Malaysia Airlines Diiktiraf Antara Syarikat Penerbangan Paling Selamat Di Dunia
Malaysia Airlines kini berdiri sebaris dengan beberapa nama besar dunia seperti Etihad Airways, Cathay Pacific dan Air New Zealand setelah terima pengiktirafan Seven Star PLUS.
- Malaysia Airlines telah menerima pengiktirafan Seven Star PLUS daripada AirlineRatings, meletakkannya setara dengan Etihad Airways dan Cathay Pacific.
- Pengiktirafan ini diperoleh melalui audit bebas merentasi enam penerbangan, menilai disiplin dan kewaspadaan kru kabin secara ketat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malaysia Airlines sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dengan mendapat pengiktirafan keselamatan Seven Star PLUS oleh Airline Ratings.
Pengiktirafan berprestij itu kini meletakkan Malaysia Airlines sebaris dengan beberapa nama besar dunia seperti Etihad Airways, Cathay Pacific dan Air New Zealand, yang terkenal dengan tahap keselamatan kabin serta operasi yang tinggi.
Lebih membanggakan, penilaian dilakukan menerusi audit bebas yang dijalankan secara anonim merentasi enam penerbangan berasingan untuk menilai keadaan sebenar.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Puji Kanak-Kanak 9 Tahun Dah Pandai Naik Flight & Travel Seorang Diri | TRP
Disiplin Kru Malaysia Airlines Mencuri Perhatian Juruaudit

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirlineRatings.com, Sharon Petersen, aspek paling menonjol ialah tahap disiplin serta kewaspadaan kru Malaysia Airlines.
Beliau memuji cara kru memastikan penumpang kekal duduk setiap kali lampu tali pinggang keledar dinyalakan, walaupun ada ketikanya lampu itu menyala untuk tempoh yang lama.
“Mereka menunjukkan ketekunan tinggi sepanjang tempoh lampu tersebut dihidupkan, walaupun penumpang cenderung menjadi gelisah. Taklimat yang disampaikan pun sangat mengagumkan ,” kata beliau.
Petersen turut memuji usaha berterusan syarikat itu sepanjang sedekad lalu, khususnya dalam aspek pengurusan sumber kru dan menyifatkannya sebagai contoh terbaik yang boleh dipelajari oleh banyak syarikat penerbangan lain.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Penarafan Seven Star PLUS?

Untuk pengetahuan umum, Seven Star PLUS tidak boleh dibeli atau diminta begitu sahaja kerana ia adalah satu pengiktirafan yang perlu diperoleh menerusi proses ketat.
Untuk melayakkan diri, sebuah syarikat penerbangan perlu terlebih dahulu memiliki penarafan Seven Star, iaitu tahap tertinggi sebelum pengiktirafan Seven Star PLUS.
Kemudian barulah syarikat itu boleh menerima audit untuk pengiktirafan Seven Star PLUS.
Juruaudit akan menilai setiap pematuhan keselamatan kru kabinnya secara bebas dalam keadaan penerbangan biasa merentasi enam penerbangan berbeza.
TIdak Semua Syarikat Berjaya Melepasinya
Menariknya, tidak semua syarikat penerbangan yang telah menjalani audit ini akan berjaya kerana piawaian ketat yang telah ditetapkan.
Sekiranya ada ruang untuk penambahbaikan, syarikat itu hanya akan mengekalkan tahap Seven Star sedia ada sahaja dan kemudian boleh dinilai semula dalam tempoh setahun, selepas membuat perubahan yang diperlukan.
Untuk penumpang pula, pengiktirafan ini membawa maksud bahawa sebuah syarikat penerbangan berani membuka operasi kabinnya untuk dinilai secara bebas bagi menunjukkan mereka berjaya memenuhi piawaian ditetapkan.
Selain itu, syarikat penerbangan juga dapat mengenal pasti sebarang kelemahan lebih awal sebelum berpotensi menjadi satu insiden.
Komitmen Malaysia Airlines Untuk Mengekalkan Keselamatan Kepada Penumpang

Malaysia Aviation Group (MAG), menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti kukuh terhadap budaya keselamatan yang dibina secara konsisten.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan MAG, Bryan Foong berkata, pencapaian itu mencerminkan disiplin operasi, profesionalisme kru serta amalan keselamatan yang teguh dalam budaya kerja MAS.
“Keselamatan menjadi asas kepada setiap aspek perniagaan kami dan merupakan tanggungjawab bersama seluruh tenaga kerja,”
“Pengiktirafan ini memperkukuh komitmen kami untuk terus meningkatkan keupayaan serta mengekalkan standard keselamatan tertinggi kepada penumpang,” tambahnya.
Baca Artikel Berkaitan: Pertama Kali Naik Kapal Terbang? Ini Panduan Sesuai Untuk ‘Solo Traveler’ | TRP
Baca Artikel Berkaitan: “RM800 Untuk 30 Minit” – Lelaki Kongsi Pengalaman Naik Pesawat Pusing KL | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.