Now Reading
Ratu Wushu Negara, Tan Cheong Min Raih Pingat Emas Di Piala Dunia Taolu Acara Nangun Di China

Ratu Wushu Negara, Tan Cheong Min Raih Pingat Emas Di Piala Dunia Taolu Acara Nangun Di China

Tan Cheong Min berjaya mengumpul 9.746 mata untuk emas acara Nangun, mengatasi pesaing dari Uzbekistan dengan perbezaan 0.010 mata.

In Brief
  • Tan Cheong Min meraih pingat emas acara Nangun di Piala Dunia Taolu edisi keempat di Haikou, China.
  • Pang Pui Yee menyumbang pingat perak dalam acara Qiangshu wanita, menunjukkan kecemerlangan skuad wushu negara.
  • Gandingan Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min memenangi emas acara Duilian dengan 9.660 mata.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Skuad wushu negara sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Ratu wushu negara, Tan Cheong Min telah merangkul pingat emas acara Nangun pada Piala Dunia Taolu edisi keempat di Haikou, China.

Menurut BERNAMA, Cheong Min telah mempamerkan aksi kemas dalam saingan yang cukup dramatik.

Cheong Min Atasi Saingan Uzbekistan Dengan Persaingan Sengit

Ratu Wushu, Tan Cheong Min. (Foto: Wushu Federation Malaysia)

Cheong Min berjaya mengumpul 9.764 mata untuk muncul sebagai juara bukanlah satu usaha yang mudah kerana pesaingnya, Darya Latisheva dari Uzbekistan mencatat 9.736 mata memberi saingan sengit berada di tempat kedua.

Sementara itu, wakil Singapura, Kassandra Ong meraih gangsa selepas meraih 9.723 mata.

Pui Yee Bawa Pulang Pingat Perak Acara Qiangshu Wanita

Kecemerlangan kem Wushu negara tidak terhenti di situ kerana Pang Pui Yee turut menyumbang pingat apabila muncul naib juara dalam acara Qiangshu wanita.

Beliau mempamerkan persembahan hebat berjaya mencatat 9.726 mata masih tidak cukup untuk merangkul pingat emas yang berjaya dimenangi oleh atlet Vietnam, Duong Thuy Vi dengan 9.746 mata.

Bagi pingat gangsa pula dimiliki oleh Atlet Neutral Individu (AIN), Aksiniia Schukina dengan 9.723 mata.

Untuk pengetahuan am, kejohanan berprestij ini telah bermula sejak Sabtu (4 Julai) dan dijadualkan bakal berakhir esok.

Pasukan Wanita Negara Rangkul Emas Acara Duilian

Pasukan Wushu Negara berjaya rangkul pingat emas. (Foto: @msn_malaysia_official/Instagram)

Menurut Astro Awani, skuad wushu negara turut berjaya memenangi pingat emas bagi acara Duilian.

Gandingan Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min mempersembahkan aksi teknikal yang memukau para juri berjaya mencatat 9.660 mata di atas pentas.

Menariknya, mereka mengatasi pasangan Itali, Alessia Tartufoli dan Jasmine Chu yang terpaksa akur dengan perak walaupun berkongsi mata yang sama.

Manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Hong Kong, Lydia Sham dan Yeung Michelle dengan kutipan 9.653 mata.

Dalam masa sama, Cheong Min menambah koleksi peribadinya apabila turut meraih gangsa dalam acara Nandao wanita menerusi catatan 9.220 mata.

Ratu Wushu Negara, Tan Cheong Min

Tan Cheong Min. (Foto: Olympic Council Of Malaysia)

Sebagai info, berikut adalah antara pencapaian cemerlang Ratu Wushu Negara, Tan Cheong Min:

  • 2010: Perak daoshu di Kejohanan Wushu Junior Dunia
  • 2016: Juara dunia junior nanquan, perak nangun serta gangsa nandao
  • 2017: Emas duilian dan gangsa nangun di Kejohanan Wushu Dunia dan perak gabungan nanquan dan nandao di Universiade
  • 2018: Tempat keempat nanquan di Sukan Asia, serta emas duilian, perak nanquan dan gangsa nandao di Piala Dunia Taolu
  • 2019: Juara dunia nandao, di samping perak nanquan dan duilian di Kejohanan Wushu Dunia
  • 2022: Perak nanquan di Sukan Asia 2023: Johan berganda di Sukan SEA (nanquan serta gabungan nandao dan nangun), emas gabungan nanquan dan nandao di Sukan Tempur Dunia, dan gangsa nangun di Kejohanan Wushu Dunia
  • 2024: Juara Asia nandao serta perak nanquan dan nangun di Kejohanan Wushu Asia, di samping emas nangun dan perak nanquan di Piala Dunia Taolu
  • 2025: Perak nangun di Piala Taolu Asia

Acara Khas Untuk Sukan Wushu, Piala Dunia Taolu

Piala Dunia Taolu merupakan kejohanan antarabangsa yang dianjurkan oleh Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF) khususnya untuk sukan wushu, taolu.

Untuk melayakkan diri, atlet perlu tersenarai dalam kalangan lapan terbaik sesuatu acara taolu pada Kejohanan Wushu Dunia sebelumnya.

Selain itu, kejohanan ini pernah diadakan pada tahun 2016, 2018 dan 2024.

Sejarah Wushu Yang Telah Wujud Sejak Zaman Gangsa

Wushu adalah salah satu seni mempertahankan diri dari China. (Foto: @msn_malaysia_official/Instagram)

Menurut IWUF, sejarah wushu dipercayai terhasil daripada usaha manusia untuk mempertahankan diri sejak Zaman Gangsa (3000 hingga 1200 SM).

Usaha itu mendorong mereka untuk menghasilkan serta mengasah pelbagai teknik mempertahankan diri bertujuan melindungi diri daripada haiwan liar atau musuh.

Penggunaan senjata pula menjadi asas kepada teknik Wushu dan pertandingan kekuatan di China membantu memperkembangkan seni mempertahankan diri ini.

Dari Dinasti Shang sekitar 1556 hingga 1046 SM sehinggalah ke hari ini, Wushu terus berkembang dengan pelbagai teknik serta penggunaan senjata yang lebih moden.

Selain itu, Wushu turut digunakan sebagai satu senaman untuk menjaga kesihatan serta hiburan selari dengan falsafah China purba yang menekankan keseimbangan antara seni sastera dan seni mempertahankan diri, wen wu.

Sementara itu, Sukan Wushu Kebangsaan telah diadakan di Shanghai pada tahun 1923 sebelum ia menjadi persembahan di Sukan Olimpik XI di Berlin pada 1936.

Seterusnya, format dan peraturan pertandingan mula diperkenalkan manakala sehingga membawa kepada Kejohanan Wushu Jemputan Antarabangsa pertama di Xi’an, China pada tahun 1985.

IWUF pula ditubuhkan secara rasmi pada 3 Oktober 1990 dan diiktiraf oleh Jawatan Kuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai badan pentadbir sukan wushu di seluruh dunia.

Hari ini, sukan wushu dipersembahkan sebagai sukan Olimpik yang menggabungkan amalan purba dengan prinsip sukan moden.

Para atlet akan mempersembahkan rutin sama ada menggunakan senjata atau tidak mengikut peraturan ketat sebelum dinilai oleh para juri berdasarkan kualiti pergerakan, persembahan keseluruhan dan tahap kesukaran.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Bakal Menghantar 59 Atlet Ke Glasgow 2026, Termasuk 22 Atlet Para | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Tunggang Kuda Mainan? Ini Info Menarik Tentang Sukan Hobby Horsing Anda Mungkin Tak Tahu | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd