Now Reading
Mungkinkah “Kemarau” F1 Di Sepang Bakal Berakhir?

Mungkinkah “Kemarau” F1 Di Sepang Bakal Berakhir?

Litar Antarabangsa Sepang dilaporkan antara lokasi dipertimbangkan untuk kembali menganjur perlumbaan F1 susulan konflik di Timur Tengah.

In Brief
  • Litar Antarabangsa Sepang berpotensi kembali ke kalendar F1 bagi menggantikan perlumbaan Bahrain yang dibatalkan akibat konflik Timur Tengah.
  • Kos penganjuran sekitar RM300 juta setahun kekal menjadi cabaran utama, memerlukan sokongan kuat sektor swasta untuk merealisasikan kepulangan F1.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Litar Antarabangsa Sepang berkemungkinan kembali menganjur perlumbaan Formula 1 (F1) pada musim ini, buat kali pertama sejak sembilan tahun yang lalu.

Menurut Businesstoday, F1 sedang melihat beberapa litar termasuk Sepang bagi menggantikan perlumbaan di Bahrain yang telah dibatalkan berikutan konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah.

Walaupun belum ada keputusan muktamad, Sepang dilihat mempunyai beberapa kelebihan yang menjadikannya calon kuat untuk kembali semula ke dalam kalendar F1.

Sepang Antara Litar Berpotensi Tinggi Menggantikan Perlumbaan Di Bahrain

Perlumbaan F1 di Sepang. (Foto: F1)

Memetik semula laporan dari Businesstoday, perlumbaan di Arab Saudi yang telah dijadualkan pada bulan April lalu terpaksa dibatalkan berikutan konflik peperangan Iran.

Keadaan itu telah membuka ruang kepada litar antarabangsa lain seperti Sepang tampil sebagai pengganti pada musim ini.

Dalam masa sama, slot perlumbaan berkemungkinan akan dimasukkan di antara perlumbaan Azerbaijan pada 26 September dan Singapura pada 11 Oktober.

Bagaimanapun, sebarang keputusan perlu dibuat sebelum bermulanya cuti pertengahan F1 pada bulan Ogos nanti.

Litar Sepang Masih Memenuhi Syarat Dan Mempunyai Hubungan Kukuh Bersama F1

Litar Antarabangsa Sepang. (Foto: Moto Sport Magazine)

Kali terakhir negara kita menganjurkan perlumbaan F1 adalah pada tahun 2017 dan melihat bekas Juara Dunia, Max Verstappen telah muncul sebagai juara mengatasi pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dan rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo.

Pada waktu itu, perlumbaan di Sepang telah gagal kerana kehadiran peminat menurun serta kos penganjuran yang semakin tinggi.

Walau bagaimanapun, Sepang masih kekal dalam kalendar MotoGP dan masih memegang gred Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan F1.

Selain itu, hubungan Malaysia dengan sukan F1 masih rapat menerusi Petrona yang kekal sebagai rakan kongsi utama pasukan Mercedes.

Litar Suzuka di Jepun turut dipertimbangkan walaupun ada segelintir pasukan yang kurang berminat untuk berlumba di sana buat kali kedua pada tahun ini.

F1 turut memantau keadaan perlumbaan di Qatar dan Abu Dhabi sambil mempertimbangkan litar lain seperti Portimao di Portugal dan Barcelona di Sepanyol.

Kos Penganjuran Kekal Menjadi Cabaran Utama Untuk Malaysia

Walaupun berita ini menggembirakan kepada peminat tempatan, usaha untuk bawa semula F1 kembali ke Malaysia bukanlah mudah.

Menurut laporan dari News Straits Times, pihak kerajaan telah memutuskan untuk tidak memperbaharui perjanjian penganjuran selepas 2017 susulan harga yuran meningkat dan hasil pulangan yang menurun, walaupun perlumbaan F1 sangat popular.

Sejak itu, isu kepulangan F1 sering timbul semula, tetapi kos yang terlalu tinggi kekal menjadi halangan utama.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah berkata tiada rancangan segera untuk menghidupkan semula Grand Prix Malaysia. Ini kerana yuran penganjuran sekitar RM300 juta setahun sukar dijustifikasikan menggunakan dana awam.

Menurutnya, sebarang kepulangan memerlukan sokongan kuat daripada sektor swasta, sambil menegaskan bahawa dana kerajaan lebih baik digunakan untuk membangunkan atlet dan sukan negara.

“F1 merupakan acara sukan berprestij yang diikuti peminat di seluruh dunia. Jika kita mampu, memang baik untuk menganjurkannya di Malaysia,” katanya pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif sebelum ini berkata litar itu masih berminat menyambut kepulangan F1. Namun, sebarang tawaran bergantung pada nilai komersial, pembiayaan dan sokongan dari pihak kepentingan.

“Kami masih dalam perbincangan dengan pihak F1 dan mereka mahu kembali ke sini, tetapi persoalannya, siapa yang akan membiayai kos dan di mana kita boleh muat dalam kalendar?,” kata Azhan.

F1 Kini Di Hungary Sebelum Bermulanya Cuti Musim Panas

Musim F1 tahun ini semakin sengit. (Foto: F1)

Buat masa ini, F1 sedang menghampiri tempoh cuti musim panas 2026, dengan pasukan dan pelumba bekerja keras menjelang Grand Prix Hungary minggu ini.

Menurut The Race, pelumba George Russell percaya masalah deployment yang merosakkan prestasinya di Spa dan Silverstone kini telah selesai.

“Ia telah melegakan fikiran saya semasa memandu, kerana sebelum ini saya terpaksa memikirkan cara memandu untuk menjadikan unit kuasa lebih laju di bahagian lurus,” katanya.

Dalam masa sama, pelumba Ferrari, Charles Leclerc turut bersetuju dengan Oscar Piastri berhubung insiden pertembungan mereka di Grand Prix Belgium minggu lalu.

“Saya rasa saya bersetuju dengan pandangan Oscar. Tindakan saya pada waktu itu untuk mencapai prestasi maksimum mungkin kelihatan sedikit berisiko,” tambahnya.

Tambahan pula, kereta keselamatan Mercedes turut menerima naik taraf, dengan varian pacuan semua roda Mercedes-AMG GT bakal digunakan di Grand Prix Hungary jika diperlukan.

Menurut pemandu kereta keselamatan veteran, Bernd Maylander, kereta baharu itu menggabungkan tahap keselamatan tertinggi dengan sifat sporty serta keseronokan pengalaman memandu.

Untuk pengetahuan umum, ia merupakan varian ke-14 kereta keselamatan Mercedes sejak diperkenalkan menerusi Mercedes-Benz C36 AMG pada tahun 1996, dikuasakan enjin 612hp dengan kelajuan maksimum 317km/j.

Baca Artikel BerkaitanPUTRA 2: Kereta Lumba Ciptaan Pelajar UPM Bakal Angkat Nama Malaysia Di Pentas Antarabangsa | TRP

Baca Artikel BerkaitanKitKat® Bawa Debaran Formula 1® Ke Malaysia, Peminat Berpeluang Ke Singapore Grand Prix 2026 | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd