Remaja 15 Tahun Ditahan Kerana Menggodam Syarikat Animasi Menggunakan AI Di Jepun
Remaja itu mengaku mencipta satu program yang memadamkan 46,812 akaun secara paksa.
- Seorang remaja berusia 15 tahun ditahan kerana menggunakan AI untuk memadam 46,812 akaun di Bandai Channel.
- Maklumat peribadi 1.36 juta akaun berpotensi terbocor, termasuk e-mel, baki akaun, dan kaedah pembayaran.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sekali lagi mencetuskan perhatian.
Pada 6 Julai, polis Tokyo menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang mengaku menggunakan AI untuk membina satu program.
Menurut The Asahi Shimbun, program itu telah memadamkan 46,000 akaun di perkhidmatan penstriman animasi, Bandai Channel secara paksa.
Remaja Disyaki Lakukan Halangan Perniagaan Secara Penipuan

Remaja yang merupakan pelajar sekolah menengah dari Wilayah Saitama telah disyaki melakukan penipuan serta menghalang operasi perniagaan dan beliau telah mengaku atas dakwaan tersebut.
“Saya mencipta sendiri kod sumber bagi proses pembatalan langganan itu. Oleh sebab pemprosesannya mengambil masa yang lama, saya bertanya kepada AI dan menyiapkannya dalam bahasa yang berbeza,” katanya.
46,812 Akaun Lenyap Pada 4 November 2025

Pada 4 November 2025, remaja itu telah menghantar arahan palsu kepada pelayan (server) Bandai Namco Filmworks Inc, iaitu pengendali Bandai Channel.
Tindakan tersebut telah mencetuskan pembatalan pendaftaran secara besar-besaran membabitkan sebanyak 46,812 akaun.
Ekoran itu, syarikat terpaksa menggantung perkhidmatannya buat sementara waktu.
Walaupun Bandai Channel telah mengambil langkah alternatif untuk menghalangnya seperti menyekat aksesnya, dia dipercayai telah menukar internet protocol (IP) sebanyak 30 kali bagi meneruskan hantaran maklumat palsu.
Mula Belajar Kod Secara Sendiri Sejak Bangku Sekolah Rendah
Ketika serangan itu berlaku, remaja tersebut merupakan pelajar sekolah menengah rendah dan telah ditahan pada bulan Jun lalu disyaki melakukan jenayah siber yang lain.
Berdasarkan laporan The Asahi Shimbun, dia mempelajari bahasa pengaturcaraan secara sendiri sejak sekolah rendah lagi dan tidak mempunyai sebarang dendam terhadap Bandai Namco Filmworks.
“Saya melakukannya kerana terdapat banyak akaun yang boleh saya log masuk,” katanya.
Maklumat 1.36 Juta Akaun Berpotensi Terdedah

Sebagai info, syarikat itu telah berunding dengan Jabatan Polis Metropolitan (MPD) sejak November 2025.
Bandai Namco Filmworks telah mengumumkan bahawa maklumat peribadi sebanyak 1.36 juta akaun berpotensi terbocor seperti e-mel, baki akaun serta kaedah pembayaran.
Bagaimanapun, Bandai Namco Filmworks berkata tiada kerosakan kedua seperti data disiarkan dalam talian yang disahkan setakat ini.
“Kami memandang serius situasi ini dan akan terus menjalankan pemeriksaan berkala serta berusaha mencegah sebarang kejadian berulang,” katanya.
Polis Beri Amaran Kepada Bakal Penggodam
Seorang penyiasat kanan turut memberi amaran kepada bakal penggodam.
“Ruang siber bersifat sangat tanpa nama, dan orang ramai mungkin tergoda untuk melakukan jenayah secara sambil lewa, tetapi tindakan itu boleh membawa akibat yang serius,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Norway Haramkan AI Untuk Murid Sekolah Rendah Selepas Prestasi Ujian Merosot Teruk | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Tampil Dengan Imej Baharu, Ahmad’s HotChicken Jadi Syarikat Tempatan Pertama Lantik AI Sebagai CEO | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.