Bintang Legenda WWE, Rikishi Fatu Kunjungi Johor, Luangkan Masa Bersama Atlet Gusti Tempatan
Rikishi Fatu merupakan salah seorang legenda dalam sukan ahli gusti dan merupakan saudara kepada Roman Reigns.
- Bintang WWE Rikishi Fatu melawat Johor, meluangkan masa bersama pelajar Apacs Wrestling Academy dan berkongsi mesej inspirasi.
- Rikishi dan Chavo Guerrero mengunjungi Muzium Tokoh Johor bersama isteri masing-masing, menghargai legasi tokoh negeri Johor.
- Kedua-dua legenda gusti turut memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Tunku Abu Bakar Ibrahim di Istana Bukit Pelangi pada 18 Julai.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bekas bintang gusti profesional World Wrestling Entertainment (WWE), Rikishi Fatu, baru-baru ini mengadakan lawatan ke Johor.
Turut bersama beliau ialah seorang lagi bintang gusti terkenal, Chavo Guerrero, yang mengisi lawatan itu dengan pelbagai aktiviti bermakna.
Antara yang paling menyentuh hati, Rikishi mengambil peluang meluangkan masa bersama pelajar-pelajar Apacs Wrestling Academy di Johor Bahru sambil berkongsi mesej penuh inspirasi.
Rikishi Luang Masa Bersama Pelajar Apacs Wrestling Academy Di Johor

Menerusi hantaran di Instagram Story miliknya, Rikishi berkongsi lokasinya di Plaza Tol Ulu Tiram, Johor.
Rikishi telah meluangkan masa bersama pelajar Apacs Wrestling Academy dan berasa kagum dengan semangat mereka.
“Minggu ini saya berada di Johor Bahru, Malaysia, saya berbesar hati dapat meluangkan masa bersama pelajar-pelajar Apacs Wrestling Academy. Saya dapat lihat rasa hormat, disiplin dan semangat mereka. Paling penting, saya dapat lihat mereka sanggup berusaha untuk mengejar impian.
“Kepada setiap pelajar yang saya temui, jangan pernah berhenti percaya pada diri sendiri. Setiap juara bermula sebagai seorang pelajar. Setiap legenda bermula dengan satu langkah ke dalam gelanggang,” kongsinya menerusi Instagram.
Rikishi Dan Chavo Guerrero Kunjungi Muzium Tokoh Johor

Selain melawat pelajar-pelajar gusti, Rikishi dan Chavo Guerrero Jr turut membuat lawatan ke Muzium Tokoh Johor.
Kedua-dua legenda gusti itu ditemani isteri mereka ketika melawat muzium yang memelihara legasi tokoh-tokoh yang membentuk negeri Johor.
Selepas lawatan itu, Rikishi yang nama sebenarnya Solofa Fatu Jr berkongsi pengalamannya di Instagram.
“Saya berpeluang mengunjungi Muzium Tokoh Johor, dan ia merupakan satu pengalaman yang penuh inspirasi,” tulisnya.
Menurut Rikishi, lawatan itu mengingatkannya semula bahawa setiap legasi hebat bermula dengan wawasan, pengorbanan dan dedikasi.
“Sebagai seseorang yang percaya kepada sejarah keluarga, legasi dan memberi semula kepada komuniti tempatan, lawatan ini amat bermakna buat saya,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan muzium kerana memelihara kisah tokoh Johor membolehkan pengunjung dari seluruh dunia berpeluang untuk mempelajarinya.
Sementara itu, Yayasan Warisan Johor berbesar hati mengalu-alukan kehadiran mereka dan menyifatkan lawatan itu sebagai satu majlis penuh bermakna.
Kehadiran Ke Johor Sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang Amat Mulia Tunku Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail
Tambahan pula, Rikishi dan Chavo Guerrero juga berpeluang untuk memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Yang Amat Mulia Tuanku Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail di Istana Bukit Pelangi pada 18 Julai yang lalu.
Turut hadir pada majlis itu ialah atlet gusti profesional tempatan, Ayez Shaukat-Fonseka Farid atau lebih dikenali sebagai Shaukat.
Sambutan Hari Keputeraan Yang Amat Mulia Tunku Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail di Istana Bukit Pelangi, Johor pada hari ini, 18 Julai 2026.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) July 18, 2026
Hadir sama adalah Chavo Guerrero Jr. dan Rikishi, bekas bintang gusti profesional terkenal World Wrestling Entertainment (WWE). Allah… pic.twitter.com/ZoTWjwwRhO
Rikishi Merupakan Antara Legenda Gusti Yang Terkenal Di Dunia
Untuk pengetahuan am, Solofa Fatu Jr merupakan atlet gusti profesional Amerika yang terkenal dengan nama samaran Rikishi atau Fatu di WWE. Beliau juga pernah beraksi di New Japan Pro-Wrestling, World Championship Wrestling dan Total Nonstop Action Wrestling.
Karier legendanya bermula pada 1985 sebagai Price Alofa sebelum berganding bahu bersama Samoan SWAT Team di Jepun dan beberapa promosi gusti di Amerika Syarikat.
Beliau membuat penampilan pertama untuk World Wrestling Federation (WWF) pada tahun 1992, dan kembali semula pada tahun 1998 dengan watak gimik gusti sumo bernama Rikishi Phatu.
Sepanjang kariernya, beliau pernah menjuarai:
- WWF Intercontinental Championship
- 2x World Tag Team Championship
- WWE Tag Team Championship
Pada tahun 2015, beliau diiktiraf di WWE Hall Of Fame untuk sumbangannya pada sukan ini.
Selain itu, beliau juga merupakan salah satu daripada keluarga gusti terkenal iaitu Anoa’i dan merupakan abang kepada Sam Tong Kid Fatu dan Eddie Umaga Fatu.
Keluarga Anoa’i juga telah melahirkan beberapa nama besar seperti:
- Roman Reigns
- Rodney Agatupu Anoaʻi atau Yokozuna
- Wild Samoans (Afa dan Sika)
- The Usos (Jey Uso dan Jimmy Uso)
- Jacob Fatu
- Matthew Rosey Tapunu’u Anoaʻi
Baca Artikel Berkaitan: Amelia Henderson Temubual Matt Damon & Tom Holland, Siap Ajar Slang Malaysia!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.