Kemarau 9 Tahun Berakhir, Sepang Bakal Menganjurkan Perlumbaan F1 Pada Oktober 2026
Perlumbaan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang pada 1 Oktober 2017, dimenangi oleh Max Verstappen.
- Malaysia will host the Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix at Sepang International Circuit on 2 to 4 October 2026.
- The race marks F1's return to Sepang after nearly nine years, slotting between the Azerbaijan and Singapore Grand Prix.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Formula 1 (F1) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah mengesahkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Pengesahan itu disambut dengan penuh teruja kerana ia menandakan kepulangan F1 ke Sepang buat kali pertama sejak 2017, iaitu selepas hampir sembilan tahun menanti.
Menariknya, kepulangan ini bukan sahaja membawa kembali keseronokan perlumbaan buat peminat tanah air, malah bakal menunjukkan sukan pemotoran ini wajar berada di Malaysia selama-lamanya.
Sepang Bakal Mengisi Ruang Di Antara Grand Prix Azerbaijan Dan Singapura

Perlumbaan ini bakal berlangsung di antara Azerbaijan Grand Prix dan Singapura Grand Prix dalam musim perlumbaan F1 2026.
Menurut kenyataan dari F1, perlumbaan ini masih tertakluk kepada perjanjian muktamad dan kelulusan rasmi, termasuk kelulusan Majlis Sukan Motor Dunia (World Motor Sport Council), sebelum ia rasmi dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia.
Persetujuan ini tercapai melalui hasil kerjasama antara F1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia, sekali gus membolehkan satu perlumbaan yang asalnya tidak dapat diteruskan akhirnya dapat diselamatkan.
Dalam masa sama, baki jadual perlumbaan bagi musim F1 2026 kekal tidak berubah, buat masa ini. Maklumat berkenaan penjualan tiket pula dijangka diumumkan tidak lama lagi.
Domenicali Sifatkan Kepulangan Ke Sepang Sebagai Berita Hebat Buat Peminat

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali menzahirkan rasa teruja dengan pengesahan tersebut.
“Kami amat gembira untuk mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain pada 2026. Sekali lagi, sukan ini membuktikan keupayaannya untuk menyesuaikan diri, mencari penyelesaian dan menyampaikan hasil, sekali gus mencipta momen menarik buat semua yang mengikuti Formula 1.” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Putera Mahkota Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni serta pihak kerajaan kedua-dua negara atas komitmen dan tindakan pantas mereka.
“Ini merupakan berita yang hebat buat peminat kita. Mereka akan terus menikmati kalendar Formula 1 yang penuh dan menyeronokkan, sambil menyaksikan sukan ini kembali ke litar yang hebat.”
Menurutnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang menakjubkan dan Sepang mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah Formula 1.
“Ia akan menyediakan kisah menakjubkan untuk perlumbaan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat peminat di litar mahupun yang menonton di seluruh dunia.” tambah Domenicali.
Ben Sulayem Kongsi Rasa Bangga Terhadap Kerjasama Untuk Kembali Berlumba Di Sepang
Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem turut berkongsi rasa bangga dengan kejayaan membawa pulang perlumbaan itu ke Sepang.
“Saya amat berbangga dengan kerjasama yang membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain 2026 di litar Sepang yang ikonik pada tahun ini.” kata Ben Sulayem.
Sepanjang proses ini, FIA, Formula One Management dan rakan kongsi di Bahrain telah berusaha tanpa henti meneliti setiap pilihan, keselamatan dan kesejahteraan pasukan, sukarelawan, pegawai serta peminat sentiasa menjadi keutamaan tertinggi.
“Malaysia sejak sekian lama memegang tempat penting dalam sejarah Formula 1, dan kepulangan ini ke Sepang membuktikan hubungan rapat kami dengan Persatuan Sukan Motor Malaysia serta kekuatan kerjasama antarabangsa dalam sukan ini.” jelasnya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim Sifatkan Ia Cerminan Persahabatan Malaysia-Bahrain
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkongsi rasa penghargaan menerusi satu hantaran di Threads, selepas bercakap dengan Putera Mahkota Bahrain dan Stefano Domenicali.
“Saya merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Tuanku, serta Kerajaan dan rakyat Bahrain, atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.” tulisnya.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama ini lebih daripada sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia.
“Ia mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama serta hubungan rapat antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain, sekali gus menegaskan keupayaan dan siap sedia Malaysia untuk menganjurkan acara antarabangsa yang besar.” kata Anwar.
Menurutnya lagi, Malaysia sedia mengalu-alukan kepulangan F1, FIA, pasukan serta peminat dari seluruh dunia ke Sepang, sambil mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, operasi efektif serta rakyat tempatan yang berbudi bahasa.
Berdasarkan hantaran itu, majoriti rakyat Malaysia meluahkan rasa syukur dan teruja kerana akhirnya berpeluang menyaksikan perlumbaan itu di tanah air sendiri, selepas hampir sembilan tahun menanti.
View on Threads
Harga Tiket Belum Diumumkan, Tetapi Anggaran Boleh Dilihat Menerusi Perlumbaan MotoGP

Buat masa ini, harga tiket rasmi bagi perlumbaan F1 di Sepang masih belum didedahkan menerusi laman web rasmi litar itu.
Namun begitu, peminat boleh membuat anggaran kasar berdasarkan harga tiket acara MotoGP terbaharu, iaitu Petronas Grand Prix of Malaysia 2026.
Ini senarai harga tersebut berdasarkan tempat duduk:
- F Grandstand (berhampiran selekoh 7 dan 8): RM143.75
- K1 Grandstand (Selekoh 1): RM206.25
- Main Grandstand: RM345
- Premier Roving (semua tempat duduk kecuali Tribune): RM510
- Premier Seat (pengalaman tempat duduk terbaik): RM640
Peminat Turut Berkongsi Tips Berguna Buat Penonton Kali Pertama Di Sepang
Selain itu, orang ramai turut berkongsi pengalaman dan tips berguna bagi mereka yang bakal menonton perlumbaan di Sepang buat kali pertama.
Menerusi perkongsian pengguna @maidziman, tempat terbaik untuk menonton aksi ialah di tempat duduk K1 atau K2, ataupun di bahagian lurus terakhir berhampiran selekoh terakhir.
Tambahan pula, dia turut menasihatkan penonton agar tidak meletakkan kereta di litar, sebaliknya menaiki kereta api ke KLIA sebelum menyambung perjalanan dengan bas ulang-alik ke Sepang.
Makanan dari luar tidak dibenarkan dibawa masuk manakala harga makanan di dalam agak mahal, jadi penonton dinasihatkan menyediakan wang lebih.
Dia turut mencadangkan memakai pakaian yang selesa seperti seluar pendek, kain yang ringan serta kasut bersesuaian kerana penonton akan banyak berjalan dan membawa baju hujan memandangkan cuaca sukar dijangka.
Akhir sekali, dia mengingatkan penonton untuk kerap minum air kerana keseluruhan suasana litar Sepang sangat panas berikutan cuaca serta suasana perlumbaan tersebut.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: PUTRA 2: Kereta Lumba Ciptaan Pelajar UPM Bakal Angkat Nama Malaysia Di Pentas Antarabangsa | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Mungkinkah “Kemarau” F1 Di Sepang Bakal Berakhir? | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.