Now Reading
Team IMO 2026 Malaysia Cipta Sejarah, Capai Top 20 & Pecah Rekod Kebangsaan

Team IMO 2026 Malaysia Cipta Sejarah, Capai Top 20 & Pecah Rekod Kebangsaan

Kejayaan di International Mathematical Olympiad ke-67 itu dicapai menerusi penerimaan jumlah mata keseluruhan 142 oleh enam wakil negara.

In Brief
  • Malaysia mencapai tempat ke-19 di IMO 2026, kali pertama dalam sejarah negara mencapai Top 20 daripada 117 negara.
  • Malaysia memecah rekod kebangsaan dengan jumlah mata 142, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 139 mata pada IMO 2025.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada bulan ini, delegasi dari Malaysia telah menyertai International Mathematical Olympiad ke-67 (IMO 2026) yang berlangsung di Shanghai, China.

Kumpulan yang diwakili oleh enam pelajar itu turut menerima pencapaian yang amat membanggakan apabila mendapat tempat ke-19 keseluruhan daripada sejumlah 117 negara yang bertanding.

Ini merupakan pertama kali dalam sejarah apabila Malaysia memecah rekod dengan mencapai Top 20 dalam pertandingan IMO.

Di peringkat ASEAN pula, Malaysia mendapat tempat ke-3 selepas Singapura dan Vietnam.

Malaysia Rangkul 5 Pingat & Honorable Mention

Pencapaian itu diterima menerusi usaha hebat setiap wakil negara yang masing-masing membawa pulang pingat dan anugerah, iaitu:

  • Ho Janson – Pingat Emas
  • Tan Rui Xuen – Pingat Perak
  • Yeoh Yi Shuen – Pingat Perak
  • Chia Ming Han – Pingat Perak
  • Ivan Chan Guan Yu – Pingat Gangsa
  • Cheng You Seng – Honorable Mention

Menurut Olimpiad Matematik Malaysia, ini merupakan kali ketujuh Malaysia membawa pulang Gold Medal dalam sejarah IMO.

Di samping itu, IMO 2026 turut menjadi penyertaan pertama buat Tan Rui Xuen dan Chia Ming Han, kedua-dua bakat muda yang berjaya membawa pulang Pingat Perak.

Foto: Olimpiad Matematik Malaysia

Malaysia Pecah Rekod Kebangsaan Berbanding Tahun Lalu

Kumpulan dari Malaysia itu diketuai oleh Ivan Chan Kai Chin dan dibantu Muhammad Zafree Zaharidan, manakala Dr M Ikhwan Bin Azlan dan Hamidi Bin A Razak bertugas sebagai Pemerhati.

IMO 2026 yang bermula pada 15 Julai lalu menyaksikan kesemua peserta menjawab dua set kertas soalan (Day 1 dan Day 2).

Setiap set kertas soalan merangkumi tiga masalah matematik yang perlu diselesaikan dalam tempoh 4.5 jam.

Selain pencapaian yang memberangsangkan di peringkat antarabangsa, Malaysia turut memecahkan rekod kebangsaannya sendiri apabila menerima jumlah mata 142 di IMO 2026.

Malaysia sebelum ini mencipta rekod kebangsaan dengan jumlah mata 139 dalam IMO 2025 yang meletakkan negara di tempat ke-36 keseluruhan.

Ho Janson Cipta Sejarah Sebagai Pemegang Pingat Emas Termuda Dari Malaysia

Lebih menarik lagi, Ho Janson menjadi pelajar termuda dalam sejarah IMO Malaysia yang menerima Pingat Emas iaitu pada usia 15 tahun.

Sebelum ini, pelajar termuda yang berjaya mendapatkan Pingat Emas di IMO ialah Wong Jer Ren pada usia 18 tahun.

Kesemua wakil negara pada mulanya telah meluangkan masa selama tiga minggu di Beijing bagi menjalani latihan IMO, sebelum ke Shanghai bagi menyertai pertandingan tersebut.

Selepas hampir sebulan berada di China, kesemua wakil negara telah selamat tiba di tanah air pagi ini (21 Julai).

Malaysia Berkongsi Tempat Bersama 2 Negara Eropah

Ditubuhkan pada 1959, IMO merupakan antara pertandingan matematik peringkat tinggi yang paling berprestij di dunia, yang mengumpulkan lebih 100 negara setiap tahun.

IMO 2026 menyaksikan kumpulan dari China muncul sebagai juara dengan jumlah mata 232, diikuti Amerika Syarikat (207) dan Rusia (196).

Di tempat ke-19, Malaysia dengan mata 142 berkongsi tangga bersama Bulgaria dan Jerman.

Malaysia pada Mei lalu turut mencipta sejarah di Olimpiad Matematik Balkan apabila kesemua wakil negara membawa pulang pingat.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Cipta Sejarah! Semua Wakil Berjaya Rangkul Pingat Di Olimpiad Matematik Balkan

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Cipta Sejarah Di Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa 2024, Kesemua Wakil Negara Terima Pingat

Baca Artikel Berkaitan: Soalan Matematik Terlalu Sukar, Ramai Kurang Setuju Silibus KBAT Untuk Murid Sekolah Rendah


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd