Subkhiddin Salleh Pernah Jadi Pengadil Di Piala Dunia FIFA 2010, Berkat Pengalaman Hampir Satu Dekad
Bekas pengadil Subkhiddin Salleh pada mulanya menyertai program calon bagi Piala Dunia 2006 Jerman, tetapi tidak terpilih di saat akhir.
- Subkhiddin Salleh represented Malaysia as a match official at the FIFA World Cup 2010 in South Africa, after nearly a decade of perseverance.
- Despite qualifying as a World Cup official, Subkhiddin was assigned as fourth official in eight matches, never appointed as a main referee.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Demam Piala Dunia FIFA 2026 kini melanda masyarakat dunia dan rakyat Malaysia sudah tentu tidak terkecuali sama sekali.
Kejohanan itu kini sudah memasuki fasa Pusingan 16, dengan pasukan Perancis, Maghribi dan Norway antara yang pertama layak ke Suku Akhir.
Walaupun mempunyai jumlah peminat yang amat besar, pasukan bola sepak Malaysia sayang sekali masih belum melayakkan diri ke kejohanan terbesar di dunia itu.
Namun ini tidak menjadi satu halangan buat Malaysia dalam menempa nama di pentas antarabangsa dalam dunia bola sepak.
Itulah kejayaan yang dicapai oleh pengadil dari Malaysia, Subkhiddin Salleh, apabila berjaya menjadi wakil negara sebagai pegawai perlawanan di Piala Dunia FIFA 2010 Afrika Selatan.
Subkhiddin Tercalon Sebagai Pengadil Bagi FIFA 2006 Jerman
Bercakap kepada TRP, Subkhiddin yang kini telah bersara berkata beliau tidak berasa emosi apabila menerima jemputan untuk ke kejohanan bola sepak terbesar di dunia itu. Sebaliknya, timbul rasa penuh syukur setelah perjuangan hampir satu dekad.
Perjalanannya untuk ke Piala Dunia bagaimanapun tidaklah semudah yang disangka.
Subkhiddin mendedahkan beliau telah menyertai program pembangunan pengadil FIFA sebelum Piala Dunia 2006 di Jerman, tetapi tidak melayakkan diri bagi pemilihan terakhir.
“Saya sudah pun menyertai program calon bertahun-tahun sebelum Piala Dunia 2006. Tetapi saya tidak dipilih pada saat akhir. Semua orang dapat pergi ke Jerman kecuali saya,” katanya.
Perkara itu tidak membuatkan Subkhiddin putus asa dalam bidang pengadilan, namun sebaliknya menjadi sumber motivasi.
Subkhiddin Bertugas Sebagai Pengadil Di Kejohanan Lain FIFA, Akhirnya Terpilih Bagi Piala Dunia 2010
Beberapa tahun seterusnya, Subkhiddin terus mengadili di beberapa kejohanan utama FIFA termasuk Sukan Olimpik, Piala Dunia Bawah 17, Piala Dunia Bawah 20 dan Piala Dunia Kelab.
“Pada mulanya setiap lantikan membuatkan saya rasa teruja kerana merupakan sesuatu yang baharu. Tetapi selepas mengadili begitu banyak kejohanan, ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin,” katanya.
Beberapa lama kemudian barulah beliau menyedari lantikan-lantikan itu merupakan sebahagian daripada proses penilaian jangka masa panjang FIFA untuk dipilih sebagai pengadil di Piala Dunia.
“Saya hanya fokus untuk berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Saya tidak memandang terlalu jauh ke hadapan,” katanya.
Apabila FIFA akhirnya mengumumkan pemilihannya bagi Piala Dunia 2010 Afrika Selatan, reaksi di tanah air berubah serta-merta. Ketika itulah Subkhiddin akhirnya menyedari apakah makna dipilih menjadi pengadil di Piala Dunia.
“Pihak media mula hubungi saya. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi sibuk. Malah Kementerian Pendidikan juga mahu mengadakan majlis penghargaan.
“Sebelum itu, saya sudah mengadili di banyak kejohanan antarabangsa dan tiada siapa yang menyedarinya. Tetapi apabila bercakap tentang Piala Dunia, tiba-tiba semua orang mahu menemui saya.
“Bagi saya, ia bukan tentang meraikan (kejayaan dipilih) semata-mata. Ia menjadi satu tanggungjawab. Sekali anda berada di Piala Dunia, anda akan mula fikir sejauh manakah anda boleh pergi dan berapa baguskah anda dapat mewakili negara,” ujar Subkhiddin.
Patut Jadi Pengadil Utama, Namun Subkhiddin Dilantik Pegawai Keempat
Ironinya, kejohanan itu turut membawa kekecewaan buat Subkhiddin.
Beliau mendedahkan kontroversi yang melibatkan pemilihan dalam kalangan beberapa pengadil Eropah akhirnya menjejaskan pengadil dari konfederasi lain.
Disebabkan itu, Subkhiddin menjadi pegawai keempat dalam lapan perlawanan Piala Dunia dan tidak dilantik sebagai pengadil utama.
Bagi Subkhiddin, antara penugasan yang paling diingati adalah bagi perlawanan pembukaan antara pasukan tuan rumah Afrika Selatan dan pasukan Mexico.
“Perlawanan itu tidak dapat dilupakan kerana kehadiran ramai pemimpin-pemimpin dan orang kenamaan. Suasana ketika itu amat menakjubkan,” katanya.
Peranan Subkhiddin Dalam Menyingkirkan Kaká
Beliau juga mengingati semula satu momen yang mencuit hati, apabila bintang bola sepak Brazil Ricardo Kaká, dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil utama Stéphane Lannoy dari Perancis, walaupun tidak dipersetujui oleh Subkhiddin.
“Saya cakap, ‘Tak, tak, tak… Tak perlu kad.’ Tapi dia masih menunjukkan (kad) kuning,” katanya sambil tertawa.
Dalam Piala Dunia 2010 ketika itu, Kaká dibuang padang dalam perlawanan Kumpulan G menentang Ivory Coast.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.