Now Reading
Tampil Dengan Imej Baharu, Ahmad’s HotChicken Jadi Syarikat Tempatan Pertama Lantik AI Sebagai CEO

Tampil Dengan Imej Baharu, Ahmad’s HotChicken Jadi Syarikat Tempatan Pertama Lantik AI Sebagai CEO

Ahmad’s HotChicken akan melakukan keputusan berasaskan data menerusi CEO AI baharu mereka.

In Brief
  • Ahmad's HotChicken kini menjadi francais makanan segera pertama di Malaysia yang melantik AI sebagai CEO untuk mengendalikan operasi dan strategi.
  • Jenama ini telah berkembang daripada satu gerai kepada lebih 40 cawangan dengan menu baharu berunsur cita rasa tempatan yang lebih pedas.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Jenama francais restoran makanan segera tempatan, Ahmad’s Fried Chicken kini secara rasmi dinamakan semula sebagai Ahmad’s HotChicken, lengkap dengan identiti baharu termasuk menu serta resipi dibangunkan semula.

Menurut pihak pengurusan Ahmad’s, langkah itu menandakan evolusi jenama ke arah pengalaman ayam goreng pedas lebih moden dan berbeza daripada apa yang ada di pasaran.

Menariknya, ia kini menjadi francais makanan segera pertama di Malaysia yang melantik kecerdasan buatan (AI) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

AI Mengendalikan Operasi, Pemasaran Dan Keputusan Strategik

Burger Ahmad’s HotChicken. (Foto: Ahmad’s)

Menurut jenama itu, AI akan digunakan bagi mengendalikan operasi, pemasaran serta melakukan keputusan strategi bertujuan untuk menjadikan prosesnya jauh lebih pantas serta cekap.

Malah, identiti visual jenama itu termasuk iklan menu serta grafik media sosial telah dihasilkan melalui penjanaan imej menggunakan AI sepenuhnya, selari dengan imej baharunya yang berteraskan teknologi.

Menu Ahmad’s HotChicken Kini Lebih Pedas Dan Dekat Dengan Citarasa Tempatan

Dengan nama baharunya, menu Ahmad’s HotChicken turut mengalami perubahan ketara kerana mula berubah daripada gaya ayam goreng barat kepada gabungan cita rasa tempatan dan tahap kepedasan lebih tinggi.

Antara hidangan utamanya ialah seperti:

  • Ayam Gepuk Pedas Berapi, iaitu ayam goreng rangup yang dihidangkan bersama nasi panas, lauk tradisional serta sambal gepuk.
  • Tahap kepedasan kini bermula daripada level Chill Je sehinggalah Level Nangis Bro yang cukup pedas.
  • Burger pula turut mengalami perubahan dengan pilihan seperti Signature Duplex Big Bige dan Mad’s Double Spicy Crunch Burger, lengkap dengan isi ayam pedas tebal, lapisan keju bersama sos pedas istimewa.

Dalam masa sama, mereka turut mengekalkan elemen fusion tempatan seperti Basmati Butter Rice Meals, Nasi Lemak, Mozzarella Jacket Potatoes dan Mad’s Porridge.

Ahmad’s HotChicken Kini Mempunyai Lebih 40 Cawangan

Ayam goreng Ahmad’s HotChicken. (Foto: Ahmad’s HotChicken)

Di bawah strategi baharu, jenama itu telah berkembang pesat daripada satu gerai kepada lebih 40 lokasi dalam operasi.

Cawangannya terbesar terletak di Selangor seperti Shah Alam, Puncak Alam dan Desa Pandan. Selain itu, Ahamd’s HotChicken juga boleh didapati di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang & Terengganu.

Semuanya Bermula Dengan Sebuah Gerai Di Mydin Senawang

Menu baharu di Ahmad’s HotChicken. (Foto: Ahmad’s HotChicken)

Sebagai info, Ahmad’s HotChicken diasaskan oleh Lailatul Sarahjana Mohd Ismail bersama suaminya, Mohd Taufik Khairuddin, yang kedua-duanya berusia 34 tahun.

Pasangan itu telah mendapati terdapat peningkatan mendadak dalam minat terhadap produk keluaran tempatan.

Ketika perniagaan bakeri dalam talian mereka merosot semasa pandemik Covid-19, mereka mengambil keputusan untuk berpindah kepada perniagaan ayam goreng.

“Saya menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk selama tiga bulan, manakala Taufik memberi tumpuan kepada penyelidikan pasaran dan penjenamaan. Kami bermula dengan satu gerai di Mydin Senawang. Sambutannya sangat baik, jadi kami memutuskan untuk membuka restoran makanan segera.

“Begitulah bagaimana Ahmad’s Fried Chicken bermula. Ia selari dengan hasrat kami untuk mencipta produk Malaysia yang boleh dibanggakan. Kami menamakannya sempena gelaran suami saya yang diberikan bapanya, yang turut mencerminkan identiti tempatan,” katanya.

Bagi memastikan cita rasa yang konsisten, pasangan itu mendapatkan nasihat pakar industri makanan dan minuman serta menjalankan pelbagai kajian sebelum memuktamadkan resipi ayam goreng mereka.

“Resipi dan campuran tepung dibangunkan sendiri untuk mengekalkan kawalan kualiti. Jenama antarabangsa merupakan cabaran utama kami kerana mereka mempunyai kelebihan dari segi rantaian bekalan dan ladang kontrak,” katanya.

Menurut Lailatul Sarahjana, Ahmad’s beroperasi menerusi model pelesenan, dengan kos pembukaan cawangan antara RM700,000 hingga RM1 juta bergantung kepada saiz dan lokasi.

“Kami membuka cawangan secara berhati-hati dengan tumpuan kepada kawasan bandar dahulu kerana semua bahan mentah, termasuk ayam, perlu dibekalkan dari ibu pejabat kami di Puchong,” tambah Lailatul.

Bukan Ahmad’s HotChicken Sahaja, Terdapat Syarikat Lain Turut Melantik AI Sebagai CEO

CEO AI di China. (Foto: Gizmochina)

Syarikat permainan video dari China, NetDragon Websoft mendakwa dirinya syarikat pertama di dunia yang telah melantik AI sebagai CEO mereka.

NetDragon Websoft telah melantik program AI bernama Tang Yu sebagai CEO pada Ogos, untuk menyokong proses melakukan keputusan bagi operasi harian.

Menariknya, “robot humanoid maya berkuasa AI” itu berjaya mengatasi prestasi Indeks Hang Seng Hong Kong dalam tempoh enam bulan selepas dilantik.

Harga sahamnya kini meningkat 10 peratus, sekali gus menolak nilai syarikat itu melepasi AS$1 bilion.

“Kami percaya AI ialah masa depan pengurusan korporat, dan pelantikan Tang Yu mencerminkan komitmen kami untuk menggunakan AI bagi mengubah cara kami mengendalikan perniagaan serta memacu pertumbuhan strategik masa depan,” kata pengasas syarikat, Dejian Liu.

Selain itu, sebuah syarikat minuman dari Poland, Dictador turut memperkenalkan Mika, yang digelar CEO robot menyerupai manusia pertama di dunia berkuasa AI.

Mika merupakan hasil projek penyelidikan antara Hanson Robotics dan Dictador, dan direka khas untuk mewakili nilai syarikat itu.

“Dengan algoritma AI dan pembelajaran mesin yang canggih, saya boleh melakukan keputusan berdasarkan data dengan pantas dan tepat,” kata Mika menerusi satu video syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Hanson Robotics, David Hanson pula menekankan kepentingan menjadikan AI sebagai ‘manusia’.

“Saya percaya kita perlu mengajar AI untuk mengambil berat tentang manusia agar AI benar-benar selamat serta benar-benar baik. Saya rasa menjadikannya sebagai manusia ialah satu hala tuju yang sangat penting,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: UAI Perjelas Hukum Guna Teknologi Artificial Intelligence (AI) Dalam Islam. Boleh Ke? | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Selalu Jadi Sasaran Kandungan Deepfake Lucah, Ahli Parlimen Rompin Gesa Hukuman Mandatori Dikenakan | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd