Kontinjen Angkat Berat Hadiah 2 Emas Pertama Malaysia Di Sukan Komanwel Glasgow 2026
Emas pertama negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dihadiahkan oleh Mohamad Aniq Kasdan menerusi kejayaannya dalam kategori 60 kilogram sukan angkat berat.
- Mohamad Aniq Kasdan memenangi emas pertama Malaysia di Glasgow 2026, memecahkan dua rekod temasya dengan jumlah angkatan 273kg.
- Muhamad Aznil Bidin meraih emas kedua negara dalam kategori 65kg, menjadi atlet angkat berat Malaysia pertama mencapai hatrik emas Komanwel.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang membuka tirainya pada 23 Julai lalu akan berlangsung sehingga 2 Ogos.
Malaysia tidak terkecuali daripada kejohanan antarabangsa ini apabila turut menghantar kontinjen 59 atlet untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam lapan acara sukan.
Terbaharu, rakyat Malaysia menerima berita gembira apabila kontinjen angkat berat berjaya membawa pulang dua emas pertama buat negara.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Bakal Menghantar 59 Atlet Ke Glasgow 2026, Termasuk 22 Atlet Para
Aniq Kasdan Bawa Pulang Emas Pertama Negara, Pecah 2 Rekod Temasya
Emas pertama negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dihadiahkan oleh Mohamad Aniq Kasdan menerusi kejayaannya dalam kategori 60 kilogram.
Lebih membanggakan lagi, atlet berusia 24 tahun itu turut memecahkan dua rekod temasya menerusi acara clean & jerk serta jumlah angkatan keseluruhan sebanyak 273kg, hasil angkatan 121kg dalam snatch dan 152kg dalam clean & jerk.
Menerusi rekod ini, Aniq yang dikenali sebagai ‘Badang negara’ mendahului atlet India, Rishikanta Singh (264kg), di tempat kedua dengan perbezaan jumlah angkatan sebanyak 9kg.
Manakala pingat gangsa diraih oleh atlet Kenya, Joshua Amunga Mboya dengan jumlah angkatan 260kg.
Percubaan Aniq Dalam Acara Snatch Menyamai Rishikanta, Namun Lebih Hebat Bagi Acara Clean & Jerk
Menurut laporan media, Aniq memulakan saingan acara snatch dengan angkatan 116kg pada percubaan pertama, menyamai beban yang dipilih Rishikanta.
Mereka kemudian memilih angkatan 119kg pada percubaan kedua dan 121kg di percubaan ketiga, dengan kedua-dua atlet berjaya melakukan angkatan.
Rishikanta bagaimanapun diiktiraf sebagai pemegang rekod baharu temasya memandangkan dia yang berjaya melakukan angkatan bagi beban sama terlebih dahulu.
Aniq kemudian membuka cabaran dengan angkatan 145 kg dalam acara clean & jerk, iaitu dua kilogram lebih berat berbanding percubaan pertama Rishikanta.
Selepas kejayaannya dalam percubaan pertama, Aniq meneruskan momentum dengan angkatan 149kg pada percubaan kedua, manakala Rishikanta gagal menyempurnakan angkatan 148kg.
Atlet negara itu berjaya merangkul pingat emas selepas berjaya mengangkat 152kg pada percubaan terakhir, sekali gus memecahkan rekod temasya bagi clean & jerk dan jumlah angkatan keseluruhan.
Baca Artikel Berkaitan: Aniq Kasdan Tempat Keempat Olimpik Paris, Hanya Beza 1kg Dengan Pemenang Gangsa
Aznil Raih Emas Kedua Negara, Jadi Atlet Angkat Berat Malaysia Pertama Raih Hatrik Di Sukan Komanwel
Kehebatan kontinjen angkat berat Malaysia di Sukan Komanwel 2026 diteruskan menerusi kejayaan Muhamad Aznil Bidin dalam kategori 65 kilogram.
Dengan jumlah angkatan keseluruhan 299kg, Aznil menewaskan atlet India Mutupandhi Raja (286kg) dan atlet Papua New Guinea Morea Baru (282kg).
Kejayaan Aznil merangkul pingkat emas pada kali ini juga menjadikan beliau atlet angkat berat Malaysia pertama melengkapkan hatrik pingat emas di Sukan Komanwel selepas memenangi acara sama di tiga edisi Komanwel berturut-turut.
Bukan itu sahaja, Aznil turut mencipta rekod baru acara snatch (133kg), acara clean & jerk (166kg) serta angkatan keseluruhan (299kg).
Irene Jane Bawa Pulang Pingat Gangsa Bagi Kategori 48kg Wanita
Selain dua atlet lelaki yang masing-masing meraih pingat emas itu, skuad angkat berat negara turut membawa pulang pingat gangsa menerusi Irene Jane Henry dalam kategori 48 kilogram wanita, dengan jumlah angkatan keseluruhan 167kg.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Tolak Tawaran Jadi Tuan Rumah Sukan Komanwel 2026
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.