Global iQIYI International sejak Mac lalu dengan pangkalan peminat di seluruh dunia menerusi lakonannya dalam C-drama.
Populariti pelakon itu kian memuncak selepas memainkan watak Xiahou Dan dalam How Dare You?! yang mula ditayangkan pada Februari tahun ini.
Siri drama ini telah menjadi drama berbahasa Cina iQIYI paling popular di seluruh dunia pada suku pertama 2026, menduduki tangga teratas carta drama Cina sejurus selepas tayangannya.
Kisah yang kompleks ini menggabungkan tentang pengembaraan masa, permainan politik dan kisah percintaan dengan Cheng sebagai watak utama.
Drama How Dare You?! yang menampilkan barisan pelakon hebat lain termasuk Wang Churan, Hu Yixuan dan Tang Xiaotian boleh ditonton menerusi platform iQIYI [DI SINI].
Cheng sebelum ini turut mencuri perhatian atas kejayaannya memainkan tiga watak berbeza dalam siri drama Shadow Love pada 2025.
Kejayaannya dalam drama Legend of the Female General dan My Journey to You turut mengukuhkan reputasi Cheng sebagai pelakon baharu paling menyerlah di China.
iQIYI STARSHIP Beri Peluang Kepada Peminat Untuk Bertemu Bintang Kegemaran
Pengarah Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, berkata pihaknya teruja untuk membawa kembali pengalaman iQIYI STARSHIP ke Kuala Lumpur susulan kejayaannya yang pertama.
“Berkali-kali, penonton Malaysia menunjukkan betapa mendalamnya minat mereka terhadap drama Cina dan bintang yang menghidupkan kisah-kisah ini.
“Membawa Cheng Lei ke Kuala Lumpur adalah usaha kami dalam meneruskan hubungan, memberi para peminat peluang untuk keluar dari belakang skrin dan meraikan kisah yang mereka gemar bersama-sama,” katanya dipetik MalayMail.
Tambah Dinesh, iQIYI STARSHIP 2026 merupakan antara insiatif utama syarikat itu dalam memperluaskan kandungan drama Cina ke peringkat global dan memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi bersama pelakon kegemaran mereka.
Maklumat lanjut mengenai cara untuk mendapatkan akses ke iQIYI STARSHIP akan diumumkan menerusi platform rasmi media sosial iQIYI Malaysia.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.