Now Reading
Malaysia Bakal Menghantar 59 Atlet Ke Glasgow 2026, Termasuk 22 Atlet Para

Malaysia Bakal Menghantar 59 Atlet Ke Glasgow 2026, Termasuk 22 Atlet Para

Menurut Ketua Kontinjen, atlet Malaysia bakal beraksi dalam lapan daripada 10 sukan yang dipertandingkan pada Glasgow 2026.

In Brief
  • Malaysia akan menghantar 59 atlet, termasuk 22 atlet para, ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 dalam lapan sukan.
  • Glasgow 2026 hanya mempertandingkan 10 sukan, berkurangan daripada 17 hingga 18 sukan pada edisi sebelumnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Malaysia bakal menghantar kontinjen yang lebih kecil ke Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Seramai 59 atlet negara, termasuk 22 atlet para akan mengharungi cabaran di kejohanan sukan empat tahun sekali itu.

Menurut Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Awalan Abdul Aziz, kontinjen negara akan beraksi dalam lapan daripada 10 sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

Acara Tinju Dan Bola Tampar Tidak Akan Disertai Di Glasgow 2026

Datuk Awalan Abdul Aziz bersama Datuk Abdul Latif Romly. (Foto: @msn_malaysia_official/Instagram)

Awalan berkata dua sukan yang tidak disertai Malaysia ialah tinju dan bola tampar selepas melawat pusat latihan sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam (6 Julai).

Beliau juga sempat meninjau tiga kem latihan pada hari itu, iaitu renang, gimnastik dan olahraga.

“Hari ini saya berpeluang melawat kem latihan di tiga tempat, iaitu renang, gimnastik dan akhirnya para olahraga. Alhamdulillah, program latihan bagi persediaan menghadapi Sukan Komanwel 2026 Glasgow berjalan lancar.

“Atlet kita juga berada dalam keadaan sihat dan bersemangat. Insya-Allah, mereka akan ke sana dengan semangat juang serta keyakinan tinggi untuk membawa kejayaan kepada negara,” tambahnya.

Bilangan Acara Sukan Dikurangkan Kepada 10 Berbanding 17 Sebelum Ini

Kem latihan renang. (Foto: @msn_malaysia_official/Instagram)

Glasgow 2026 dianggap unik menurut Awalan kerana bilangan sukan dikurangkan kepada 10, berbanding kebiasaannya 17 hingga 18 acara pada edisi lalu.

Tambahan pula, selain bilangan sukan yang lebih sedikit, beberapa acara dalam sukan yang dipertandingkan turut dikecilkan, sekali gus mengurangkan tawaran pingat berbanding sebelum ini.

“Dari segi sasaran, kita akan bincang kemudian, tetapi saya berharap mereka memberikan yang terbaik. Kami telah mengenal pasti sukan yang boleh membawa pingat kepada negara,” katanya.

Selain itu, Glasgow 2026 tidak mempunyai Perkampungan Atlet untuk menempatkan atlet di satu kawasan selamat seperti sukan Olimpik. Namun, ini bukanlah satu halangan besar buat kontinjen negara.

Ini kerana penempatan atlet telah dirancang mengikut kelompok hotel yang berdekatan dengan lokasi pertandingan.

Sasaran Pingat Dijangka Diumum Sebelum Majlis Penyerahan Jalur Gemilang

Pingat Glasgow 2026. (Foto: Inside The Games)

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pengumuman rasmi sasaran pingat Glasgow 2026 dijangka akan dibuat beberapa hari sebelum majlis penyerahan Jalur Gemilang.

Majlis itu dijadualkan berlangsung pada 16 Julai.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 pula dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, menampilkan 10 acara.

Selain itu, Malaysia pernah berjaya meraih tujuh pingat emas, lapan pingat perak dan lapan pingat gangsa pada tahun 2022 di Birmingham, England.

Namun, cabaran yang lebih sukar menanti di Glasgow 2026 apabila empat daripada pingat emas itu datang daripada sukan yang tidak lagi disenaraikan pada kali ini.

Fakta Ringkas Mengenai Sukan Komanwel Glasgow 2026 Edisi Ke-23

Maskot Glasgow 2026. (Foto: Glasgow Life)

Sebagai info, Glasgow 2026 secara rasminya dikenali sebagai Sukan Komanwel ke-23 yang bakal berlangsung dari 23 Julai sehingga 2 Ogos 2026 di Glasgow, bandar terbesar di Scotland.

Ini merupakan kali keempat Scotland menjadi tuan rumah selepas tahun 1970 dan 1986 di Edinburgh, serta edisi 2014 di Glasgow.

Kesemua 74 Persatuan Sukan Komanwel dijangka akan menyertai kejohanan ini. Malah, Gabon dan Togo dijangka akan membuat penampilan pertama sejak menyertai Komanwel pada Jun 2022.

Berikut adalah 10 sukan yang bakal dipertandingkan di Glasgow 2026:

  • Bola keranjang 3×3
  • Gimnastik artistik
  • Olahraga
  • Boling Padang
  • Tinju
  • Judo
  • Bola Tampar
  • Renang
  • Basikal Trek
  • Angkat Berat

Manakala enam sukan para pula adalah:

  • Bola keranjang kerusi roda 3×3
  • Para olahraga
  • Para boling padang
  • Para renang
  • Para berbasikal trek
  • Para angkat berat

Latihan Majlis Pembukaan Glasgow 2026 Sudah Pun Bermula

Sementara itu, latihan bagi Majlis Pembukaan Glasgow 2026 sudah pun bermula yang bakal berlangsung pada 23 Julai di The Hydro sekali gus membuka tirai kepada 10 hari sambutan sukan bertaraf dunia di bandar tersebut.

Anggota pelakon sukarelawan telah berkumpul pada salah satu sesi latihan awal ketika Glasgow 2026 bersiap sedia menyambut kedatangan dunia.

Penganjur sebelum ini menguji bakat 800 calon sebelum memilih 600 pelakon, yang akan tampil bersama kumpulan tarian tempatan, penghibur budaya tradisional serta pertubuhan komuniti.

Majlis itu diarahkan oleh pengarah teater dari Glasgow, Roxana Cole, dengan koreografi oleh Emily Jane Boyle.

Ia turut menampilkan barisan bintang terkenal yang masih dirahsiakan penganjur.

Menurut penganjur, majlis pembukaan itu bakal membawa penonton menyusuri Glasgow, Scotland dan Komanwel menerusi pelbagai persembahan.

Antara yang tampil ialah penyanyi dari Royal Scottish National Orchestra Youth Chorus yang akan mengalunkan lagu kebangsaan, serta penari dari Scottish Dance Theatre.

Baca Artikel Berkaitan: Tunggang Kuda Mainan? Ini Info Menarik Tentang Sukan Hobby Horsing Anda Mungkin Tak Tahu | TRP

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Rakyat Malaysia Berkumpul Tonton Perlawanan Badminton Sukan Olimpik 2024 Wakili Malaysia | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd