PUTRA 2: Kereta Lumba Ciptaan Pelajar UPM Bakal Angkat Nama Malaysia Di Pentas Antarabangsa
Projek PUTRA 2 yang menelan kos sebanyak RM118,787 mampu menghasilkan 72 kuasa kuda serta tork maksimum 61 newton meter (Nm).
- Pelajar UPM mencipta PUTRA 2, kereta lumba Formula SAE yang akan mewakili Malaysia di Student Formula Japan 2026.
- PUTRA 2 mengambil masa 13 bulan untuk disiapkan oleh 73 pelajar dengan kos keseluruhan sebanyak RM118,787.
- Kereta ini menggunakan teknologi canggih termasuk sistem DAQ, pakej aerodinamik dan enjin CFMOTO 700MT berkuasa 72 kuasa kuda.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dunia kereta lumba berprestasi tinggi sering dilihat sebagai medan yang hanya dikuasai oleh jenama besar serta negara maju.
Namun, sekumpulan mahasiswa di Serdang telah membuktikan tanggapan itu tidak semestinya betul.
Menerusi Putra Motorsport Team (PMT), pelajar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memperkenalkan kereta lumba berprestasi tinggi baharu, PUTRA 2.
Jentera itulah kini sudah bersedia untuk mencabar pesaingnya di pentas global.
PUTRA 2 Bakal Mewakili Malaysia Di Student Formula Japan 2026

Menurut laporan Kosmo, kereta lumba kelas Formula Society of Automotive Engineers (SAE) bakal mewakili Malaysia dalam acara berprestij 24th Student Formula Japan 2026 di Aichi Sky Expo, Jepun pada 2 hingga 7 Ogos ini.
Menariknya, PUTRA 2 telah mengambil masa selama 13 bulan untuk disiapkan merangkumi proses reka bentuk, simulasi, fabrikasi, pemasangan serta test drive dengan kerjasama seramai 73 orang pelajar bersama sokongan daripada 10 penasihat akademik dan lima staf teknikal UPM.
Naib Canselor UPM Puji Usaha Pelajar Kejuruteraan Mampu Mengangkat Nama Malaysia Di Pentas Antarabangsa

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, pembangunan PUTRA 2 melihat peranan universiti sebagai platform pembangunan bakat dan inovasi.
Menurutnya, projek seperti ini dapat berikan pengalaman sebenar kepada pelajar sebelum mereka melangkah ke dunia pekerjaan.
“Di UPM, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik tetapi menerusi keupayaan pelajar menghasilkan penyelesaian sebenar yang memberi nilai kepada industri dan masyarakat.”
“PUTRA 2 membuktikan bahawa pelajar kita bukan sekadar mempelajari kejuruteraan, malah membina teknologi dan mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya sewaktu pelancaran PUTRA 2 di UPM, kelmarin (13 Julai) lalu.
Selain itu, UPM telah menyertai program ini sebanyak empat kali sejak ia mula terlibat dan wajar diteruskan kerana menyediakan satu platform yang sukar diperoleh menerusi aktiviti lain.
Penasihat PMT Sifatkan PUTRA 2 Sebagai Platform Membolehkan Terjemahan Teori Kepada Praktikal
Dalam masa yang sama, Penasihat PMT, Prof. Ir. Dr. Mohd. Khairol Anuar Mohd. Ariffin berkata, keupayaan pelajar menghasilkan inovasi bertaraf antarabangsa lahir daripada gabungan ilmu kejuruteraan, kreativiti dan budaya kerja berpasukan.
Menurutnya, PUTRA 2 membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah kereta lumba.
“PUTRA 2 bukan sekadar sebuah kereta lumba, tetapi platform pembelajaran berimpak tinggi yang membolehkan pelajar menterjemahkan teori kepada penyelesaian sebenar.
“Pengalaman ini membentuk kemahiran teknikal, kepimpinan, komunikasi dan keupayaan membuat keputusan yang amat diperlukan dalam landskap industri masa hadapan,” katanya.
Penyertaan program ini dapat melihat bagaimana UPM boleh menjadi platform kepada pembangunan modal insan negara menerusi pendekatan pendidikan yang lebih efektif.
Kapten Pasukan Akui Berdepan Kekangan Kewangan Dengan Garis Masa Terhad

Kapten PMT, Aliman Zafran Yuslaimi yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal menyifatkan PUTRA 2 sebagai pencapaian terbesar Formula SAE UPM setakat ini.
Namun, kejayaan itu tidak datang dengan mudah.
“Jentera ini bukan sekadar sebuah kereta lumba, sebaliknya ia melambangkan azam kami untuk melepasi had kemampuan serta mencabar apa yang kami fikir mustahil sebelum ini.
“Sepanjang projek ini berlangsung, kami berdepan dengan pelbagai rintangan seperti kekangan kewangan dan garis masa yang terhad.
“Bagaimanapun, cabaran ini tidak menghalang kami untuk terus berjuang dan kami menjadikannya sebagai motivasi untuk terus menyesuaikan diri dan bertahan,” katanya.
Menerusi PUTRA 2, pasukan itu telah melakukan lonjakan tersebar dengan menggunakan penyelesaian kejuruteraan paling maju seperti Sistem Pemerolehan Data (DAQ) yang menyeluruh, pakej aerodinamik serta sistem suspensi jenis push-rod.
Reka bentuk dihasilkan dengan penuh teliti serta perbincangan sehingga lewat malam yang dilalui oleh pasukan ini akhirnya menjadi sebuah realiti.
Pemandu Tegaskan Peranan Manusia Tetap Penting Walaupun Disokong Teknologi Canggih
Bagi pemandu PUTRA 2, Muhammad Fadhlin Mohd. Fuaad mengatakan bahawa bimbingan mekanikal daripada barisan penasihat serta pengurusan projek yang sistematik memberikan keyakinan untuk menggalas tanggungjawab besar di Jepun.
Menurutnya, penambahbaikan reka bentuk dan kestabilan berbanding model terdahulu, PUTRA 1, menjadikannya jauh lebih responsif ketika memandu.
Walaupun PUTRA 2 disokong ekosistem digital yang memberikan bacaan data secara langsung, maklum balas sebenar daripada pemandu tetap diperlukan.
“Sebagai pemandu, kita ada ekosistem yang boleh memberikan bacaan data. Saya selaku pemandu juga perlu memberikan maklumat semasa kepada pasukan ketika memandu kereta lumba tersebut.
“Saya juga ada pengalaman daripada latihan sebelum ini untuk diterapkan sepenuhnya di Jepun nanti,” katanya.
Sebagai info, Muhammad Fadhlin bersyukur kerana sudah mempunyai pengalaman mengendalikan PUTRA 1 biarpun sekadar test run telah membantu memahami perwatakan PUTRA 2 dengan lebih mendalam sebelum bersaing di litar kompetitif Jepun.
Projek PUTRA 2 Telah Menelan Kos Sebanyak RM118,787

Dari segi teknikal pula, PUTRA 2 telah dibangunkan menggunakan casis dari keluli chromoly, badan daripada carbon fiber buatan khas serta sistem suspensi push-rod untuk meningkatkan kestabilan dan prestasi.
PUTRA 2 dikuasakan dengan enjin CFMOTO 700MT dengan kapasiti 693 sentimeter (cubic cm), mampu menghasilkan 72 kuasa kuda dan tork maksimum 61 newton meter (Nm).
Tambahan pula, keseluruhan sistem pengambilan udara, sistem pemanduan dan ekzos PUTRA 2 telah direka menggunakan simulasi komputer bagi mematuhi spesifikasi ketat Formula SAE.
Keseluruhan projek ini telah menelan kos sebanyak RM118,787 itu berjaya direalisasikan menerusi kerjasama antara UPM dan pihak industri.
Rakan strategik utama, Embun Karisma Resources (M) Sdn. Bhd. muncul sebagai penaja utama bersama Ranhill Berhad (kategori emas) dan CFMOTO menerusi Sunlight Power Sdn. Bhd. (kategori platinum).
Sokongan itu turut mencerminkan keyakinan pihak industri terhadap potensi bakat kejuruteraan UPM serta kepentingan memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Menerusi persiapan yang rapi, PMT kini bergerak dengan moto perjuangan mereka, Once Throttled, Move Forward, sekali gus meniupkan kembali semangat perlumbaan negara di persada antarabangsa.
Sepang Pernah Menjadi Tuan Rumah Formula 1 (F1) Selama Hampir Dua Dekad

Untuk pengetahuan umum, biarpun bakat muda negara kini mara ke litar Jepun, pentas perlumbaan antarabangsa di Malaysia sudah lama sunyi menyepi.
Grand Prix Malaysia pernah menjadi sebahagian daripada Kejohanan Dunia Formula 1 (F1) dari tahun 1999 sehingga 2017 yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Litar Sepang dibina antara 1997 dan 1999, berhampiran Putrajaya dan terkenal dengan cuaca panas lembap yang sukar dijangka boleh berubah daripada panas terik sehingga hujan lebat dalam sekelip mata.
Perlumbaan pertama di Sepang diadakan pada tahun 1999 menyaksikan kepulangan Michael Schumacher selepas kecederaan kaki, dengan Ferrari mendominasi walaupun sempat dibatalkan kelayakannya atas isu teknikal.
Pada 7 April 2017, Litar Antarabangsa Sepang mengumumkan bahawa perlumbaan tahun itu merupakan yang terakhir berikutan yuran penganjuran meningkat serta jualan tiket menurun.
Walaupun Formula 1 kini diambil alih oleh Liberty Media, Grand Prix Malaysia masih belum kembali di kalendar biarpun banyak litar lain di dunia menikmati kehadiran penonton yang ramai.
Baca Artikel Berkaitan: Tak Tahu Nak Beli Kereta Apa? Ini 3 Formula Untuk Bantu Pilih Kereta Sesuai Ikut Gaji | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Sambung Bayar Kereta Memang Murah, Tetapi Ia Juga Datang Dengan Risikonya | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.