Wanita Selalu Jadi Sasaran Kandungan Deepfake Lucah, Ahli Parlimen Rompin Gesa Hukuman Mandatori Dikenakan
Hukuman denda atau penjara lima tahun bagi kesalahan deepfake lucah perlu diubah kepada hukuman sebatan mandatori.
- Ahli Parlimen Rompin mencadangkan hukuman sebatan mandatori ke atas pesalah deepfake lucah kerana impak trauma seumur hidup kepada mangsa.
- Sejak 2024, hampir 7,000 kandungan deepfake dimohon diturunkan, majoritinya menyasarkan wanita, dengan 95 peratus berjaya dipadam.
- Beberapa ahli parlimen turut mencadangkan sistem pengecaman wajah, sekatan kecemasan, dan integrasi agensi automatik selepas laporan polis dibuat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake bagi menghasilkan kandungan lucah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Hari ini (2 Julai), ahli parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib mencadangkan pihak kerajaan memperkenalkan hukuman sebatan mandatori ke atas pesalah yang memanipulasi kandungan lucah menggunakan teknologi AI dan deepfake.
Cadangan itu diusulkan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat.
Hukuman Sebat Mandatori Wajar Dilaksanakan Segera

Menurut laporan Berita Harian, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata hukuman yang lebih berat perlu dilaksanakan segera kerana impak psikologi serta trauma berpanjangan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa.
“(Cadangan) hukuman denda atau penjara lima tahun ini perlu dinaikkan. Rompin mencadangkan pesalah deepfake lucah ini dikenakan hukuman sebatan mandatori kerana impak kemudaratan psikologi kepada mangsa adalah trauma seumur hidup.” katanya.
Khalib Turut Mencadangkan Sistem Pengecaman Wajah Menerusi MCMC

Abdul Khalib membuka cadangan untuk menubuhkan sistem pengecaman wajah kebangsaan yang diintegrasikan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membolehkan tindakan segera diambil seperti sekatan akaun media sosial.
Selain itu, isu deepfake turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang menggesa perintah sekatan kecemasan dikuatkuasakan serta-merta untuk memaksa pengendali platform media sosial memadam kandungan jika melibatkan kanak-kanak.
“Seorang kanak-kanak tidak sepatutnya merayu di Internet supaya gambarnya dipadam. Negara kita perlu bertindak, bergerak dengan lebih cepat daripada algoritma.” tambahnya
Beaufort Cadang Integrasi Agensi Secara Automatik Selepas Laporan Polis
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching turut mencadangkan mekanisme integrasi agensi secara automatik selepas laporan polis dilakukan supaya mangsa tidak perlu menghadapi proses rujukan aduan berkali-kali.
“Rakyat tidak mahu melihat pertindihan peranan atau kelewatan tindakan. Rakyat mahu apabila laporan dibuat, penguatkuasaan bertindak cepat, selaras dan juga berkesan,” katanya.
Beliau juga mahukan tindakan susulan antara pihak polis, MCMC serta Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) semalam.
Hampir 7,000 Kandungan Deepfake Dimohon Diturunkan Sejak 2024

Sejak 2024, hampir 7,000 kandungan deepfake dimohon untuk diturunkan dari platform media sosial yang menyasarkan golongan wanita, semakin membimbangkan.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, MCMC mengemukakan sebanyak 6,987 permohonan penurunan kandungan bermula 1 Januari 2024 hingga 1 Mac 2026 lalu dan daripada jumlah tersebut sebanyak 95 peratus kandungan telah berjaya diturunkan.
“Pada 2024, kandungan yang telah diturunkan sebanyak 817 kandungan manakala pada 2025, jumlah ini meningkat kepada 3,389. Untuk tahun ini, walaupun hanya dua bulan sehingga 1 Mac, kami telah turunkan sebanyak 2,451 kandungan yang tidak sesuai menggunakan teknologi deepfake dan AI.
“Ia menjadi satu trend menggunakan teknologi seperti deepfake untuk menjadikan wanita menjadi mangsa. Ini menjadi satu trend yang memang amat membimbangkan dan merisaukan.” kata Teo Nie.
Tambahan pula, MCMC sedang membangunkan instrumen kawal selia supaya penyedia atau perkhidmatan platform media sosial bertanggungjawab ke atasnya.
“Ini supaya kandungan yang tidak sesuai seperti lucah atau kandungan yang ada satu kecenderungan untuk menjadikan wanita atau kanak-kanak menjadi mangsa, boleh diturunkan dengan lebih cepat,” tambahnya.
Di Australia, Lelaki Didenda RM966,423 Kerana Menghasilkan Kandungan Deepfake Lucah Wanita

Memetik laporan The Guardian, Anthony Rotondo didapati bersalah menyiarkan imej lucah beberapa wanita terkenal menggunakan aplikasi deepfake telah dikenakan denda sebagai mesej tegas sebagai kes pertama di Australia.
Mahkamah persekutuan memerintahkan Anthony Rotondo, yang juga dikenali sebagai Antonio, membayar denda sebanyak $343,500 (RM966,423).
Badan pengawal selia dalam talian, Pesuruhjaya eSafety telah memfailkan kes ini terhadap Antonio hampir dua tahun yang lalu selepas dia mengaku menyiarkan imej berkenaan menggunakan laman web bernama MrDeepFakes.com.
Tambahan pula, eSafety turut mengatakan denda sivil yang tinggi diperlukan untuk mencerminkan keseriusan pelanggaran Akta Keselamatan Dalam Talian, serta kesan buruk terhadap para mangsa.
“Ini adalah mesej tegas tentang kesannya kepada sesiapa yang ingin melakukan penderaan berasaskan imej deepfake yang boleh menyebabkan tekanan psikologi dan emosi yang ketara.” kata badan pengawal itu.
Baca Artikel Berkaitan: Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak Dijana Guna Deepfake AI, Sebabkan Ketagihan Di Kalangan Remaja – PDRM | TRP
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Berpotensi Disalah Guna, Klip Ustaz Janaan AI Beri Ceramah Dalam Masjid Cetus Kebimbangan | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.