Now Reading
Ini 8 Perubahan Besar Bakal Berkuat Kuasa Di Malaysia Mulai 1 Julai 2026

Ini 8 Perubahan Besar Bakal Berkuat Kuasa Di Malaysia Mulai 1 Julai 2026

Antaranya seperti pemansuhan caj RM1 pengeluaran tunai antara bank, subsidi diesel RM2.10 seliter dan tiada lagi EV import mampu milik.

In Brief
  • Pengeluaran tunai antara bank di ATM kini percuma, memansuhkan caj RM1 bagi semua pemegang kad debit di seluruh negara.
  • Subsidi diesel kini disalurkan melalui MyKad pada harga RM2.10 seliter, menggantikan sistem subsidi lama yang terdedah kepada penyeludupan.
  • Harga EV import dijangka mencecah minimum RM300,000 berikutan syarat baharu MITI bagi menggalakkan pemasangan kenderaan tempatan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Mulai hari ini (1 Julai), lima perubahan besar bakal berkuat kuasa dan memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Perubahan itu merangkumi urusan perbankan, subsidi bahan api, lesen perniagaan, caruman EPF serta harga kenderaan elektrik (EV).

Berikut adalah lima perubahan besar yang perlu anda tahu.

Baca Artikel Berkaitan: Kenderaan Bukan Atas Nama Sendiri? Pemilik BUDI Diesel Boleh Tukar Kelayakan Kepada Ahli Keluarga | TRP

5 Perubahan Polisi Yang Bakal Berkuat Kuasa Di Malaysia Mulai 1 Julai 2026

#1. Pengeluaran Tunai Antara Bank di ATM Kini Percuma
Mesin ATM. (Foto: Pexels)

Menurut laporan Berita Harian, bank di Malaysia akan memansuhkan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin ATM dan Smart Recycler Machine (SRM) di seluruh negara bermula hari ini.

Pemansuhan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama tiga persatuan, iaitu Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet).

Dengan ini, pemegang kad debit boleh membuat pengeluaran tunai tanpa had di ATM atau SRM mana-mana bank yang menyertai, tanpa mengira bank yang mengeluarkan kad mereka.

Menurut persatuan berkenaan, langkah ini bertujuan memudahkan akses kepada perkhidmatan perbankan serta mengurangkan kos mendapatkan tunai, yang masih menjadi kaedah pembayaran penting bagi ramai rakyat.

Ia juga sebahagian daripada usaha industri perbankan menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih mudah.

“Pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank ini mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan mampu milik, sekali gus membantu meringankan beban kewangan harian rakyat,” kata persatuan itu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut berkata langkah ini akan meringankan beban kewangan rakyat.

“Jika seseorang tinggal di kawasan pedalaman yang hanya mempunyai satu mesin ATM daripada satu bank, mereka terpaksa membayar caj RM1 untuk mengeluarkan wang daripada akaun bank lain,” katanya.

“Memandangkan bank mempunyai keupayaan untuk menyerap kos tersebut dalam sistem masing-masing, kerajaan menggalakkan pihak bank memansuhkan caj RM1 itu,” katanya.

#2. Subsidi Diesel Kini Disalurkan Melalui MyKad

Mengisi minyak kereta. (Foto: Majalah labur)

Rakyat Malaysia kini layak mendapat diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.

Berdasarkan laporan dari The Star, subsidi itu disalurkan menerusi mekanisme berasaskan MyKad, sama seperti kaedah Budi Madani RON95 (Budi95).

Dengan ini, rakyat Malaysia dapat menikmati harga serta kaedah yang sama di seluruh negara.

Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat menerusi pengesahan MyKad. Manakala, orang bukan warganegara kini tidak layak untuk menerima subsidi diesel.

Sebelum ini, diesel dijual pada harga bersubsidi RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, berbanding harga tidak bersubsidi RM4.37 seliter di Semenanjung.

Menerusi pembaharuan subsidi bersasar ini, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga di Semenanjung.

Kementerian Kewangan turut menegaskan kepentingan subsidi kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysia kerana perbezaan harga yang ketara antara diesel bersubsidi dan tidak bersubsidi membuka ruang kepada ketirisan serta penyeledukan ke pasaran luar negara.

Selain itu, program BUDI Diesel digabungkan dengan BUDI95 di bawah sistem BUDI MADANI bertujuan memperkemas pelaksanaan subsidi bahan api bersasar serta memudahkan pengesahan penerima yang layak menerusi MyKad.

Orang ramai boleh mula membuat semakan kelayakan menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my.

Jika anda merasakan diri layak menerima tetapi belum tersenarai, anda boleh mengemukakan permohonan kelayakan tambahan menerusi portal itu atau di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

#3. Lesen Perniagaan DBKL Kini Boleh Diperbaharui Sehingga Tiga Tahun

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan inisiatif pembaharuan lesen perniagaan sehingga maksimum tiga tahun.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, inisiatif ini bertujuan membantu komuniti perniagaan menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Tambahan pula, ia juga dapat memudahkan para peniaga dalam aspek perancangan operasi, pengurusan kewangan serta pembiayaan perniagaan bagi tempoh jangka sederhana atau panjang.

Katanya, pendekatan baharu ini selaras dengan usaha DBKL mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, fleksibel dan responsif.

Sebelum ini, tempoh sah lesen perniagaan hanya setahun, dan kini boleh dilanjutkan kepada dua atau tiga tahun bagi permohonan yang berstatus lulus.

Antara kategori perniagaan yang layak ialah premis pejabat, bengkel dan kejuruteraan, penternakan dan pertanian, gudang atau stor penyimpanan, hotel, pembuatan perindustrian, makanan dan minuman, tred dan perniagaan, serta lain-lain perniagaan.

DBKL turut menawarkan potongan harga lesen sebanyak lima peratus untuk tempoh dua tahun, dan 10 peratus untuk tempoh tiga tahun.

“Setiap tahun terutamanya bulan Disember akan beri tekanan kepada semua pemegang lesen untuk memperbaharuinya, ada yang pergi cari runner kerana takut tak dapat lesen.” kata Yeoh.

Sementara itu, pelaksanaan ini dijangka akan mengurangkan beban urusan pembaharuan tahunan, menjimatkan masa serta kos pematuhan dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

#4. Caruman EPF Kini Beralih Ke Digital Sepenuhnya

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) kini menghentikan operasi kaunter penerimaan caruman di semua cawangan seluruh negara kerana telah beralih sepenuhnya kepada saluran digital.

Ahli boleh membuat bayaran menerusi aplikasi i-Akaun, perbankan internet, kaunter ejen bank, serta Terminal Layan Diri (SST). Manakala, majikan dinasihatkan menggunakan portal i-Akaun (Majikan).

Penutupan kaunter penerimaan itu tidak akan menjejaskan keupayaan ahli mahupun majikan untuk membuat bayaran, kerana pelbagai saluran alternatif masih tersedia.

Tambahan pula, kaunter perkhidmatan lain di cawangan EPF akan terus beroperasi seperti biasa.

#5. Harga EV Import Akan Dijual Dengan Harga Minimum RM300,000
Kereta EV. (Foto: HESU CAR)

Menurut laporan dari Berita Harian, harga import EV dijangka akan dijual dengan harga minimum RM300,00 mulai hari ini.

Ia berikutan pelaksanaan syarat baharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang bertujuan mempercepat barisan pemasangan tempatan menerusi syarat harga dan kuasa lebih ketat.

Menurut Kenanga Investment Bank, MITI menetapkan nilai minimum Kos, Insurans dan Tambang (CIF) sebanyak RM200,000 bagi setiap unit EV import.

Selain itu, syarat ini turut menetapkan keperluan output kuasa minimum 180 kilowatt bagi model EV import yang layak memasuki pasaran tempatan.

Menurut penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, harga jualan akhir kenderaan akan meningkat dengan ketara selepas mengambil kira duti import, duti eksais, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus, serta margin pengedar.

“Dasar ini secara efektif menamatkan pasaran bagi EV import mampu milik untuk segmen pasaran mass market, termasuk model asas daripada jenama import seperti BYD, GWM dan MG.” tambahnya.

Bagaimanapun, stok kenderaan completely built up (CBU) yang sudah berada dalam negara atau dalam transit sebelum tarikh kuat kuasa akan dikecualikan daripada syarat baharu itu.

Pengecualian itu akan terus terpakai sehingga semua stok berkenaan habis dijual.

#6 Pasport Malaysia Versi Baharu Diperkenalkan
Pasport Malaysia kini merupakan antara yang terkuat di dunia. (Foto: Passport)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan semalam.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), pengenalan PMA struktur baharu itu merupakan langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara, selain memberikan kemudahan serta nilai tambahan kepada rakyat.

Tambahan pula, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas kini mempunyai pilihan untuk memohon dokumen perjalanan baharu dengan tempoh sah laku lima atau 10 tahun mengikut keperluan bermula hari ini.

Menurut KDN, pengenalan pasport 10 tahun itu dijangka akan mengurangkan kekerapan pembaharuan, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.

Kadar bayaran bagi PMA tempoh sah laku 10 tahun ialah RM350 termasuk penjimatan sebanyak RM50. Manakala tempoh lima tahun kekal RM200.

Bagi memastikan peralihan operasi berjalan lancar, pelaksanaan PMA struktur baharu dijalankan secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara.

Orang ramai juga dinasihatkan tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada jika dokumen itu masih sah laku, kerana pasport sedia ada boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tempoh tamat.

#7. VEP Dikuatkuasakan Sepenuhnya Di Sempadan Malaysia-Singapura
Sempadan Malaysia-Singapura. (Foto: Bloomberg)

Kementerian Pengangkutan kini menguatkuasakan sepenuhnya Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) di pintu sempadan darat Malaysia-Singapura.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pemilik kenderaan persendirian individu yang tidak mempunyai VEP sah akan dikenakan saman RM300 dan perlu dibayar sebelum dibenarkan meninggalkan Malaysia.

Bagi kategori kenderaan persendirian syarikat pula, saman turut akan dikenakan jika langsung tidak membuat pendaftaran atau tiada VEP yang sah.

“Namun, sekiranya kenderaan itu telah pradaftar, kita berikan sedikit kelonggaran dengan hanya mengeluarkan notis peringatan, dan mereka dibenarkan keluar dari Malaysia,” katanya.

Menurut Loke, kelonggaran terhadap kenderaan syarikat diberikan kerana proses pendaftarannya lebih kompleks serta memerlukan pelbagai dokumen syarikat yang belum lengkap sepenuhnya.

#8. Penebusan Baucar Buku MADANI Bermula Hari Ini

Penebusan e-baucar Program Baucar Buku MADANI 2026 bermula hari ini sehingga 31 Oktober 2026.

Seramai 2,217,579 penerima bakal menerima manfaat daripada inisiatif kerajaan membabitkan murid daripada kelas peralihan sehingga tingkatan enam, pelajar kolej vokasional, matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, baucar itu boleh mula ditebus pada jam 11 pagi menerusi platform BookCapital.

Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Subsidi RM2.10 Seliter Bermula Julai, Had Kelayakan Disekalikan Dengan BUDI RON95 | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Bakal Nikmati Pasport Pada Harga RM350 Bagi Tempoh 10 Tahun | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd