Kad Pokémon Yang Sepatutnya Belum Wujud Muncul Di Malaysia, Disyaki Dicuri Dari Kilang
Wanita itu mengenakan bayaran sebanyak RM4,600 kepada penonton untuk membuka pek kad Pokémon TCG 30th Anniversary Binder Collection.
- Seorang wanita di Malaysia didakwa membuka kad Pokémon TCG 30th Anniversary yang belum dilancarkan, dijual pada harga RM4,600 sepek.
- Komuniti TCG percaya kad tersebut dicuri dari kilang atau pusat pengedaran sebelum sempat tiba di kedai pengedar sah.
- Insiden ini mencalarkan reputasi Malaysia sebagai tuan rumah sambutan ulang tahun ke-30 Pokémon, PokéXciting!, di Kuala Lumpur.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Set kad Pokémon TCG 30th Anniversary Binder Collection merupakan antara koleksi kad paling dinanti-nantikan oleh peminat pada tahun ini, dengan pelancaran rasmi seluruh dunia dijadualkan pada 16 September.
Namun, seorang wanita di Malaysia dilaporkan telah membuka kotak produk edisi Bahasa Inggeris itu secara live, sambil mengenakan bayaran sebanyak RM4,600 per pek kepada penonton.
Komuniti pengumpul kad Pokémon mendakwa kad-kad yang ditunjukkan itu pasti dicuri sebelum sempat sampai kepada pengedar sah.
Komuniti Trading Card Game (TCG) Mendakwa Kad Tersebut Telah Dicuri

Sebaik sahaja stream tersebut tular, komuniti TCG mendakwa kad-kad tersebut telah dicuri.
Ini kerana koleksi kad ini masih dalam proses penghantaran kepada pengedar yang disahkan oleh syarikat Pokémon.
Justeru itu, mustahil ia boleh sampai ke tangan orang menerusi cara yang sah.
Oleh itu, mereka percaya kotak-kotak itu diambil dari kilang percetakan atau pusat pengedaran utama sebelum sempat tiba di kedai.
Streamer itu sendiri dilaporkan berkata dalam live bahawa beliau “tidak terikat dengan perjanjian pengedar,” lalu mendakwa memperoleh kad tersebut menerusi kenalan rapat.
Dalam masa sama, kenalan rapat itu kini menjadi tumpuan perhatian ramai pihak.
Untuk pengetahuan umum, setiap kad dalam pek 30th Anniversary itu adalah holofoil, iaitu cetakan semula keluaran francais seperti e-Series dan Metagross Delta Species.
Kad Mew Misteri Telah Mencetuskan Pergaduhan Sama Ada Tulen Atau Palsu

Di mana komuniti Pokémon TCG masih terkejut dengan isu kecurian tersebut, muncul pula satu lagi kejutan iaitu kad Mew.
Ketika live itu berlangsung, streamer berkenaan telah mengeluarkan sekeping kad label B/RGB pada ruang yang sepatutnya memaparkan nombor set.
Kad yang dikeluarkan itu adalah watak Mew yang tidak pernah diumumkan dan sukar untuk ditemui.
Selain itu, kad itu mempunyai lukisan ilustrasi oleh artis terkenal, YOSHIROTTEN, dan memberi penghormatan kepada permainan Game Boy Pokémon, iaitu Red, Green Dan Blue.
Anehnya, kad itu tidak mempunyai panduan rasmi, set nombor, malah cop ulang tahun ke-30 berbentuk Pikachu yang terdapat pada setiap kad lain dalam koleksi tersebut.
Ekoran itu, komuniti TCG terus berpecah kepada dua, satu bahagian menganggapnya sebagai kad palsu yang canggih.
Lagi satu bahagian pula percaya kad itu asli kerana beberapa bukti seperi teksturnya, foil serta teks hak cipta anti-pemalsuan, yang mereka anggap terlalu sukar untuk dihasilkan oleh mana-mana pembuat kad tiruan.
Setakat ini, The Pokémon Company International (TPCi) masih belum mengesahkan atau menafikan kewujudan kad itu, namun sikap berdiam diri itu tidak sedikit pun meredakan keadaan.
Tindakan Membuka Kad Tidak Sah Berisiko Untuk Disaman

Satu insiden seperti ini sudah memalukan bagi negara kita, tetapi dijual pula dengan bayaran sehingga RM4,600 untuk satu pek wajar diambil tindakan.
Menurut laporan Polygon, TPCi selaku badan yang menguruskan lesen dan penguatkuasaan francais di peringkat global pernah menyaman pihak yang membocorkan permainan video, Sword & Shield sebelum tarikh pengeluaran rasminya.
Tambahan pula, sebarang kakitangan yang terlibat dalam bab percetakan dan pengedaran francais Pokémon terikat dengan perjanjian sulit (NDA) sangat ketat.
Streamer tersebut mungkin tidak menandatangani sebarang NDA, tetapi mengambil keuntungan daripada barang yang didakwa dicuri, menerusi transaksi secara live sangatlah berisiko.
Di samping itu, syarikat yang bertanggungjawab meletakkan gred kepada kad ini seperti PSA, CGC dan BGS tidak akan mengiktiraf sebarang produk dicuri.
Dalam kata mudah, kad-kad yang ditunjukkan dalam live tersebut walaupun mempunyai nilai rare, tidak boleh diletakkan nilai, dijual atau beli secara sah di mana-mana platform rasmi.
Menariknya, TPCi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan yang merupakan perkara biasa sebelum mengambil tindakan undang-undang.
Reputasi Malaysia Sebagai Tuan Rumah Sambutan Ke-30 Menjadi Tanda Tanya
Isu ini bukan lagi sekadar seorang streamer membuka pek yang diperolehi oleh sumber tidak ketahui, tetapi reputasi seluruh negara.
Ini kerana, Kuala Lumpur telah diumumkan sebagai bandar pertama di Asia yang menjadi tuan rumah sambutan ulang tahun ke-30 Pokémon, PokéXciting!, pada 12 dan 13 September nanti.
Antara acara yang dirancang termasuklah larian Pokémon Run, pop-up TCG serta Pokémon Centre rasmi selama 100 hari di Ombak KLCC.
Memilih negara kita untuk menghoskan acara seperti itu mencerminkan usaha bertahun-tahun komuniti TCG tempatan membina kredibiliti dengan TPCi sebagai sebuah pasaran yang serius dan sedang berkembang.
Disebabkan itu, komuniti TCG Malaysia telah melaporkan insiden dan streamer tersebut serta memilih untuk tidak meraikan kejadian tersebut.
@thecardscience Pokemon 30th Anniversary Packs Early Reveal! How are they getting these packs so early? What do you guys think? #Pokemonmarketupdate #pokeinvesting #BudgetPokemonCards #pokemon30thanniversary #pokemonleaks ♬ original sound – The Card Science
Baca Artikel Berkaitan: 10 Kad Pokémon Paling ‘Rare’ Menjadi Buruan Pengumpul Kad – Ada Yang Berharga Siap Boleh Beli Rumah! | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Berjaya Jual Koleksi Kad Pokémon Pada Harga RM1,870,000, Siap Ada Kad Edisi Holo Terhad! | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.