Now Reading
Laut Pantai Tembeling, Kuantan Bernyala Biru Pada Waktu Malam, Curi Perhatian Orang Ramai

Laut Pantai Tembeling, Kuantan Bernyala Biru Pada Waktu Malam, Curi Perhatian Orang Ramai

Fenomena blue tears terhasil apabila organisma marin tertentu menghasilkan cahaya melalui tindak balas biokimia.

In Brief
  • Fenomena blue tears di Pantai Tembeling, Kuantan telah tular di media sosial, menarik ramai pengunjung untuk menyaksikannya sendiri.
  • Blue tears terhasil daripada bioluminescence organisma marin seperti dinoflagelat, dan secara umumnya tidak membahayakan manusia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Keindahan fenomena semula jadi sering kali akan menarik perhatian orang ramai dalam sekelip mata.

Contohnya, cahaya biru menyinari permukaan laut di Pantai Tembeling, Kuantan pada waktu malam atau dikenali sebagai blue tears, yang telah tular di media sosial.

Di sebalik cahaya misteri ini sebenarnya ada penjelasannya dari sudut saintifik.

Blue Tears Di Pantai Tembeling Telah Menarik Perhatian Orang Ramai

Fenomena blue tears di Pantai Tembeling, Kuantan. (Foto: @izzah.izti/Threads)

Cahaya berwarna biru yang menghiasi permukaan laut di Pantai Tembeling pada waktu malam itu telah menarik perhatian orang ramai selepas tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut laporan BERNAMA, pantai berkenaan menjadi tumpuan pengunjung sejak beberapa hari yang lalu.

Dalam masa sama, orang ramai daripada pelbagai peringkat usia tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri blue tears itu sambil merakam gambar serta video.

Blue Tears Terhasil Daripada Fenomena Bioluminescence Secara Semula Jadi

Memetik semula laporan BERNAMA, blue tears didapati mempunyai ciri bioluminescence yang berlaku apabila organisma marin tertentu menghasilkan cahaya melalui tindak balas biokimia.

Perkara itu diterangkan oleh Pakar Bioteknologi dan Biokimia, Profesor Madya Dr. Nina Suhaity Azmi yang memaklumkan secara umumnya blue tears terjadi apabila berlakunya peningkatan sementara populasi organisma marin yang mampu menghasilkan cahaya tersendiri dikenali sebagai dinoflagelat.

Manakala, pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Industri Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkata keadaan itu biasanya dipengaruhi oleh gabungan beberapa faktor seperti suhu air, kandungan nutrien, keadaan arus, pasang surut serta kestabilan persekitaran laut.

“Pelbagai hidupan marin dan mikrob mempunyai keupayaan menghasilkan cahaya sendiri. Mikroorganisma marin yang dikenali sebagai dinoflagelat, iaitu sejenis fitoplankton yang bersaiz mikroskopik sering dikaitkan dengan fenomena bioluminescence,” katanya.

Bagaimanapun, spesies sebenar organisma yang menyebabkan berlakunya blue tears perlu dikenal pasti menggunakan kaedah saintifik seperti mengambil sampel air laut serta analisis makmal yang dikendalikan oleh pakar penyelidik.

Blue Tears Pernah Berlaku Di Beberapa Lokasi Lain Di Malaysia

Blue tears di Kuala Selangor. (Foto: Sky Mirror Tour)

Sementara itu, Nina Suhaity berkata, blue tears pernah dilaporkan berlaku di beberapa lokasi lain di Malaysia termasuk Kuala Selangor, Pulau Pangkor, Perak dan Pulau Langkawi, Kedah, serta beberapa kawasan pulau di bahagian pantai timur Semenanjung Malaysia.

Namun, kejadian ini tidak berlaku secara berterusan dan kemunculannya bergantung kepada keadaan persekitaran pada sesuatu masa.

“Setiap lokasi juga mungkin membabitkan spesies organisma yang berbeza kerana komuniti plankton dipengaruhi oleh keadaan setempat seperti suhu, arus, nutrien dan faktor oseanografi,” tambahnya.

Di samping itu, beliau berkata, populasi organisma yang tinggi dan menerima gangguan seperti ombak, percikan air atau pergerakan dalam air akan menghasilkan cahaya biru kehijauan melalui tindak balas membabitkan sebatian lusiferin dan enzim lusiferase.

“Cahaya terbabit bukan disebabkan oleh pantulan cahaya bulan atau pencemaran, tetapi adalah hasil proses biologi yang berlaku secara semula jadi. Dari perspektif evolusi, pancaran cahaya ini dipercayai merupakan antara mekanisme pertahanan diri bagi organisma tersebut terhadap pemangsa,” katanya.

Bioluminescence merupakan sumber cahaya biologi yang sangat penting dalam persekitaran marin, khususnya di zon laut dalam kerana tidak menerima matahari membuatkan fenomena ini menyerlah pada waktu malam ketika tiada cahaya bulan.

“Ketika keadaan laut lebih tenang dan cuaca baik, peluang untuk melihat blue tears ini adalah lebih tinggi. Bagaimanapun, setakat ini berdasarkan pemerhatian, tidak terdapat musim khusus yang boleh menjamin kemunculan fenomena ini,” katanya.

Cahaya Bioluminescence Tidak Membahayakan Tetapi Perlu Difahami Dengan Betul

Blue light menyinari waktu malam. (Foto: @_mimjd/Threads)

Nina Suhaity turut memaklumkan bahawa cahaya daripada blue tears secara umumnya tidak membahayakan manusia kerana hanya terhasil menerusi tindak balas biologi dalam organisma terbabit.

“Namun, masyarakat perlu memahami bahawa bioluminescence tidak sama dengan fenomena ledakan alga berbahaya atau Harmful Algal Bloom (HAB). Tidak semua organisma yang menghasilkan cahaya menghasilkan toksin dan tidak semua ledakan alga menyebabkan cahaya,” ujarnya.

Ini bermaksud kewujudan cahaya biru di laut bukanlah penanda bahawa air tersebut selamat ataupun bahaya. Sebaliknya, pemeriksaan wajar dilakukan jika berlakunya perubahan luar biasa seperti kematian ikan atau air mengeluarkan bau pelik.

Tujuh Lokasi Lain Di Malaysia Turut Terkenal Dengan Fenomena ‘Blue Tears’

#1. Sungai Selangor, Kuala Selangor

Terletak tidak jauh dari pusat bandar KL yang memerlukan anda memandu selama sejam menjadi rumah kepada organisma mikroskopik ini dan boleh disaksikan menerusi night cruise.

Waktu terbaik untuk menyaksikannya adalah pada hari pertama, kedua & ketiga awal bulan.

#2. Bagan Datuk, Perak

Sebuah pekan perkampungan nelayan dihiasi dengan pantai terletak hanya sejam dari Teluk Intan, Perak merupakan antara lokasi menarik untuk terokai.

Tunggu sehingga malam untuk menyaksikan air laut Bagan Datuk berkilauan biru apabila jutaan plankton bioluminescence menyinari di pantai.

#3. Pulau Sembilan, Perak

Terletak tidak jauh dari Bagan Datuk dan memerlukan anda menaiki bot untuk pergi ke pulau ini yang kaya dengan hidupan laut unik seperti kuda laut, ikan rama-rama laut, tuna serta terumbu karang.

Namun, buat masa ini pulau ini ditutup sejak tahun 2017 bagi tujuan pemulihan selepas mengalami kerosakan akibat aktiviti pelancongan.

#4. Teluk Nipah, Pulau Pangkor

Pantai yang selalunya berpasir pada waktu siang akan diwarnai dengan cahaya blue tears di waktu malam juga telah mencuri perhatian orang ramai.

Tetapi, anda memerlukan sedikit luck untuk menemuinya.

#5. Pulau Lang Tengah, Terengganu

Sebuah syurga terpencil yang terletak antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang, tidak jauh dari Jeti Merang.

Tiada jalan raya di pulau kecil ini dan tidak banyak hotel beroperasi di kawasan ini menjanjikan sebuah percutian yang betul-betul adventure.

#6. Pulau Mantanani, Sabah

Turut dikenali sebagai ‘Mermaid Island’, permata tersembunyi di Kota Belud ini menawarkan keindahan alam yang tidak tercemar untuk mereka yang inginkan ketenangan jauh dari pusat bandar.

Selain blue tears, anda juga boleh menyaksikan Milky Way pada waktu malam cerah.

#7. Pantai Tusan, Miri, Sarawak

Terletak 40 kilometer (km) dari bandar Miri, Sarawak, kawasan ini menjadi tarikan ramai pelancong serta penduduk tempatan untuk melihat blue tears di kepulauan Borneo.

Selain itu, pantai berpasir putih turut menawarkan pemandangan matahari yang begitu menakjubkan memberi memori yang sukar dilupakan.

View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: Suhu Di Malaysia Bakal Mencecah 39 Hingga 40 Darjah Celsius Akibat Fenomena Super El Nino | TRP

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Fenomena Pancaran Langit Purple Di Johor Bahru Curi Perhatian Ramai | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd