Now Reading
Ronaldo Umum Bakal Bersara Dari Pentas Piala Dunia, Belum Berhenti Main Bola Sepak Sepenuhnya

Ronaldo Umum Bakal Bersara Dari Pentas Piala Dunia, Belum Berhenti Main Bola Sepak Sepenuhnya

Pemain bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, tidak menetapkan tarikh khusus persaraan sepenuhnya daripada arena bola sepak profesional.

In Brief
  • Cristiano Ronaldo mengumumkan Piala Dunia 2026 adalah penampilan terakhirnya dalam kejohanan tersebut, selepas enam edisi sejak 2006.
  • Ronaldo belum bersara sepenuhnya daripada bola sepak profesional, menegaskan beliau akan bersara mengikut kehendaknya sendiri.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Demam Piala Dunia 2026 semakin hangat apabila kejohanan bola sepak terbesar dunia itu memasuki aksi Pusingan 16.

Dalam perkembangan terkini, Norway mengejutkan para peminat bola sepak apabila berjaya mengalahkan johan lima Piala Dunia, Brazil (2-1) sekali gus layak ke Suku Akhir.

Dua pasukan lain yang bakal berentap di peringkat Suku Akhir ialah Perancis dan Maghribi, selepas masing-masing mengalahkan Paraguay dan Kanada.

Ronaldo Umum Tidak Akan Sertai Piala Dunia Lagi Selepas Ini

Peminat tegar sukan bola sepak turut dikejutkan dengan satu berita lain, apabila bintang dari Portugal, Cristiano Ronaldo, memaklumkan tahun ini merupakan penampilan terakhirnya dalam Piala Dunia.

Perkara tersebut disahkan oleh pemain berusia 41 tahun itu menjelang perlawanan Portugal menentang Sepanyol.

Selepas beraksi dalam enam edisi Piala Dunia sejak debut pertamanya pada 2006 di usia, Ronaldo merupakan antara pemain terhebat dalam sejarah suka bola sepak.

“Saya akan meninggalkan sukan ini dengan hati yang tenang. Bukan 100%, tetapi 1,000% kerana saya telah memberikan segala-galanya kepada bola sepak. Saya tidak memerlukannya untuk hidup.

“Saya mempunyai kehidupan yang baik, tetapi saya bermain kerana minat. Saya bermain bola sepak kerana saya mencintainya,” katanya.

Misi Utama Agar Portugal Mara Ke Peringkat Seterusnya, Bukan Demi Raih Gol Peribadi

Dalam pada itu, Ronaldo juga percaya bahawa pencapaiannya di Piala Dunia 2026 agak memuaskan memandangkan beliau telah menjaringkan tiga gol setakat ini.

Malah bintang dikenali sebagai CR7 itu turut menjadi pemain bola sepak pertama yang mendapat skor di enam edisi Piala Dunia.

Baca Artikel Berkaitan: Umur Tak Jadi Penghalang, Ronaldo Jadi Pemain Pertama Skor Di 6 World Cup Pada Usia 41 Tahun

“Kita perlu menikmati setiap hari. Saya sudah menjaringkan tiga gol dalam kejohanan ini, jadi saya rasa saya tidaklah beraksi terlalu buruk,” ujarnya.

Ronaldo turut menegaskan bahawa misi utama pasukannya adalah agar mara ke pusingan seterusnya, bukan untuk beliau menjaringkan gol peribadi.

Ronaldo Akan Terus Main Bola Sepak Profesional, Bukan Bersara Sepenuhnya

Bintang bola sepak itu bagaimanapun tidak menetapkan tarikh khusus persaraan sepenuhnya daripada arena bola sepak profesional.

“Saya akan bersara apabila saya mahu, bukan apabila anda (media) mahu. Sama ada saya bermain atau berada di bangku simpanan, pengaruh saya tetap sama,” katanya.

Ronaldo dalam masa sama mengulas mengenai kritikan yang diterima kerana usianya yang sudah mencecah 41 tahun.

“Sudah 23 tahun orang cuba ‘menjatuhkan’ saya… tetapi mereka tahu mereka hanya membuang masa. Mereka boleh terus mencuba, tetapi ia tidak berbaloi. Saya sudah biasa dengan perkara itu,” katanya kepada media.

Walaupun fizikal Ronaldo kini bukanlah pada tahap kemuncak berbanding dahulu, beliau tetap optimis dapat membawa sumbangan kepada pasukan Portugal.

“Saya bukan lagi pemain seperti dahulu, tetapi saya masih mampu menjaringkan gol. Jika saya tidak menjaringkan gol, rakan sepasukan lain akan melakukannya. Misi utama kami adalah untuk mara ke pusingan seterusnya, bukan untuk saya menjaringkan gol peribadi,” katanya.

Ronaldo Jaringkan 3 Gol Di Piala Dunia 2026 Setakat Ini

Di edisi Piala Dunia kali ini, Ronaldo menjaringkan gol pertamanya pada minit keenam dalam perlawanan menentang Uzbekistan, sebelum mengulanginya pada minit ke-39, dengan mata keseluruhan 5-0.

Ketika perlawanan menentang Croatia di Pusingan 32 pula, Ronaldo menjaringkan satu lagi gol menerusi tendangan penalti, yang menjadi gol pertama dalam perlawanan kalah mati.

Sebagai info, Ronaldo merupakan antara pemain paling ikonik dalam sejarah sukan bola sepak selepas membuatkan 232 penampilan bersama Portugal dan menjaringkan sejumlah 146 gol.

Malah beliau turut memimpin pasukan negaranya itu dalam menjuarai EURO 2016 dan dua kejuaraan Nations League.

Ronaldo juga telah dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or, anugerah individu berprestij oleh majalah France Football, sebanyak lima kali.

Baca Artikel Berkaitan: Bukan Sekadar Hiasan Semata-Mata, Lencana Di Jersi Pemain Piala Dunia 2026 Ada Maksudnya

Baca Artikel Berkaitan: Bukan Penaja Rasmi, Logo Levi’s Terpaksa ‘Disorok’ Di Stadium Sendiri Ketika Piala Dunia 2026

Baca Artikel Berkaitan: Jersi Pelé dari Final Piala Dunia 1958 Dijangka Bakal Cecah RM23.79 Juta di Lelongan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd