Now Reading
Pengasas Gojek, Nadiem Makarim Dijatuhkan Hukuman Penjara 10 Tahun Atas Kesalahan Rasuah

Pengasas Gojek, Nadiem Makarim Dijatuhkan Hukuman Penjara 10 Tahun Atas Kesalahan Rasuah

Nadiem Makarim turut diperintahkan untuk membayar pampasan sebanyak RM184 juta, gagal berbuat demikian bermakna beliau berdepan hukuman 15 tahun penjara.

In Brief
  • Pengasas Gojek, Nadiem Makarim, dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan rasuah berkaitan pembelian komputer riba bernilai AS$600 juta.
  • Nadiem diperintahkan membayar pampasan 809 bilion rupiah, menjadikan jumlah hukuman penjaranya 15 tahun kerana tidak mampu membayar.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Nadiem Makarim merupakan salah seorang usahawan paling berjaya di Indonesia sebagai pengasas aplikasi Gojek.

Hari ini (1 Julai), bekas Menteri Pendidikan Indonesia didapati bersalah atas kesalahan rasuah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun.

Hukuman itu berkaitan satu perjanjian pembelian komputer riba pada tahun 2021-2022.

Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Tak Buat e-Hailing Motosikal Untuk Elak Kesesakan Jalan Raya? – Pakar | TRP

Nadiem Turut Diperintah Bayar Pampasan 809 Bilion Rupiah

Nadiem Makarim. (Foto: Yahoo News)

Menurut laporan BBC, Nadiem turut diperintahkan untuk membayar pampasan sebanyak 809 bilion rupiah (RM184 juta) termasuk hukuman penjara 10 tahun.

Sekiranya gagal membayar, beliau perlu menjalani hukuman penjara tambahan selama lima tahun.

Beliau turut dikenakan denda sebanyak satu bilion rupiah (RM227,500), dan akan dipenjarakan selama 190 hari lagi jika tidak membayarnya.

Nadiem berkata kerana dia tidak mampu membayar jumlah sebanyak itu, beliau dihukum penjara selama 15 tahun.

Pada asalnya pihak prosekutor menuntut hukuman 18 tahun penjara serta pampasan 5.6 trilion rupiah (RM1.27 bilion).

Nadiem tidak mengaku bersalah dan kini telah memfailkan rayuan.

Kes Membabitkan Pembelian Komputer Riba Bernilai AS$600 Juta

Chromebook dari Google. (Foto: ZDNet)

Kes ini berpunca daripada satu perjanjian pembelian komputer riba bernilai kira-kira AS$600 juta (RM2.4 bilion).

Menurut prosekutor, komputer riba jenis Chromebook itu dibeli pada harga hampir dua kali ganda dari harga asal.

Ia sepatutnya berharga sekitar tiga juta rupiah (RM682) seunit, tetapi dibeli pada harga kira-kira enam juta rupiah (RM1,365).

Satu penilaian kementerian pada tahun 2018 mendapati Chromebook itu memerlukan sambungan internet yang stabil untuk berfungsi.

Ini menjadikannya tidak sesuai untuk sekolah di kawasan pedalaman Indonesia yang sukar mendapat sambungan Internet.

Prosekutor mendakwa kementerian meneruskan pembelian itu selepas Nadiem bertemu wakil Google pada tahun 2020.

Mereka turut mendakwa Nadiem memihak kepada Google, iaitu salah seorang pelabur Gojek, dengan menetapkan spesifikasi tender yang hanya sesuai dengan sistem Chrome.

Nadiem juga didakwa menyebabkan kerugian negara sebanyak AS$125 juta (RM510 juta).

Hakim Memutuskan Nadiem Menyalahgunakan Kuasa

Ketua hakim (Purwanto S. Abdullah) dan barisan panelnya memutuskan bahawa tiada bukti bahawa Nadiem telah menyalahguna duit secara haram.

Namun, mereka mendapati beliau telah menyalahgunakan kuasa dan bersalah atas kesalahan rasuah.

Menurut hakim, wujud konflik kepentingan dalam pembelian tersebut.

Mereka berkata pembelian itu direka untuk menjaga kepentingan korporat serta hubungan Nadiem dengan syarikat gergasi teknologi.

Google Nafi Penglibatan, Nadiem Failkan Rayuan

Walau bagaimanapun, pihak Google telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan mengatakan sebahagian besar pelaburannya dalam entiti berkaitan Gojek berlaku sebelum Nadiem menjadi Menteri Pendidikan.

Nadiem pula berkata pemilihan Chromebook itu sebenarnya untuk mengurangkan kos kerajaan.

Beliau menegaskan wang 809 bilion rupiah itu masih kekal dalam akaun syarikat.

Menurutnya, beliau tidak pernah menyentuh wang itu untuk kegunaan peribadi.

Penyokong Berhimpun Di Mahkamah Ketika Perbicaraan

Penyokong Nadiem yang merupakan rider Gojek. (Foto: BBC)

Sebagai salah satu pengasas sebuah syarikat teknologi paling berjaya di Indonesia, Nadiem mempunyai ramai penyokong.

Sebelum perbicaraan bermula, puluhan penyokong termasuk pemandu Gojek berhimpun di mahkamah Jakarta.

Mereka membawa sepanduk bertulis “Kami Bersama Nadiem” dan “Bebaskan Nadiem”.

Ketika hakim membacakan hukuman, Nadiem dilihat sebak dan menangis. Manakala, penyokong di luar mahkamah pula menyuarakan bantahan.

Latar Belakang Nadiem Makarim Sebagai Pengasas Gojek

Gojek, syarikat gergasi dari Indonesia. (Foto: Marketing Interactive)

Untuk pengetahuan umum, Nadiem Anwar Makarim dilahirkan pada 4 Julai 1984.

Beliau merupakan ahli perniagaan dan ahli politik Indonesia yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi sehingga 2024.

Dari segi pendidikan, beliau masuki sekolah menengah di Jakarta dan United World College of Southeast Asia (UWC SEA), Singapura.

Kemudian, beliau memperoleh ijazah dalam Hubungan Antarabangsa di Brown University, sebelum menyambung MBA di Harvard Business School.

Nadiem telah mengasaskan Gojek pada tahun 2010 selepas mendapat inspirasi daripada perkhidmatan teksi motosikal di Indonesia yang dilihatnya sebagai satu potensi besar.

Bermula sebagai pusat panggilan, Gojek kini menjadi sebuah syarikat gergasi dengan lebih 20 perkhidmatan disediakan, termasuk platform pembayaran digital GoPay.

Pada tahun 2018, Gojek berjaya mengumpul dana sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.3 bilion) menerusi pelaburan daripada Google, JD.com dan Tencent.

Ini menjadikannya syarikat unicorn pertama Indonesia, dengan nilai mencecah AS$10 bilion (RM40.8 bilion) menjelang 2019.

Nadiem turut berjaya menerima beberapa anugerah seperti The Straits Times Asian of the Year 2016 dan Nikkei Asia Prize 2019.

Baca Artikel Berkaitan: Itinerari 3 Hari 2 Malam Ke Jakarta Ini Sesuai Untuk Anda Yang ‘Kaki Shopping’. Jom! | TRP

Baca Artikel Berkaitan: JAKIM Siasat Dakwaan Selebriti Indonesia Tentang Ramai Rakyat Malaysia Sertai Ajaran Sesat Di Jawa Barat | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd