Now Reading
Food & Drinks Malaysia 2026 Berlangsung Selama 3 Hari, Himpun Lebih 400 Jenama F&B

Food & Drinks Malaysia 2026 Berlangsung Selama 3 Hari, Himpun Lebih 400 Jenama F&B

Food & Drinks Malaysia (FDM) 2026 berlangsung serentak dengan penganjuran Chocolate Show 2026 dari 21 hingga 23 Julai 2026 di MITEC, Kuala Lumpur.

In Brief
  • FDM2026 berlangsung selama tiga hari di MITEC, menghimpunkan lebih 400 jenama F&B global dari pelbagai negara.
  • Anugerah SIAL Innovation dirangkul oleh Thailand, Malaysia dan Korea Selatan bagi produk-produk inovatif industri F&B.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Food & Drinks Malaysia (FDM2026) oleh Salon International de l’Alimentation (SIAL) telah dirasmikan hari ini (21 Julai) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Acara selama tiga hari ini menghimpunkan lebih 400 jenama makanan dan minuman (F&B) global, sekali gus menarik kehadiran ribuan pembeli, pakar kulinari, pemimpin industri serta inovator.

Dengan tema “Savour Southeast Asia: The Epicentre of Taste, Trade & Talent”, FDM2026 berlangsung dari 21 hingga 23 Julai ini di Hall 1-4, MITEC.

FDM Jadi Platform Pertemuan Industri Makanan Global & Asia Tenggara

Akan berlangsung selama tiga hari, FDM2026 menyediakan platform untuk menghubungkan perniagaan merentasi sektor pembuatan makanan, hospitaliti, ramuan makanan, konfeksi serta perkhidmatan.

Pengarah Urusan SIAL Network ASEAN & India, Henri Tan, berkata FDM2026 terus memperkukuhkan peranannya sebagai platform utama yang menghubungkan komuniti makanan dan minuman serantau serta global.

“FDM diwujudkan sebagai sebuah platform di mana industri makanan global benar-benar bertemu dengan Asia Tenggara dan bukannya sekadar singgah melawat rantau ini. Selepas empat edisi penganjuran, aspirasi tersebut bukan semakin mengecil, sebaliknya menjadi semakin jelas dan lebih terarah,” katanya.

Bukan sahaja makanan tempatan yang ditawarkan di FDM2026, terdapat pelbagai pavilion antarabangsa yang menjadi tumpuan termasuk China, Korea, Turkiye dan Pakistan. 

Foto: Sharifah/ TRP

FDM2026 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, yang menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem makanan Malaysia menerusi inovasi, kerjasama serta jaringan industri yang lebih kukuh. 

“Pengukuhan sektor makanan Malaysia memerlukan kerjasama rapat antara sektor awam dan swasta. Melalui penyediaan persekitaran yang kondusif melalui dasar yang kukuh, pelaburan strategik serta pengawalseliaan yang berkesan, para pemain industri terus memainkan peranan penting sebagai pemacu utama inovasi, pembangunan produk dan pengembangan pasaran merentasi rantaian nilai makanan.

“Platform seperti Food & Drinks Malaysia by SIAL berperanan sebagai pemangkin penting untuk kerjasama dengan menghimpunkan perniagaan, pelabur, agensi kerajaan dan rakan antarabangsa untuk mempercepat pertumbuhan sektor pembuatan makanan Malaysia, menggalakkan penggunaan teknologi serta mengukuhkan kehadiran jenama makanan Malaysia di peringkat global,” ujarnya ketika majlis pelancaran hari ini (21 Julai).

Foto: TRP/ Sharifah

Chocolate Show 2026 Berjalan Serentak Dengan FDM2026

Pada masa sama, Chocolate Show 2026 turut dianjurkan yang menampilkan pembuat coklat, jenama artisan dan inovasi koko melalui pameran interaktif dan demonstrasi.

Sepanjang acara, pameran inovasi dan bakat industri turut dipamerkan menerusi pertandingan ASEAN Barista Team Championship (ABTC) 2026 yang menyaksikan pasukan dari seluruh Asia Tenggara bersaing bagi mencipta semula suasana bar espresso bertaraf dunia.

Dalam masa sama, Global Culinary Challenge Malaysia (GCCM) edisi kelima juga berlangsung dengan MITEC sebagai penaja lokasi rasmi.

Pertandingan tahun ini menghimpunkan hampir 1,000 peserta dan turut menyaksikan penampilan sulung eksklusif SIAL Culinary Masters Asia (SCMA), sebuah pertandingan baharu yang direka untuk memupuk bakat profesional kulinari muda.

Foto: Sharifah/ TRP

Kedua-dua pertandingan ini mengukuhkan peranan GCCM sebagai platform utama dalam membangunkan generasi baharu bakat kulinari di rantau ini.

Chocolate Show 2026, ASEAN Barista Team Championship dan Global Culinary Challenge Malaysia akan berlangsung sepanjang tiga hari acara ini.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen coklat oleh Malaysian Association of Ethical Fashion Designers (MAEFD) dengan tema “Where Chocolate Meets Couture” yang mempamerkan busana berskulptur berinspirasikan Salon du Chocolat.

Dapatkan maklumat lanjut dan daftar bagi pas perdagangan pelawat FDM2026 [DI SINI].

Thailand, Malaysia & Korea Selatan Rangkul Anugerah SIAL Innovation

Bersempena FDM2026, SIAL Network turut menganugerahkan SIAL Innovation bagi tujuan mengiktiraf produk dan penyelesaian inovatif yang membentuk masa depan industri F&B di peringkat global.

Diumumkan ketika majlis perasmian, Anugerah Emas dirangkul oleh Lemon Me Farm Co., Ltd. dari Thailand menerusi produk Lime Peel Roll.

Ini diikuti dengan Grusonn Wellness Sdn Bhd (Anugerah Perak) dari Malaysia menerusi produk ShroomKoko Cocoa Beverage, sekali gus meraikan kejayaan tempatan.

Anugerah Gangsa pula dibawa pulang oleh Dahaefood dari Korea Selatan menerusi produk Green Tea Seed Bibim.

SIAL Innovation merupakan anugerah berprestij tinggi dengan para pemenang dipilih oleh panel profesional industri terkemuka.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd