Now Reading
Suhu Di Malaysia Bakal Mencecah 39 Hingga 40 Darjah Celsius Akibat Fenomena Super El Nino

Suhu Di Malaysia Bakal Mencecah 39 Hingga 40 Darjah Celsius Akibat Fenomena Super El Nino

Bacaan suhu paling panas pernah direkodkan ialah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

In Brief
  • Suhu di Malaysia dijangka mencecah 39 hingga 40 darjah Celsius di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung akibat fenomena Super El Nino.
  • Suhu tinggi berpanjangan boleh menyebabkan strok haba, mendatangkan risiko serius kepada kesihatan awam terutama kanak-kanak dan warga emas.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan suhu di negara ini berpotensi mencecah antara 39 hingga 40 darjah Celsius di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung Malaysia.

Ini sekiranya fenomena El Nino berkembang seperti yang diramalkan model iklim semasa dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang, jangkaan itu dibuat berdasarkan analisis rekod suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia ketika El Nino kuat sebelum ini.

Baca Artikel Berkaitan: Anak Anda Asyik Meragam Ketika Cuaca Panas? Ini Penjelasannya | TRP

Rekod Suhu Ekstrem Jika Berlakunya Super El Nino

Kesan daripada musim panas. (Foto: Berita Harian SG)

Menurut Ambun, sejarah cuaca negara telah menunjukkan beberapa bacaan suhu ekstrem pernah direkodkan ketika fasa El Nino kuat.

“Sejarah cuaca negara menunjukkan beberapa bacaan suhu ekstrem pernah direkodkan ketika fasa El Nino kuat, termasuk 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998, yang kekal sebagai antara bacaan tertinggi pernah dicatatkan di negara ini.

“Selain itu, suhu 39.3 darjah Celsius di Pahang pada 10 April 2016 serta 39.1 darjah Celsius di Alor Setar, Kedah pada 18 Mac 2019 turut direkodkan dalam keadaan cuaca yang dipengaruhi fenomena sama.

“Rekod-rekod ini menunjukkan bahawa suhu tertinggi di Malaysia lazimnya berlaku semasa episod El Nino yang kuat,” katanya.

Beliau berkata suhu tinggi di Malaysia lazimnya dicatatkan pada fasa El Nino kuat, khususnya antara Mac hingga April, seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

Kelembapan Tinggi Bantu Malaysia Elak Suhu Panas Melampau Seperti Di Eropah

Perubahan udara menyebabkan berlakunya El Nino. (Foto: Nat Geo)

Ambun turut menjelaskan bahawa walaupun Malaysia merupakan negara tropika yang dikelilingi lautan, keadaan itu tidak menghalang peningkatan suhu ketika El Nino.

Sebaliknya, ia hanya membantu mengurangkan kesannya berbanding negara beriklim sederhana atau kontinental.

“Kita tidak menjangkakan suhu melonjak terlalu tinggi sehingga 45 darjah Celsius yang berlaku di Eropah ketika ini kerana kelembapan kita masih tinggi.

“Sumber kelembapan dari Laut China Selatan, Selat Melaka serta kawasan perairan sekitar negara memainkan peranan penting dalam mengimbangi peningkatan suhu, termasuk membantu mengekalkan pembentukan awan dan hujan pada sesetengah keadaan,” jelasnya.

Suhu Mencecah 39 Hingga 40 Darjah Wajar Diberi Perhatian

MetMalaysia menyifatkan suhu diantara 39 hingga 40 darjah Celsius itu masih berada dalam lingkungan biasa jika mengambil kira sejarah cuaca negara.

Walaupun begitu, keadaan itu perlu diambil berat kerana cuaca panas berpanjangan mampu menjejaskan kesihatan awam, bekalan air serta aktiviti ekonomi.

Pihaknya turut memaklumkan bahawa pemantauan terhadap perkembangan El Nino sedang diteruskan dan sebarang ramalan akan diperbaharui dari semasa ke semasa mengikut perubahan keadaan atmosfera dan lautan di rantau ini.

Pakar Saintis Jangka ‘Super El Nino’ Kali Ini Paling Kuat Dalam Rekod

Musim panas boleh mencetus strok haba. (Foto: Family First ER)

Para saintis telah meneliti keadaan Lautan Pasifik tropika sejak beberapa bulan lalu sambil menjangkakan kemunculan ‘Super El Nino’ bakal menjadi antara yang terkuat dalam sejarah.

Fenomena kali ini berkemungkinan menetapkan penanda aras baharu bagi puncak tertinggi, sekali gus membawa risiko besar kepada kejadian cuaca ekstrem di serata dunia.

El Nino diramalkan menguat dengan cepat di Pasifik tropika dalam beberapa bulan lagi, sebelum memuncak pada penghujung musim luruh sehingga awal musim sejuk.

Fenomena ini sudah digelar Super El Nino, dan setakat beberapa dekad lalu, hanya beberapa fenomena sahaja pernah menyamai tahap sekuat itu dengan yang terakhir dicatatkan pada 2015 dan 2016.

Sebagai info, El Nino merupakan kitaran cuaca berkala yang dicirikan oleh suhu laut lebih tinggi daripada kebiasaan di Pasifik tropika khatulistiwa, di samping perubahan corak cuaca yang kesannya dirasai di seluruh dunia.

Sepanjang fenomena ini, jumlah haba yang besar berpindah dari lautan ke atmosfera, lalu menaikkan purata suhu global dan menambah kebarangkalian cuaca ekstrem merentasi dunia.

Bacaan model komputer terkini turut menunjukkan kecenderungan ke arah El Nino yang lebih kuat pada waktu puncaknya, berpotensi mencetuskan banjir di sebahagian kawasan, kemarau di kawasan lain, serta gelombang haba.

Selain itu, El Nino memberi kesan kepada sektor pertanian, seperti menurunkan hasil padi di India dan sebahagian Asia, seterusnya boleh menaikkan harga makanan.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), iaitu badan cuaca di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), turut menyeru pihak berkuasa di serata dunia agar bersiap sedia menghadapi kesan El Nino, di samping menggerakkan agensi PBB bagi menjangka kejadian ekstrem yang mungkin menuntut respons kemanusiaan.

Musim Cuaca Panas Boleh Jadi Penyebab Strok Haba

Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim berkata strok haba terjadi daripada kepanasan melampau akibat cuaca terlalu panas bermula dengan kelesuan haba.

Beliau menjelaskan tubuh manusia hanya berupaya berfungsi dengan baik pada suhu sekitar 37 darjah Celsius, lalu akan berusaha menyejukkan diri apabila cuaca menjadi terlalu panas.

“Apabila suhu itu naik, badan kita akan mengalami tanda-tanda yang kita panggil kelesuan haba… Jika kita biar badan lama-lama, ia tak boleh nak menampung suhu optimum, ia akan menjadi strok haba,” katanya.

Menurut beliau, antara tanda awal strok haba yang wajar diberi perhatian ialah suhu badan melepasi 40 darjah Celsius, kekeliruan atau meracau akibat fungsi otak terganggu, pengsan serta sawan.

Selain itu, antara tindakan yang perlu diambil apabila tanda strok haba mula kelihatan termasuklah:

  • Melonggarkan atau menanggalkan pakaian
  • Menyiram atau membasahkan bahagian seperti kepala, leher dan ketiak
  • Berpindah ke ruang yang lebih sejuk
  • Segera minum air atau minuman sejuk

Dr Megat Mohamad Amirul berkata kegagalan memberikan pertolongan cemas ini dapat meningkatkan risiko strok haba dengan ketara, apabila mangsa semakin lemah dan organ pentingnya mula terjejas.

Beliau menambah mangsa strok haba tidak lagi akan mengeluarkan peluh berikutan keadaan dehidrasi yang amat teruk.

“Air kencing bagi mereka yang mengalami kelesuan haba dan strok haba juga berkurangan atau hampir tiada kerana dehidrasi teruk… dan ia boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman serta seterusnya boleh menyebabkan maut jika tidak diberi rawatan lanjut,” katanya.

Beliau turut mengingatkan golongan kanak-kanak dan warga emas yang menghidap penyakit kronik berdepan risiko lebih tinggi apabila terlalu lama terdedah kepada cuaca panas, memandangkan daya tahan tubuh mereka lebih rendah.

“Elakkan berada di bawah panas terik terlalu lama dan kurangkan aktiviti luar rumah iaitu antara 11 pagi hingga 4 petang kerana ketika inilah cahaya matahari sangat terik,” katanya.

Rekod Suhu Cuaca Panas Ketika Berlakunya El Nino Di Malaysia

Chuping, Perlis. (Foto: @B_who/Reddit)

Untuk pengetahuan umum, berikut ialah bacaan suhu yang dicatatkan sepanjang fenomena El Nino di Malaysia:

  • 1997–1998: Chuping, Perlis mencatat 40.1 darjah Celsius, iaitu rekod suhu tertinggi negara
  • 2005: 36 hingga 38 darjah Celsius 2010: 36 hingga 37 darjah Celsius
  • 2015–2016: 39.3 darjah Celsius
  • 2023: 36 hingga 37 darjah Celsius
  • Tahun ini: 37 hingga 40 darjah Celsius, dijangka menjadi episod paling panas bergantung kepada intensiti El Nino-Southern Oscillation (ENSO)

Oleh itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada sepanjang tempoh cuaca panas dan segera mendapatkan rawatan sekiranya menunjukkan simptom-simptom strok haba.

Baca Artikel Berkaitan: “Nampak Kecil Tapi Kesannya Besar” – Pakar Psikologi Kongsi Kesan Cuaca Panas Terhadap Kesihatan Mental | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Tak Perlu Pasang Penghawa Dingin! Isi Air Dalam Labu Sayong Dah Boleh Kurangkan Bahang Bilik | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd