Exchange 106 Perkukuh Sistem Lif Bersama Schindler Malaysia, Mampu Tampung 20,000 Pengguna Sehari
Kerjasama antara Exchange 106 dan Schindler Malaysia memastikan sistem lif di bangunan ikonik itu terus beroperasi dengan cekap, selamat serta mampu menampung sehingga 20,000 pengguna setiap hari.
- Exchange 106 dan Schindler Malaysia bekerjasama untuk meningkatkan penyelenggaraan sistem lif bagi menampung sehingga 20,000 pengguna sehari.
- Sistem digital Schindler, termasuk PORT Technology dan IoEE, membolehkan pemantauan masa nyata dan penyelenggaraan berpandukan data di Exchange 106.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Exchange 106 yang dimiliki dan diuruskan oleh Mulia Property Development Sdn Bhd (MPD) bersama Antah Schindler Sdn Bhd (Schindler Malaysia) mengumumkan satu kerjasama untuk meningkatkan penyelenggaraan sistem lif.
Kerjasama itu memperkukuhkan hubungan lama antara kedua-dua pihak ini, sekali gus mencerminkan komitmen bersama untuk menyampaikan perkhidmatan sistem lif bertaraf dunia.
Berdiri setinggi 454 meter, Exchange 106 menerima kunjungan ribuan penyewa, pengunjung dan golongan profesional setiap hari.
Sebuah Lif Telah Bergerak Sejauh 8,000 Kilometer Sebulan

Kepesatan menara itu jelas digambarkan menerusi kadar penghuni yang terus meningkat dari semasa ke semasa.
Menurut Exchange 106, kadar penghuni telah meningkat dua kali ganda kepada 13,000 orang antara tahun 2023 hingga 2025.
Jumlah ini dijangka bakal mencecah hampir 20,000 orang apabila lebih ramai penyewa menyertainya dalam tempoh dua tahun akan datang.
Bagi menggambarkan jumlah tersebut, sebuah lif High Zone di menara itu sahaja telah mencapai jarak purata 8,000 kilometer (km) dalam tempoh sebulan.
Malah, jumlah itu telah mencecah lebih 260,000 km sejak September 2023.
Sistem Lif Schindler Mampu Menyokong Sehingga 20,000 Orang Sehari
Sistem lif Schindler Malaysia direka khas untuk menyokong skala operasi harian Exchange 106, serta mampu menampung sehingga 20,000 orang setiap hari dengan perjalanan yang selamat, boleh dipercayai dan selesa.
Schindler Malaysia Tekad Untuk Meningkatkan Standard Prestasi Sistem Lif

Pengarah Urusan Schindler Malaysia, Chan Jan Ee berkongsi rasa bangga dengan kerjasama yang kukuh itu.
“Kami berbangga dapat mengukuhkan kerjasama kami dengan Mulia Property Development, dan bersama-sama kami tekad untuk menyampaikan sistem lif yang selamat, boleh diharap dan berprestasi tinggi serta menggabungkan kepakaran teknikal kami dengan ramalan penyelenggaraan serta teknologi digital,” katanya.
Tambahan pula, fokus mereka adalah untuk terus meningkatkan standard prestasi sambil mengekalkan tahap kepercayaan yang diharapkan oleh penyewa, pengunjung dan pihak pelabur bangunan ini.
“Fokus kami adalah untuk terus meningkatkan standard prestasi sambil mengekalkan tahap kepercayaan dan kebolehpercayaan yang diharapkan daripada Exchange 106,” katanya.
Exchange 106 Mahu Sentiasa Menjangka Keperluan Penyewa
Ketua Pegawai Eksekutif Exchange 106, Faris Najhan Hashim turut menekankan kepentingan kualiti dan kebolehpercayaan.
“Bangunan hebat tidak hanya diukur oleh ketinggiannya, tetapi oleh kualiti, kebolehpercayaan dan keyakinan yang diberikan setiap hari.”
Exchange 106 akan berusaha untuk mencapai tahap cemerlang dalam menjangka keperluan penyewa dari segi prestasi dan inovasi.
“Kami tekad untuk mencapai kecemerlangan dari segi prestasi dan inovasi dalam menjangka keperluan penyewa kami. Nilai-nilai ini dapat dilihat dengan jelas dalam perkongsian perkhidmatan yang dipertingkatkan ini, yang sekali lagi meningkatkan mutu perkhidmatan Exchange 106,” tambahnya.
Ekosistem Digital Schindler Perkukuh Kebolehpercayaan Operasi
Exchange 106 turut disokong oleh ekosistem digital bersepadu Schindler, termasuk PORT Technology dan Internet of Elevators and Escalators (IoEE).
Menerusi teknologi itu, sistem tersebut membolehkan kawalan destinasi pintar, pemantauan peralatan dalam masa nyata serta penyelenggaraan berpandukan data.
Digabungkan dengan kepakaran teknikal dan sokongan kejuruteraan di lokasi, keupayaan ini membantu memastikan ketersediaan peralatan, kebolehpercayaan operasi serta pengalaman yang cemerlang bagi penumpang.
Exchange 106 Merupakan Menara Komersial Gred A, Di Tun Razak Exchange (TRX)
Sebagai info tambahan Exchange 106 merupakan sebuah menara komersial Gred A yang menjadi tumpuan di Tun Razak Exchange (TRX), iaitu Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia.
Menariknya, sekitar 90% penyewa di menara itu terdiri daripada syarikat antarabangsa yang merangkumi sektor kewangan, teknologi dan pelbagai lagi.
Selain itu, perkhidmatan teknikal dan keselamatan sehinggalah pengemasan, bagi memastikan pengalaman mewah di setiap peringkat operasi diuruskan sepenuhnya oleh Exchange 106.
Tambahan pula, Exchange 106 dibina untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju utama di peta perniagaan global dan menjadi tempat untuk bertemu aspirasi bertaraf dunia.
Manakala, Schindler Malaysia pula menyediakan perkhidmatan menyeluruh daripada juala serta pemasangan lif dan eskalator serta penyelenggaraan, pembaikan, pemodenan merentasi pelbagai sektor di seluruh Malaysia.
Baca Artikel Berkaitan: 9 Lokasi Kedai Makan Best Di The Exchange TRX Yang Anda Perlu Cuba | TRP
Baca Artikel Berkaitan: [Foto] 103 Coffee Buka Cawangan Baharu Di TRX, Tampil Dengan Konsep Rumah Tradisional Malaysia | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.