Now Reading
Pemain & Kakitangan Skuad England Bakal Raih Bonus Sebanyak RM103 Juta Jika Berjaya Menang Piala Dunia 2026

Pemain & Kakitangan Skuad England Bakal Raih Bonus Sebanyak RM103 Juta Jika Berjaya Menang Piala Dunia 2026

Persatuan Bola Sepak England (FA) akan membayar RM81 juta kepada skuad negara jika Harry Kane berjaya angkat trofi di New York minggu depan.

In Brief
  • Pemain dan kakitangan England bakal menerima separuh daripada wang hadiah FIFA bernilai £38 juta jika menjuarai Piala Dunia 2026.
  • Setiap pemain berpotensi menerima sekitar £577,000 (RM3.2 juta) bergantung kepada minit permainan masing-masing.
  • Bonus kali ini dua kali ganda lebih tinggi berbanding insentif yang ditawarkan semasa Piala Dunia 2022 di Qatar.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kejayaan di Piala Dunia bukan sahaja bermaksud berjaya membuktikan bahawa anda yang terbaik di dunia, malah turut membuka ruang kepada ganjaran bonus lumayan.

Kini, ganjaran tersebut menanti skuad kebangsaan England sekiranya mereka berjaya menjulang trofi kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

Menurut laporan The Guardian, pemain dan barisan jurulatih England bakal menerima separuh daripada wang hadiah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bernilai £38 juta, bersamaan RM207 juta.

Persatuan Bola Sepak England (FA) Bakal Bayar Sekitar RM81 Juta Kepada Skuad Jika Harry Kane Berjaya Julang Trofi Piala Dunia

Skuad kebangsaan England. (Foto: The Independent)

Menurut laporan itu, bayaran ini berdasarkan skim bonus yang dipersetujui bersama kumpulan kepimpinan pemain sebelum kejohanan bermula.

Sekiranya Harry Kane mengangkat trofi di New York hujung minggu depan, England FA akan membayar kira-kira £15 juta (RM81 juta) kepada skuad The Three Lions.

Selain itu, sebanyak £3 juta (RM16.3 juta) menanti pengurus pasukan, Thomas Tuchel dan barisan kejurulatihannya pula akan terima £1 juta, bersamaan RM5.46 juta.

Tambahan pula, jumlah bonus yang menanti para pemain kali ini dua kali ganda lebih tinggi berbanding tawaran insentif jika memenangi Piala Dunia 2022 di Qatar empat tahun yang lalu.

Skuad Lelaki Turut Terima Bonus Daripada Perjuangan Lionesses

Sebenarnya, peningkatan bonus ini juga berpunca daripada perjuangan pasukan wanita England sebelum ini dan skuad kendalian Tuchel turut mendapat manfaat daripada usaha mereka.

Sebagai info, sebelum ini pasukan wanita England mendedahkan pertikaian yang telah berlaku dengan England FA menjelang Piala Dunia Wanita 2023.

Ketika itu, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai skim bonus.

Malah, England FA pada awalnya enggan menawarkan sebarang insentif tambahan selain daripada hadiah individu dari FIFA yang mencecah RM1.09 juta bagi juara Piala Dunia Wanita.

Pertikaian itu diselesaikan selepas kejohanan yang menyaksikan England kalah kepada Sepanyol (4 – 0) di pusingan terakhir.

Selepas memberikan bonus kepada skuad Lionesses, England FA kemudiannya meningkatkan pula jumlah ganjaran untuk skuad lelaki dan keputusan tersebut dipengaruhi dengan peningkatan ketara wang hadiah FIFA kepada persatuan bola sepak di seluruh dunia.

Wang Hadiah Piala Dunia Meningkat Sebanyak 50%

Bagi Piala Dunia 2026 kali ini, jumlah hadiah telah meningkat sebanyak 50% berbanding tahun 2022 kepada RM2.6 bilion.

Namun perlu diingatkan, dana itu perlu diagihkan kepada 48 pasukan berbanding hanya 32 sebelum ini.

Bagi juara dunia pula, mereka bakal menerima RM201 juta berbanding empat tahun lalu, RM131 juta.

England FA Sudah Jamin Ganjaran RM82 Juta Selepas Layak Ke Suku Akhir

Pemain England menentang pemain Norway. (Foto: The Hindu)

Menariknya, England FA sudah menjamin ganjaran sebanyak RM82 juta menanti skuad The Three Lions setelah melangkah ke suku akhir.

Hampir separuh daripada jumlah itu akan diagihkan kepada pemain dan kakitangan tanpa mengira keputusan aksi menentang Norway.

Setiap Pemain England Berpotensi Untuk Terima RM3.2 Juta

Sebenarnya, jumlah sebenar yang diterima setiap pemain bergantung kepada minit permainan mereka dan jika dibahagikan sama rata, setiap pemain berpotensi menerima sekitar £577,000, bersamaan RM3.2 juta.

Bayaran Penampilan Pemain Disumbangkan Kepada Badan Amal

Tambahan pula, setiap pemain England turut menerima bayaran penampilan sebanyak £2,000 (RM10,900) bagi setiap perlawanan disertai kerana ia merupakan bayaran asas.

Namun, berdasarkan perjanjian lama yang termeterai sejak 2007, para pemain sebenarnya tidak menyimpan bayaran itu.

Sebaliknya, mereka akan menyumbangkan kesemua pendapatan antarabangsa berkenaan kepada England Footballers Foundation untuk disalurkan kepada pelbagai badan kebajikan di seluruh negara.

Sejak itu, lebih £5 juta (RM27 juta) sudah dikumpulkan untuk tujuan amal menerusi yayasan tersebut.

Gaji Kelab Pemain Jauh Lebih Tinggi Berbanding Bayaran Antarabangsa

Harry Kane (kanan) bersama rakan pasukannya Jude Bellingham (kiri). (Foto: Paul Childs)

Bukan pemain sahaja yang bakal meraih jumlah lumayan, malah pengendali Thomas Tuchel turut dilaporkan menerima gaji tahunan sebanyak £5 juta.

Selain itu, pendapatan daripada bola sepak antarabangsa agak rendah berbanding dengan gaji mingguan di liga.

Ini kerana purata gaji mingguan pemain skuad itu di peringkat kelab telah mencecah lebih £100,000.

Antara pemain berpendapatan tertinggi ialah Ivan Toney dan Harry Kane dengan gaji dilaporkan sekitar RM2.1 juta seminggu.

Manakala Jude Bellingham pula menerima pendapatan melebihi RM1.9 juta seminggu.

Sejarah Skuad England Di Piala Dunia, Pernah Menang Pada Tahun 1966

England selaku juara Piala Dunia tahun 1966. (Foto: New York Times)

Untuk pengetahuan am, skuad The Three Lions pernah menjuarai Piala Dunia ketika menjadi tuan rumah pada tahun 1966.

Selain itu, pasukan ini telah menyertai acara kejohanan ini sebanyak 17-kali, sejak penampilan pertama di Brazil pada tahun 1950 membuka tirai dengan kemenangan 2-0 ke atas Chile.

Kemudian, pasukan ini tumpas 1-0 kepada Amerika Syarikat dan Sepanyol, lalu tersingkir dari peringkat kumpulan.

Tambahan pula, skuad yang membariskan nama seperti Bobby Charlton, Bobby Moore, Gordon Banks yang digelar wingless wonders kerana formasi 4-3-3 mereka telah meraih kejayaan di tahun 1966 di bawah kendalian Alf Ramsey.

Mereka menguasai Kumpulan 1 sebelum menewaskan Argentina dan seterusnya menumpaskan Portugal dengan keputusan 2 – 1.

Akhirnya, England bertemu Jerman Barat di pusingan terakhir dalam satu perlawanan yang cukup mendebarkan.

Geoff Hurst muncul sebagai pemain terbaik apabila menjaringkan hatrik pertama dalam sejarah final Piala Dunia, sekali gus membawa pasukannya menang 4-2 di hadapan lebih 96,000 penonton.

Baca Artikel Berkaitan: Hanya Terima 3 Kad Meski Catat 59 Kekasaran, Rekod Pengadilan Argentina Jadi Tumpuan

Baca Artikel Berkaitan: Pengurus Mesir Lakukan Isyarat ‘X’ Dalam Perlawanan Piala Dunia Menentang Argentina, Ini Maksudnya | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd