“Sasaran Terhadap Palestin, Arab & Islam” – OIC Kecam RUU Israel Mahu Haramkan Laungan Azan
RUU ‘Undang-Undang Muazin’ telah menerima kelulusan awal Knesset Israel selepas disokong 50 ahli parlimen atas tujuan menangani ‘bunyi bising yang tidak munasabah’.
- OIC mengecam RUU 'Undang-Undang Muazin' Israel yang mahu mengharamkan laungan azan, menyifatkannya terbatal dan tidak sah.
- RUU itu dianggap pelanggaran kebebasan beragama dan melanggar undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.
- OIC menggesa PBB dan masyarakat antarabangsa ambil tindakan segera hentikan dasar diskriminasi Israel terhadap umat Islam.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak Israel melancarkan pembunuhan beramai-ramai ke atas Gaza pada Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin telah terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Bukan sekadar serangan fizikal, rejim Zionis turut cuba mewujudkan polisi-polisi yang mengekang kebebasan rakyat Palestin di wilayah itu.
Terbaharu, Knesset Israel memberikan kelulusan awal terhadap cadangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengharamkan laungan azan.
OIC Kecam Tindakan Israel Luluskan RUU Haramkan Azan
Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagaimanapun mengecam RUU dikenali sebagai ‘Undang-Undang Muazin’ serta menyifatkannya sebagai terbatal dan tidak sah.
Memetik Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), OIC menyatakan RUU itu merupakan langkah perundangan yang bersifat diskriminasi dan perkauman.
Ia juga disifatkan sebagai satu pelanggaran secara terang-terangan terhadap kebebasan beragama dan beribadat, serta hak-hak kebudayaan dan agama yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Menurut OIC, RUU itu merupakan satu peningkatan berbahaya dalam satu siri undang-undang, keputusan dan dasar Israel yang menyasarkan kewujudan Palestin serta identiti Arab dan Islam.
Ia juga dikatakan sebagai serangan langsung terhadap ritual agama Islam dan tempat-tempat suci.
Usaha Menyekat Laungan Azan Melanggar Beberapa Undang-Undang Antarabangsa
Sehubungan itu, OIC menegaskan bahawa menyekat laungan azan merupakan satu pelanggaran kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk:
- Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik
- Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat
- Instrumen antarabangsa lain yang melindungi hak untuk mengamalkan upacara keagamaan secara bebas tanpa diskriminasi atau sekatan
Dalam pada itu, OIC menggesa masyarakat antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agensi khususnya dan semua pihak antarabangsa berkaitan untuk mengambil tindakan segera agar langkah dan dasar Israel yang menyalahi undang-undang itu dihentikan dan cadangan RUU serta undang-undang diskriminasi lain dibatalkan.
OIC berkata, tindakan segera penting agar kebebasan beribadat terus dihormati dan tempat-tempat suci Islam dilindungi.
Ia juga bertujuan untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan ke atas pelanggarannya terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip legitimasi yang berterusan.
RUU ‘Undang-Undang Muazin’ Mahu Sekat Tahap Bunyi Pembesar Suara Masjid
Pada 1 Julai lalu, ‘Undang-Undang Muazin’ telah diluluskan awal oleh Knesset Israel selepas disokong 50 ahli parlimennya bagi tujuan menangani ‘bunyi bising yang tidak munasabah’.
Memetik Jurusalem Post, RUU itu bertujuan untuk menyekat tahap bunyi sistem pembesar suara di masjid.
Di bawah RUU tersebut, masjid memerlukan permit untuk operasi sistem pembesar suara dan akan dikenakan denda bagi pelanggaran tahap bunyi.
Selain itu, terdapat juga cadangan untuk memberi kuasa kepada pegawai polis untuk memasuki lokasi di mana pelanggaran undang-undang dilaporkan bagi menghentikan bunyi bising.
Ahli politik kanan Zvika Fogel yang memperkenalkan RUU itu berkata, bunyi kuat dari pembesar suara masjid yang berlebihan adalah ‘mudarat kepada kesihatan awam dan kualiti hidup.’
“Tidak dapat diterima bahawa penduduk terus menderita pelanggaran undang-undang secara sistematik,” katanya.
Nota penerangan RUU tersebut turut menerangkan bahawa terdapat testimoni bahawa tahap suara siaran masjid semakin meningkat selepas 7 Oktober 2023, yang didakwa bertujuan untuk menunjukkan solidariti dengan Hamas dan memudaratkan kualiti hidup rakyat Israel.
RUU ‘Undang-Undang Muazin’ Tidak Dipersetujui 36 Ahli Parlimen Israel
Pun begitu, seramai 36 ahli parlimen Knesset tidak bersetuju dengan RUU tersebut dan berhujah bahawa undang-undang berdiskriminasi itu mencabul kebebasan beragama.
Timbalan Datuk Bandar Tel Aviv-Yafo, Amir Bedran, berkata keputusan menyokong RUU itu adalah merisaukan dan satu tindakan berbahaya yang mememudaratkan kebebasan beragama dan fabrik hidup yang dikongsi di Israel.
“Perundangan ini didorong oleh motif rasis yang menyasarkan satu golongan masyarakat awam sebagai memudaratkan. Di Tel Aviv-Yafo, kualiti hidup diukur menerusi penerimaan terhadap perbezaan,” tegasnya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.