Kerajaan Johor Gesa Siasatan Ke Atas Network School Selepas Dakwaan Terdapat Warga Israel
Salah seorang warga Israel yang dikatakan terlibat dengan operasi Network School ialah Nuseir Yassin atau lebih dikenali sebagai Nas Daily.
- Kerajaan Johor menggesa KDN, Imigresen, PDRM dan agensi berkaitan siasat operasi Network School di Forest City, Iskandar Puteri.
- Dakwaan ramai penceramah warga Israel menyertai Network School menggunakan pasport kedua menimbulkan kebimbangan serius kerajaan negeri.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebelum ini, tular mengenai Network School yang beroperasi di salah sebuah bangunan di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.
Disebut sebagai sebuah masyarakat start-up, NS diasaskan oleh bekas Ketua Pegawai Teknologi platform perdagangan kripto Coinbase Inc., Balaji Srinivasan.
Namun apa yang menjadi kebimbangan ramai adalah timbulnya dakwaan terdapat ramai penceramah yang merupakan rakyat Israel dengan dua warganegara yang membolehkan mereka masuk ke dalam Malaysia.
Salah seorang daripadanya ialah Nuseir Yassin atau lebih dikenali sebagai Nas Daily, yang pernah terpalit dengan kontroversi apabila cuba memasuki Malaysia menggunakan pasport Israel.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Warga Asing Beli Bangunan Di Forest City, Kononnya Nak Bina ‘Negara Baharu’
MB Johor Gesa Pihak Berkuasa Jalankan Siasatan
Sehubungan itu, kerajaan Johor memandang serius dakwaan ini dan menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh ke atas operasi tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan di Facebook hari ini (14 Julai) berkata, kerajaannya tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri itu sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Dalam pada itu, beliau meminta pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh.
Ini termasuklah siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti:
- Identiti dan kewarganegaraan individu terlibat.
- Dokumen perjalanan dan penggunaan pasport kedua.
- Jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia.
- Keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan,
Semakan Akan Dilakukan Untuk Semak Pematuhan Terhadap Syarat-Syarat Negeri
Tambah Onn Hafiz, status sebenar operasi Network School serta sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara perlu ditentukan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan.
Di peringkat negeri pula, beliau menjelaskan bahawa semakan semula aspek pematuhan akan dilakukan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Katanya, semakan itu meliputi pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta keperluan perundangan dan peraturan lain yang berkuat kuasa.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, Kerajaan Negeri menggesa agar tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi,” ujarnya.
Forest City Akan Keluarkan Kenyataan
Onn Hafiz menegaskan Kerajaan Johor akan terus bertindak secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang bagi melindungi kepentingan negeri serta mempertahankan kedaulatan negara.
Memetik NST, Forest City berkata pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi tidak lama lagi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berkata beliau akan menyemak kebimbangan mengenai Network School.
Network School Boleh Disertai Oleh Sesiapa Dari Seluruh Dunia
Terdahulu, pempengaruh global Dylan Page, telah melakukan dokumentari ringkas mengenai NS.
Difahamkan sesiapa sahaja dari seluruh dunia boleh mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan itu dengan bayaran bermula USD1,500 sebulan, iaitu bersamaan hampir RM6,000.
Katanya, peserta yang diterima pendaftarannya akan memulakan perjalanan menerusi kapal terbang dari negara tempat tinggal mereka ke Singapura.
Menerusi temu bual yang dijalankan, Dylan berkata rata-rata individu yang menyertai NS bertujuan untuk fokus pada sesuatu dan menjadi lebih sihat.
Mereka juga mahu dikelilingi individu lain dengan pemikiran yang serupa sementara membina perniagaan dalam talian tanpa sebarang gangguan.
Pun begitu, ramai yang meluahkan rasa risau sekiranya kawasan itu disalah gunakan bagi kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wartawan BBC Tinjau Keadaan ‘Bandar Berhantu’ Di Forest City, Johor
Baca Artikel Berkaitan: Forest City Johor Raih Tempat Sebagai Salah Satu Projek Mega Paling ‘Tak Berguna’ Di Dunia
Baca Artikel Berkaitan: Pernah Dilabel ‘Projek Mega Paling Tak Berguna Di Dunia’, Forest City Kini Diumum Sebagai Zon Kewangan Khas
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.