Now Reading
Ramai Tidak Tahu, Juara Dunia ONE Championship, Aliff Rakib Merupakan Anak Kepada Bekas Peninju Negara, Rakib Ahmad

Ramai Tidak Tahu, Juara Dunia ONE Championship, Aliff Rakib Merupakan Anak Kepada Bekas Peninju Negara, Rakib Ahmad

Aliff Rakib berjaya mengalahkan lawannya, Sam-A menerusi knockout (KO) di pusingan ke-5.

In Brief
  • Aliff Rakib menjadi rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao melalui KO.
  • Bapa Aliff, Rakib Ahmad, merupakan bekas peninju negara yang pernah mewakili Malaysia di Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2001.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Jaguh Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib berjaya mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang bergelar juara dunia ONE Championship pada 24 Julai 2026 lalu.

Dia meraih kejayaan itu selepas menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan knockout (KO) dalam perlawanan Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight di ONE: The Inner Circle 23, Stadium Lumpinee, Bangkok.

Kemenangan bersejarah itu menjadi hadiah khas kepada bapanya, bekas peninju negara, Rakib Ahmad, yang telah memperkenalkan sukan tinju kepada Aliff sejak berusia lima tahun.

Rakib Ahmad Merupakan Bekas Peninju Negara Yang Pernah Mewakili Malaysia Ke Sukan Komanwel 1998

Menurut perkongsian Zack Rahim di Facebook, ramai tidak mengetahui bahawa bapa kepada Aliff merupakan seorang bekas peninju negara yang disegani.

Malah katanya, Rakib Ahmad pernah mewakili Malaysia di Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur dalam kategori Flyweight (51 kilogram) dan memenangi dua perlawanan awal sebelum tewas kepada peninju Mauritius di pusingan suku akhir.

Namun memetik Harian Metro dan Bernama, Rakib Ahmad merangkut pingat gangsa pada kejohanan tersebut.

Kemudian, beliau sekali lagi mewakili negara di Sukan SEA 2001 bersama Sapok Biki dalam kategori Flyweight dan Lightweight bagi Sapok Biki.

Kedua-dua peninju negara berjaya mara sehingga ke pusingan akhir sebelum masing-masing tewas kepada peninju Thailand Somjit Jongjohor (Flyweight) dan Suban Pannon (Lightweight), lalu membawa pulang pingat perak.

Namun, kekalahan itu tidak mematahkan semangat Rakib kerana minatnya terhadap sukan ini turut dapat dilihat diterusi oleh anak-anaknya seperti Hakim Rakib yang giat aktif dalam Kickboxing dan Taekwondo.

Selain Aliff, adiknya Adam Rakib turut beraksi di ONE Championship, manakala seorang lagi anaknya hanya menunggu masa untuk muncul di pentas dunia.

Aliff Rakib Berjaya Tewaskan Legenda Thailand, Sam-A

Aliff menyiku pihak lawannya. (Foto: One Championship)

Menurut Aliff, dia amat bersyukur kerana akhirnya berjaya menunaikan janjinya untuk membawa pulang tali pinggang juara dunia ke Malaysia.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang memberikan sokongan. Saya sudah berjanji untuk membawa pulang kejuaraan ini ke Malaysia dan hari ini saya berjaya menunaikannya,” katanya sejurus tamat pertarungan.

Selain gelaran juara, Aliff turut membawa pulang bonus kemenangan berjumlah RM204,570 daripada ONE Championship.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Sudah agak lama saya tidak menerima bonus seperti ini, lebih setahun, jadi saya sangat gembira dan bersyukur.”

Kejuaraan Dunia Ini Dihadiahkan Khas Untuk Ayahnya

Di sebalik kemenangan itu, Aliff tidak lupa akan insan yang telah mendidiknya sejak kecil iaitu ayahnya.

“Saya berusaha bersungguh-sungguh dan mengharungi pelbagai cabaran untuk mendapatkan tali pinggang ini. Kejuaraan ini saya hadiahkan khas kepada ayah saya,” tambah Aliff.

Kejayaan itu merupakan usaha lama yang dibina bersama bapanya sejak Aliff masih kecil.

Rakib Ahmad Perkenalkan Aliff Kepada Sukan Tempur Sejak Usia Lima Tahun

Aliff bersama pasukannya. (Foto: One Championship)

Kejayaan Aliff bukan datang dengan mudah, sebaliknya melalui hasil didikan bapanya, Rakib Ahmad sejak kecil.

Rakib mula memperkenalkan anak keduanya itu kepada sukan bertinju ketika Aliff baru berusia lima tahun.

Menurut Rakib, dia amat berbangga apabila latihan keras yang dilalui anaknya selama bertahun-tahun akhirnya membuahkan hasil.

“Masa itu saya sendiri rasa bangga sebab dia berusaha sejak kecil lagi dan usahanya ke Bangkok sampai berjaya menjadi juara dunia. Alhamdulillah, syukur,” katanya.

Malah, ketika berusia 14 tahun, Aliff nekad berhijrah seorang diri ke Bangkok untuk berlatih di Kem Sor Dechapan, Thailand untuk mengasah kemahirannya dalam Muay Thai.

Aliff Rakib Kini Digelar Interim Strawweight Muay Thai World Champion

Menurut laman web rasmi ONE Championship, Aliff Rakib kini digelar sebagai Interim Strawweight Muay Thai World Champion secara rasmi.

Setakat ini, dia telah mencatat rekod yang mengagumkan iaitu 10 kemenangan berbanding hanya dua kekalahan dalam 12 pertarungan sepanjang kariernya.

Daripada 10 kemenangan itu, lima diraih menerusi knockout (KO), satu menerusi technical knockout (TKO) dan empat lagi menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision). Manakala, dua kekalahannya menerusi keputusan sebulat suara dan split decision.

Baca Artikel Berkaitan: Kontinjen Angkat Berat Hadiah 2 Emas Pertama Malaysia Di Sukan Komanwel Glasgow 2026 | TRP

Baca Artikel Berkaitan: KBS Perkenal Maskot Rasmi Sukan SEA 2027 ‘Tuah’, Ramai Beri Pendapat Berbeza | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd