60% Kanak-Kanak Di Korea Selatan Suntik Hormon Pembesaran Untuk Jadi ‘Tinggi’
Kos rawatan boleh cecah RM1,845 sebulan dan RM26,364 dalam tempoh setahun.
- 60% kanak-kanak di Korea Selatan menerima suntikan hormon pembesaran untuk menambah ketinggian, bukan untuk tujuan perubatan.
- Nilai bekalan suntikan hormon mencecah 480 bilion won pada 2023, dengan preskripsi meningkat dua kali ganda dalam tiga tahun.
- Suntikan hormon berisiko tinggi, dengan 6,309 kes kesan buruk dilaporkan, termasuk dua kematian dan kes kanser.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Di Korea Selatan, memiliki paras rupa dan penampilan yang tampan, cantik persis permaisuri dan raja dilihat sebagai satu aset penting sepanjang hayat termasuklah ciri fizikal seperti ketinggian.
Satu kajian mendapati 60% kanak-kanak dan remaja telah menerima suntikan hormon pembesaran di negara itu kerana untuk menambah ketinggian, bukan untuk merawat masalah kesihatan.
Malah, 1 daripada 6 kanak-kanak kini lebih tinggi daripada purata umur mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Anak Kecil Buat Salah? Ini Cara Tegur Mereka Dengan Pendekatan Lembut | TRP
Kajian NECA Dapati 60% Guna Suntikan Hormon Untuk Tinggi, Bukan Rawatan

Berdasarkan laporan dari Koreanbiomed, kajian yang dikongsikan oleh Agensi Penyelarasan Penjagaan Kesihatan Berasaskan Bukti Kebangsaan (NECA) telah meneliti secara menyeluruh penggunaan hormon pembesaran dalam sektor yang tidak ditanggung oleh insurans.
Suntikan itu berkesan bagi pesakit yang mempunyai masalah kekurangan hormon, tetapi penggunanya dalam kalangan kanak-kanak yang rendah telah menyebabkan peningkatan kesan buruk setiap tahun.
NECA mendapati seramai 1,000 ibu bapa telah menggunakan suntikan itu kepada anak mereka dalam tempoh lima tahun lalu walaupun tiada masalah kesihatan.
Nilai Bekalan Suntikan Cecah 480 Bilion Won Pada Tahun 2023
Tambahan pula, penggunaan suntikan hormon dalam kalangan kanak-kanak dan remaja telah meningkat setiap tahun dengan nilai bekalan pada tahun 2023 dianggarkan sekitar 480 bilion won (RM1.2 juta).
Selain itu, ini adalah senarai penggunaan tertinggi mengikut wilayah di Korea Selatan:
- Seoul (41.7%)
- Gangnam-gu (22.5%)
- Gyeonggi (20.0%)
- Seocho-gu (10.2%)
- Songpa-gu (7.1%)
Menariknya, bilangan pesakit menuntut manfaat insurans pada tahun itu turut meningkat sebanyak tujuh hingga lapan kali ganda berbanding 10 tahun yang lalu dengan bahagian hospital tertari semakin berkurangan.
Bilangan Preskripsi Suntikan Hormon Meningkat Dalam Tempoh Tiga Tahun

Menurut Perkhidmatan Semakan dan Penilaian Insurans Kesihatan (Hira), jumlah preskripsi telah meningkat dalam tempoh tiga tahun daripada 138,537 pada 2021 kepada 269,129 pada 2024.
Manakala, pesakit individu turut meningkat lebih dua kali ganda daripada 16,711 kepada 34,881.
Tambahan pula, 97% ubat ini dibayar melalui hospital swasta, menunjukkan permintaan sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Kos Rawatan Boleh Melebihi 10 Juta Won Yang Memberikan Kesan Buruk
Untuk pengetahuan umum, bekalan sebulan hormon ini berharga 700,000 won (RM1,845), manakala rawatan penuh selama setahun boleh melebihi 10 juta won (RM26,364).
Terapi ini melibatkan suntikan pada waktu malam sehingga seminggu selama satu ke tiga tahun selepas ujian hormon awal.
Selain itu, sebanyak 6,309 kes berkait dengan terapi suntikan hormon pertumbuhan telah dilaporkan kepada Institut Keselamatan Ubat dan Pengurusan Risiko Korea.
Sebanyak 24.2 peratus mengadu kesan buruknya seperti rasa sakit di tempat suntikan, diikuti dengan pendarahan, lebam dan bengkak termasuklah dua kejadian yang telah menyebabkan kematian dan kanser turut dilaporkan.
Majoriti Ibu Bapa Di Korea Selatan Anggap Suntikan Ini Satu Pelaburan Untuk Masa Depan Anak

Suntikan ini asalnya direka untuk kanak-kanak mengalami gangguan hormon atau keadaan genetik tertentu, tetapi kini digunakan secara meluas oleh mereka yang tiada masalah kesihatan.
Walaupun mahal, ramai ibu bapa di Korea Selatan menganggapnya sebagai satu pelaburan untuk masa depan anak mereka.
Contohnya, sebuah keluarga berkemampuan akan menawarkan pakej ‘ibu bapa premium’ seperti rawatan pergigian, kanta Ortho-K, iaitu kanta lekap dipakai ketika tidur bagi membentuk semula kornea mata untuk mengurangkan rabun jauh dan suntikan hormon pembesaran.
Kanak-Kanak Di China Dan Korea Selatan Kini Semakin Tinggi Berbanding Generasi Dahulu

Ketinggian anak sering dikaitkan dengan genetik dan ramai percaya ibu bapa yang rendah akan mempunyai anak rendah, begitu juga sebaliknya.
Namun, hari ini kanak-kanak di China dan Korea Selatan dilaporkan lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya hingga mengejutkan para penyelidik kerana majoritinya mempunyai ibu bapa yang rendah.
Menurut jurulatih keibubapaan dan perkembangan kanak-kanak, Hitesh M, ketinggian tidak ditentukan genetik semata-mata, sambil merujuk kajian jurnal The Lancet pada 2020 yang meneliti trend ketinggian dan indeks jisim badan kanak-kanak usia sekolah di 200 negara dan wilayah, membabitkan lebih 65 juta peserta antara 1985 hingga 2019.
Kajian itu mendapati peningkatan ketinggian di beberapa negara Asia Timur terutamanya China dan Korea Selatan telah membuktikan ketinggian boleh berubah secara mendadak apabila pemakanan, kesihatan dan taraf hidup bertambah baik.
Berikut adalah empat faktor harian yang boleh diberi perhatian oleh ibu bapa untuk menyokong pertumbuhan anak lebih sihat:
#1. Pemakanan
Hitesh menekankan empat nutrien penting untuk memastikan anak menjadi lebih tinggi seperti berikut:
- Sumber protein (telur, susu, ayam, ikan, kacang)
- Zat besi (sayur, lentil, kacang, daging)
- Zink (susu, daging, bijirin penuh)
- Kalsium (susu, dadih, bijan)
#2. Bermain Di Luar Rumah
Aktiviti fizikal melibatkan pergerakan akan menyokong perkembangan sihat serta menguatkan tulang dan otot, dan kanak-kanak aktif lebih cenderung mengekalkan corak pertumbuhan sihat berbanding yang banyak duduk sahaja.
#3. Vitamin D
Bermain di luar rumah dapat memberi anak-anak cahaya matahari yang kaya dengan vitamin D semula jadi untuk membantu penyerapan kalsium.
#4. Tidur Yang Cukup
Hormon dikeluarkan ketika tidur dan disebabkan itulah pentingnya untuk mendapat tidur mencukupi supaya tubuh badan dapat pulih serta membesar dengan sihat.
Tetapi, kanak-kanak hari ini lebih cenderung untuk bermain dengan tablet, telefon pintar menyebabkan mereka kurang bermain di luar serta tabiat pemakanan kurang sihat boleh menjejaskan perkembangan pembesaran tanpa sedar.
Tambahan pula, menyuntik hormon bukanlah solusi terbaik untuk dapatkan ketinggian idaman ramai. Sebaliknya, berbincanglah dengan doktor untuk ketahui setiap risiko yang ada.
Baca Artikel Berkaitan: Anak Asyik Menghadap Telefon? Ini 5 Tips Mudah Untuk Kurangkan Waktu Skrin Anak | TRP
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Prof Kongsi Petua Zaman Dulu Semak Anak Cukup Umur Untuk Masuk Darjah 1 | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.